Tuesday, May 13, 2003

SERIKANDI CINTA

Di kejauhan itu
Kulihat sekuntum mawar merah
Harum mekar kembang sejati
Bersama wangian cinta

Ummi,
Butiran mutiara kalammu
Kan kukalungkan di tangkai hati
Lantas….
Memamah kegelapan
Meluah sinaran

Diri menjengah lipat sejarah
Episod nostalgia dahuluku

Ummi
Saat ku menjengah diri
Kulihat nur duniawi
Tika dan masa itu
Aku tidak mengerti apa-apa
Jahil erti kehidupan

Ummi
Kau memimpinku ke pintu kehidupan
Mengajar diri erti syukur dan pasrah
Mendidik diri makna menang dan kalah
Meyakinkan diri untuk mula dan terus melangkah
Bahkan berlari di padang realiti

Ummi
Sutera kasihmu lembut membalut roh dan jasad
Kasturi sayangmu mengharumkan nurani
Azimat pesanmu menyemadikan mazmumah
Didik dan tunjukmu membangkitkan mahmudah

Ummi
Aku tidak rela digelar Tanggang moden
Aku tidak mahu menjadi Alqamah
Lilin pengorbanan dan jasamu
Bercahaya terang di kandil jiwa

Ummi
Kau selalu berpesan
“Anakku sedarlah!
Islammu kini gersang dari hujan pembelaan
Ternanti-nanti mujahidah baru
Kalungi dirimu dengan puspa ilmu
Taabud jiwa taqarrub billah
Bangkitlah anakku!
Sebelum addinmu dirakus sengketa!”

Ummi
Anakmu masih ingat wasiat Luqman Al-Hakim
Sentiasa belaku ihsan pada kedua ibu bapa
Taati keduanya selagi mereka masih beramal dengan rukun yang lima dan enam
Selagi kebenaran disingkap dan kepalsuan dibenamkan
Juga lampirkan kalam doa untuk keduanya

Dan anakmu kini
Di kota akal dan siber
Mencari setitis dari selautan ilmu Ilahi
Buat bekal di kemudian hari
Akan daku gapai gemerlap kejora
Untukmu serikandi cintaku
Andai diizin waktu

Nukilan rasa,
Ghafirah Idris
Beseri, Perlis

0 Comments:

Post a Comment

<< Home