Wednesday, June 04, 2003

KEMATIAN DAN KEHIDUPAN
( Sempena genap setahun pemergian Abang Mohd Fadhil bin Razali, seorang sahabat yang cukup dihormati dan disanjungi)


Hari ini ada sebuah kehidupan yang terpancar
Hari ini jua ada sebuah kehidupan yang telah sirna
Jejak insan di peta riwayat kehidupan
Merangkak, melangkah lantas kadang-kadang berlari
Hingga tersadung di akar musibah
Mencium lantai bumi yang penuh onak
Terluka dan terguris epidermis sejarah
Cuba lari dari sunnatullah yang hakiki
Apakah mampu?

Hari ini ada sebuah kehidupan yangterpancar
Hari ini jua ada sebuah kehidupan yang telah sirna
Hari ini ada ucap tahniah di penghujung senyum bicara
Hari ini jua ada ucap takziah di geletar sendu air mata
Hari ini ada iringan doa selamat di suatu kelahiran
Hari ini jua ada iringan tahlil bersama gugurnya kemboja di dua nisan
Hari ini ada birai mata yang baru menyaksikan alam
Hari ini jua ada kelopak mata yang terkatup selamanya
Berdepan dengan suatu kepastian yang dijanjikan nan lama dulu

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati
Cuma apa yang berbeza ialah bentuk kematian itu
Ada kematian dalam bentuk yang mengerikan
Ada kematian dalam bentuk yang mulia
Ada kematian dalam bentuk tabii
Ada kematian dalam bentuk yang tidak diketahui jejak dan pusaranya
Tapi yang pasti kematian itu menjadikan manusia terbungkam dan terkunci mulutnya” { Nahmar Jamil }

Walau berlari atau sembunyi
Hakikat kematian pasti menjengah
Izrail mencengkam, syahadah dilepaskan
Menyeret pasti amalan baikmu, sedekah jariah dan doa anak soleh
Ah! Sekujur tubuh itu sudah bersatu dan menghuni tanah itu semula!

Hatta kau raja yang agung
Hatta kau pemimpin yang disanjung
Mahupun abid yang saban waktu beruzlah
Atau si kaya yang mampu membeli segala kemewahan dunia
Atau Firaun yang angkuh mengaku tuhan
Mahupun Qarun yang terpana dek emas permata
Hatta Muhammad Al-Amin, kekasih Allah
Pun tak bisa lari dari pedang maut yang mencantas kehidupan
Kematian….kematian….kematian….
Mampukah aku berdepan dengan hakikat nan satu ini ?
Rabbi…temukan aku dengan husnul khatimah…



Nukilan :
Ghafirah bt. Idris
UIA, Pj
4 Jun 2003

0 Comments:

Post a Comment

<< Home