Tuesday, June 03, 2003

4hd YANG MENGGAMIT SAYU

4hb Jun? Kenapa tarikh ini mengundang sendu pada diri saya? Kerana seorang sahabat saya Abang Fadhil kembali ke rahmatullah pada tarikh ini. Ah, rasanya baru semalam memori dan nostalgia kita bersama, saya, abang fadhil, fad, gopi, kak ira, kak wana(akak saya) dan oby. Siapa Abang Fadhil nih? Abang Fadhil adalah salah seorang pesakit di tingkat 9 wad orthopedic di Hospital University. Biarpun perkenalan saya dengannya amat singkat namun cukup memberi kesan kepada diri saya. Mungkin saya tidak serapat mana dengan Abang Fadhil namun cerita tentangnya selalu saya dengar dari gopi. Gopi mengenali dia lebih rapat, setahun bersama, di wad yang sama, menempuh ujian yang sama, mungkin persamaan ini membuatkan mereka akrab. Malah Abang Fadil adalah orang yang paling banyak sekali memberi semangat kepada gopi, memberi dorongan kepada gopi untuk tabah menghadapi hidup ini.

Masih terngiang rasanya, keletah abang Fadhil yang lucu, sering membuatkan kami ketawa. Dan masih terdengar kata2 nasihat yang terlontar dari mulutnya, yang nyata memberi kesan di hati saya. Sungguh sebuah jiwa itu amat tabah. Sikapnya yang menghormati orang tua menyebabkan dia disenangi oleh mak dan ayah gopi. Sikapnya yang ramah, menyebabkan semua nurse dan doctor di wad itu mengenalinya. Malahan si kecil Wafi (adik gopi, nama sama dengan abang saya) cukup menyayangi Abang Fadhil.

Teringat lagi kita semua bersama-sama menyambut besday kak ira di Hospital Universiti. Tika itu kau tidak pernah merasa strawberry, itulah pertama kalinya kau mencubanya. Biarpun aku tidak banyak berbicara denganmu, namun aku cukup menyenangi sikapmu ,tambahan pula kau yang banyak membantu gopi. Kawan gopi bermakna kawanku jua. Masih juga aku teringat soalan yang kau lontarkan pada fad ketika aku tidak berkesempatan melawat gopi dan dirimu di wad itu.

“si kecil tuh mana?” kau bertanyakan soalan itu yang disambut dengan senyuman di wajah fad dan gopi.

Kau tabah, tika dirimu diberitahu yang cancermu merebak ke lung ,kau terima dengan tenang. Kau juga tabah tika dirimu diberitahu harapanmu untuk hidup tipis. Aku dapat merasakan resahnya dirimu apabila seorang demi seorang pesakit di tingkat itu dijemput Allah. Seresah hati gopi yang selama ini sentiasa tenang. Kau tabah, tika di saat yang meruncing itu, tiba-tiba kekasihmu minta untuk memutuskan ikatan. Tali ukhuwah yang kau bina bersama dia terlerai, biarpun kalian pernah berjanji untuk ke jinjang pelamin. Apakah itu dinamakan kekasih? Hanya bersama tika waktu senang dan meninggalkan dirimu di waktu susah?

Selama seminggu sebelum tarikh keramat itu, aku dihantui perasaan gelisah. Serba tidak kena. Anehnya fad juga mengalami perasaan yang sama. Seolah-olah sesuatu bakal terjadi. 3hb Jun aku dikhabarkan dengan kematian mak huda hashim (batch saya di kisas…moga roh maknya dicucuri rahmat). Dan keesokkannya aku dikhabarkan dengan kematianmu. Sungguh aku tidak menduga, kau pergi dulu menemui Ilahi. Perasaan gopi ketika itu amat tersentuh. Mak dan ayah gopi juga mengalirkan air mata tika diberitahu berita itu. Seluruh wad di tingkat9 sepi, semuanya seakan-akan berkabung sempena kematianmu. Tak dinafikan kau disayangi oleh semua orang.

Kini sudah setahun kau meninggalkan kami, doa dipinta cuma satu,moga rohmu sentiasa dicucuri rahmat, dan dirimu tergolong di kalangan orang yang beriman. Biarpun kenangan bersamamu singkat namun cukuplah namamu tetap bertapak di hati kami.

“Ya Allah, kau cucurilah rahmat ke atas dirinya, golongkan dirinya di kalangan orang yang bertaqwa…..ameen”

4hb…..tika Allah meniupkan roh dan menghidupkan jasad, tika itu juga Allah mencabut nyawa dari jasad yang lain. Cukuplah kematian itu sebagai satu pengajaran yang menginsafkan.

“siapakah orang yang paling bijak wahai Nabi? “Orang yang paling bijak ialah yang banyak mengingati mati dan bersedia menghadapinya”



0 Comments:

Post a Comment

<< Home