Thursday, May 15, 2003

CINTA SEORANG KEKASIH

Kegelapan yang menyelimuti Kota Amwas, Negeri Syam sebenarnya menjadi tempat bermastautin Saidina Bilal selepas kewafatan kekasihnya, Nabi Muhammad. Di sinilah beliau berusaha mengubat kerinduannya selepas kewafatan Rasullullah.

Suatu malam yang hening lagi sepi, beliau telah bermimpi bertemu dengan Rasullullah. Senyuman jelas terukir di raut wajahnya. Berdepan dengan fantasi ini, beliau lantas mendekati Rasullullah lalu memberi salam. Selepas Rasullullah menjawab salam Saidina Bilal, Rasullullah bertanya “Wahai Bilal, mengapakah aku merasakan ukhuwah kita semakin renggang? Selepas aku pergi bertemu Allah, kamu tidak lagi menjengukku. Belum tibakah masanya kamu mengunjungiku? Saidina Bilal tersentak dari tidur dan segala pertanyaan kekasih yang dirinduinya itu masih terngiang-ngiang menghantui jiwa kerdilnya itu.

Jiwa Saidina Bilal semakin memberontak lalu beliau berkata, “Putus hubungan? Tidak…demi Allah tidak wahai kekasihku Rasullullah. Memang sudah beberapa tahun aku tidak mengunjungi pusaramu tetapi ini tidak bermakna aku telah melupakanmu. Sesungguhnya tidak pernah lekang dari penglihatanku tubuh wajahmu meskipun sesaat, inikan pula hilang dari kalbuku. Wahai Rasullullah, sesungguhnya bibirku sentiasa basah berselawat ke atasmu dan memuji pengorbananmu untuk umat yang tercinta. Wahai Rasullullah aku akan berangkat ke Yathrib sekarang juga untuk menziarahi makammu sebagai pengganti jasad sucimu.”

Warna kemerah-merahan mula menjelma di kaki langit, tanda subuh mula melabuhkan bahtera. Selepas solat subuh, Saidina Bilal segera bergegas ke Madinah. Berdiri di depan makam Rasullullah memaksa beliau kembali menyingkap album perjuangannya bersama Rasullullah. Jiwanya semakin kuat bergoncang dan parut rindu di hatinya kembali terluka dan kelihatan mata jernihnya mulai berkaca kerana tidak mampu menahan hiba. Dengan suara yang serak menangis, beliau mengucapkan salam, “Assalamualaika, ya Rasullullah,” kerongkongnya terasa tersangkut dan kelopak matanya tidak mampu lagi membendung genangan air mata rindu lalu gugur membasahi pipinya. Tanpa dipinta, memori suka duka kembali berpentas di kotak fikiran.

Tanpa disedari sang suria terpaksa meninggalkan episod hiba itu kerana sang malam sudah mula menebarkan sayapnya. Tetapi Saidina Bilal masih lagi terpaku di depan pusara kekasihnya. Tiba-tiba kedengaran nama beliau dipanggil, “Pak cik Bilalkah ini?” Datuk banyak menceritakan kehebatan Pak cik.” Setelah diamati, dua jasad remaja di depannya itu cucunda Rasullullah, Saidina Hasan dan Saidina Hussin. Lantas Saidina Bilal memeluk kedua-dua remaja tersebut lalu berkata, “Sesungguhnya apabila melihat kamu berdua, teringat aku pada datuk kamu.”

Kedua-dua cucunda Rasullullah meminta Saidina Bilal mengazankan solat maghrib. Walaupun beberapa kali menolak, akhirnya beliau mengotakan permintaan itu kerana itu merupakan permintaan cucunda Rasullullah. Kedengaran azan maghrib berkumandang di udara mengajak warga Madinah keluar dari kediaman masing-masing dengan tangisan sedih kerana insan yang mengalunkan azan itu telah membuka kembali diari kenangan manis warga Madinah bersama Rasullullah. Apabila Saidina Bilal mula melaungkan penyaksian bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah dalam azannya, beliau telah pengsan beberapa kali kerana tidak mampu menahan perasaan sayu kerana mengenangkan detik-detik tatkala bersama Rasullullah. Namun, beliau berusaha menyempurnakan azan tersebut. Kesedihan bukan sahaja dirasai oleh penduduk peribumi Madinah, malah butiran pasir, pokok, batu, dedaun kering, udara, angin dan awan dan alam sekeliling yang pernah melihat sentuhan pengorbanan yang dilakukan Rasul akhir zaman semata-mata untuk umat yang dicintai turut tersentuh dan terasa akan kehilangan Rasullullah. Penghijrahan Saidina Bilal ke bumi Madinah hanya beberapa hari sahaja dan beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kediamannya di Syam kerana bumi Madinah inilah yang kembali mengundang segala kenangan manis bersama Rasullullah yang sudah pasti mengundang kesedihan apabila mengenangkan Rasullah sudah pergi buat selama-lamanya.

Sekembalinya ke kampung halaman, beliau telah ditimpa keuzuran dan sakit tua. Realiti ini menyebabkan beliau menghabiskan sisa kehidupan bersama dengan isteri yang dikasihi.

Siang dan malam silih berganti, namun keadaan Saidina Bilal semakin parah. Beliau mulai sukar bernafas dan tidak mampu membuka matanya. Hal demikian membimbangkan isterinya. Melihat keadaan Bilal yang semakin lemah menyebabkan isterinya bertanya, “Bagaimanakah keadaanmu wahai suamiku Bilal?” Dengan sedikit sisa tenaga yang ada, Saidina Bilal cuba bersuara, “Telah hampir saat perpisahan….’ Kemudian beliau melihat ke depan, lalu samar-samar kelihatan beberapa batang tubuh manusia semakin jelas pada penglihatan Saidina Bilal. Mereka merupakan para sahabat yang beliau kenali dan mereka juga mengenali malah mencintai beliau. Perlahan-lahan mereka menghampiri Saidina Bilal lalu duduk di bahu katilnya. Bilal lantas memperkenalkan para sahabat beliau kepada isterinya, “Yang ini ialah Rasullullah…..yang ini pula Saidina Abu Bakar….dan beberapa sahabat yang lain.” Dengan bibir yang mengukirkan senyuman, salah seorang sahabat yang menziarahinya bersuara, “Sesungguhnya kami datang menjemputmu….”

Tiba-tiba Saidina Bilal menarik nafas sepanjang-panjangnya dan menutupkan kedua-dua bilah matanya yang jernih lalu menundukkan kepalanya sambil diperhatikan oleh isterinya. Dalam keadaan pasrah, “Aduh sakitnya….sukarnya!” Lalu Saidina Bilal menguatkan batang tubuhnya yang uzur dan kembali membuka matanya sambil mengatur pernafasannya yang terakhir. Dan Saidina Bilal pergi menemui kekasihnya yang tercinta, Allah dan Rasullullah.

Rasullullah,
Cintakah aku kepadamu
Andai saban hari aku lupa padamu
Andai acapkali aku tidak mengingatimu

Ya Nabiyallah
Tegarkah cintaku padamu
Seperti cinta Saidina Abu Bakar padamu
Persis cinta Bilal padamu

Ya Habibi,
Kau cintaku, mencintaimu seperti mencintai Allah
Alangkah indahnya andai aku hidup di zamanmu
Bersama berjuang bersamamu
Bersama mendokong agamamu

Wahai khatimul anbiyak,
Malu rasanya meluahkan cinta ini
Lantaran dirimu insan mulia
Sedangkan diri ini insan biasa
Yang bergelumbang dosa dan noda

Wahai kekasih Allah,
Aku rindu padamu,
Ku ungkapkan dalam kalam doaku
Dalam lewat selawatku,
Aku rindu……
Menjejakkan kaki ini di pusaramu
Bersama mengimbau sirahmu
Memutar bilah peristiwa sejarah
Pengorbananmu…
Kasih sayangmu…….

Rasullullah
Mampukah aku mencontohi akhlakmu,
Lantaran dirimu sebaik uswatul hasanah

Rasullullah
Tegarkah aku menyambung perjuanganmu……..

Chamber of secret
Huda soid
Uia gombak

--------------------------------

Andai aku ditakdirkan untuk hidup di zaman Rasullullah,
Ingin sekali aku menjadi insan
Yang walau secebis dapat bertapak di hatinya
Lantas kini salahkah aku
Untuk mengidami pewarisnya?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home