Saturday, January 04, 2003

UMPAMA API YANG MEMBAKAR KAYU……

Pernahkah anda menonton atau membaca kisah Harry Potter? Kisah ahli sihir kanak-kanak yang penuh fantasi. Kisah yang menjulang penulisnya JK Rowling sebagai salah seorang penulis ternama dan terkaya di dunia. Jika pernah sudah tentu anda mengenali watak Harry Potter, Ron, Hermoine malahan juga Malfoy. Kisah Harry yang dibesarkan tanpa kasih sayang oleh bapa saudaranya, dikurung dalam loteng yang gelap di rumah, si genit Hermoine yang mahir dengan ilmu sihir dan Ron seorang sahabat yang setia juga Malfoy musuh ketat Harry yang sentiasa dengkikannya. Dengki? Kenapa Malfoy dengkikan Harry? Kerana Harry anak seorang ahli sihir yang ternama malahan kerana Harry lebih hebat daripadanya. Kenapa wujud sifat dengki?

Dengki umpama tali yang sentiasa mengikat kita. Apabila wujudnya sikap ini maka kita tidak akan berasa selesa dengan kesenangan orang lain. Begitu jugalah dengan Malfoy apabila rasa dengki membelenggu diri. Namun apabila dilihat pengakhiran kisah ini, sifat dengki tidak akan ke mana, Hanya akan merugikan diri. Kebaikan juga yang akan menelan kebathilan, menenggelamkan kejahatan.

Cuba kita kaitkan sifat dengki dengan senario sedunia. Kerana sifat dengki maka Amerika cuba menyerang Iraq, kerana dengki Israel menggempur tanah suci Palestin, kerana dengki Anwar Ibrahim terpenjara malahan kerana dengki SAR cuba dihapuskan kerajaan. Begitu idealkan dengki memainkan peranan dalam situasi arena antarabangsa.

Malah kerana DENGKI sejarah pertumpahan darah pertama berlaku di dunia. Betapa Qabil dengkikan kebaikan yang dimiliki oleh Habil dan akhirnya tergamak membunuh adiknya sendiri. Kerana dengki jugalah Nabi Allah Yusuf dibuang ke dalam perigi tua oleh saudara-saudaranya, sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam kalamullah yang Agung “ Di waktu saudara-saudara Yusuf berkata : nescayalah Yusuf dan seorang saudaranya lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri, sedangkan kita ini adalah golongan yang besar. Sesungguhnya ayah kita dalam kesesatan dan kesalahan yang nyata. Bunuh sajalah Yusuf itu dan letakkanlah dia ke negeri lain, supaya perhatian ayahmu tertuju kepada kamu saja (Yusuf:8-9) Malahan sirah nabawiyah juga membuktikan kerana sifat dengki jugalah Kekasih Allah, Muhammad dan sahabat-sahabatnya ditindas dan diseksa oleh kaum Quraisy dengan seksaan yang amat dahsyat.

Terdapat juga satu cerita yang merakamkan betapa bahayanya sifat dengki ini. Tidak pasti sama ada cerita in sumbernya boleh dipercayai atau tidak. Tapi andai dapat memberi pengajaran, apa salahnya?Ceritanya bermula begini, di satu tempat ada dua orang pedagang yang tinggal berjiran. Seorang maju perniagaannya manakala yang seorang lagi nasib tidak menyebelahi dirinya. Perlahan-lahan tumbuhlah rasa kebenciaan dan dengki di hati pedagang yang kurang beruntung ini. Setiap kejayaan yang diperolehi jirannya dirasakan seperti tikaman belati di jantungnya. Setelah berlalu masa beberapa lama, akhirnya pedagang itu tidak mampu lagi menahan kesumat di hati. Suatu hari dia memanggil hambanya dan berkata “Mahukah kamu aku merdekakan?” Dengan gembira hamba itu menyahut “Sudah tentu tuan”. “Baiklah, engkau akan aku bebaskan dengan satu syarat,” ujar pedagang tadi. Kemudian dia membisikkan permintaannya, Wajah hamba tadi serta merta menjadi pucat apabila mendengar syarat yang dikemukakan oleh tuannya. “Sembelihlah aku di atas rumah jiran kita. Setelah itu tinggalkan aku di sana agar jiran kita dimasukkan ke dalam penjara kerana dituduh membunuhku. Aku ingin hidupnya sengsara.” Perintah pedagang itu. “Tidak, tuan!”Hamba itu menggelengkan kepalanya sekuat hati. Pedagang itu terus memujuk hambanya hingga akhirnya hamba itu bersedia menuruti perintahnya. Pada suatu malam hamba itu dan pedagang menghendap-hendap dalam kegelapan menuju ke rumah jirannya. Di atas atap rumah jirannya, hamba itu menyembelih majikannya dan meninggalkan mayat serta bahan bukti yang lain di sana. Kemudian dia menghilangkan diri. Keesokkan harinya, gemparlah seluruh penduduk kota. Pedagang yang berjaya itu kemudiannya di tangkap dengan tuduhan membunuh pesaingnya. Namun akhirnya pedagang itu dibebaskan kerana hamba yang terseksa jiwanya rasa bersalah dan mengaku akan perbuatannya.

Nah! Dahsyatkan sifat dengki ini. Kerana dengki pedagang malang itu sanggup mengorbankan dirinya sendiri demi pesaingnya hidup dalam sengsara. Malah menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab ihya Ulumuddin, dengki berkait dengan soal kenikmatan. Jika Allah memberikan nikmat pada seseorang, ada dua keadaan yang mungkin timbul dalam diri manusia. Pertama, benci pada orang yang menerima nikmat dan berharap agar nikmat itu hilang darinya. Itulah dengki yang sebenar-benarnya. Kedua, tidak menginginkan nikmat itu lenyap, tetapi ia ingin memiliki nikmat yang serupa. Perasaan yang kedua ini disebut ‘munafasah’ atau persaingan. Malahan sifat dengki ini juga terdapat beberapa cabang. Sabda Rasullullah “Dengki memakan kebaikan umpama api yang membakar kayu.”

Namun bila kita halusi sirah-sirah yang terdahulu, betapa akhirnya Habil yang pernah didengki oleh abangnya dijanjikan syurga, Nabi Allah Yusuf diangkat menjadi pembesar ternama, malahan Nabi Muhammad juga beroleh kejayaan yang besar di kota cahaya. Adakah situasi dunia juga begitu? Adakah pentas antarabangsa akan diakhiri dengan kekalahan Amerika yang terkenal dengan sifat ego angkuhnya, adakah tirai dunia berlabuh dengan kemerdekaan rakyat Palestin, adakah negara kita yang ‘tercinta’ ini mengakhiri pemerintahan ‘diktator’ dan ‘kuku besi’ Mahathiir, atau adakah Islam akan gemilang, tertegak di seluruh pelosok bumi? Sama-samalah kita berdoa, kerana sesungguhnya janji Allah ada pada orang-orang yang sabar. Wallahua’lam……

From my chamber,
Huda soid
Gombak’s student
Card captor sakura……..



0 Comments:

Post a Comment

<< Home