Thursday, June 05, 2003

+ Saya baru habis mengarang cerpen, maaf kalau cerpen yang dihasilkan kali ini agak boring, saya juga mengakui cerpen kali ini terlalu banyak kekurangan, saya memaksa diri mempercepatkan penghasilan cerpen ini dan dihasilkan di waktu tiada mood.
+ Memetik kata-kata akak saya"kalau tak best buat aper tulis cerpen?" Entahlah, kuantiti atau kualiti?
+ Cerpen kali ini banyak terpengaruh dengan novel iman markisa
+ Tolong komen untuk memperbaiki kelemahan.....rasanya sentuhan saya makin lama makin kurang bisanya

-------------------------------------------------------------------------

PONDOK ITU

Bumi Kelantan dibungkus sejuk pagi. Suara cengkerik dan unggas bergemersik. Mengalun irama Subuh di Pondok Tok Kenali. Mentari mula mengintai, menyemarakkan cahaya keemasannya, gugur di kubah masjid, gugur di laman masjid dan tersuluh tubuh kurus Iqbal yang menjinjit tuala ke perigi di bawah pohon ketapang yang rendang. Burung-burung serindit berdecat-decit, mengembangkan kepak dan sayap meredah samudera langit mencari rezeki.

Iqbal menghulur gayung ke bibir perigi tua. Sesekali kedengaran bunyi gayung berlaga dinding perigi bersatu bunyi kocakan air. Air sejuk diratakan ke seluruh tubuh. Dingin menggigit tulang dan epidermis kulit, menjelajah ke daerah diri. Apatah lagi semilir subuh yang menerobos, menampar tubuhnya tanpa henti.

Usai mandi, dengan mengenakan baju melayu biru dan berkain pelekat, Iqbal menghayun langkah menuju ke masjid. Ketayap putih kemas di kepala. Sesekali kedengaran bunyi reriang rancak mengalun lagu rimba. Iqbal mencapai beduk memalu tabuh berkali-kali. Suara muazzin mengalunkan azan merdu, sayup-sayup memecahkan keheningan pagi yang khali. Azan bergema di seluruh pelosok ceruk kampung. Bangunlah wahai warga desa! Tunaikan kewajibanmu Pada Yang Satu. Tinggalkan gebarmu yang selesa. Bangunlah menghadap TuhanMu Maha Pencipta.

Iqbal takbiratul ihram dalam saf yang teratur. Ustaz Amir mengimami solat subuh pada pagi itu. Terasa nikmat indahnya dalam dakapan jemaah. Pahala yang dijanjikan Allah 27 kali ganda. Sesi tazkirah berlarutan selepas selesai solat subuh. Kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Sharafi nyata menjentik minat. Apatah lagi isu pergolakan negara Islam Palestin diutarakan oleh ustaz muda lepasan Universiti Al-Azhar itu. Semangat bagaikan disuntik, terbakar dan menyala-nyala. Getar gegendang telinga Iqbal menangkap butiran kalimah yang terlontar dari bibir Ustaz Sharafi bahawa Allah pernah berfirman dalam Kalamnya Yang Agung ‘Demi sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya terhadap orang-orang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. (Al-Maidah:82)’

Dalam diam, hati Iqbal mengiakan kalamullah itu. Dia mengakui betapa dunia hari ini, Islam ditindas, dipersendakan sewenang-wenangnya. Tiada pembelaan. Paling menyedihkan dunia seolah-olah bisu, pekak dan tuli. Biarpun penderitaan umat islam sering tergambar di layar antarabangsa namun natijahnya tetap sama. Tiada sebarang resolusi yang dapat dicapai.

“Iqbal”.
Suara itu mematikan lamunan. Iqbal tersentak. Kelihatan Ustaz Amir menghampirinya, duduk dan memperkemaskan silanya.
“Iqbal, ustaz ada hal nak bincang dengan anta,” ustaz muda itu mengulum senyuman.
Iqbal turut tersenyum
“Begini, Iqbal sendiri tahukan tanah lapang di sebelah padang bola di hujung madrasah kita ini dah lama terbiar. Pada firasat ustaz, tak elok kita biarkan tanah waqaf itu begitu sahaja. Jadi ustaz cadang nak dirikan beberapa buah pondok baru di situ. Lagipun madrasah kita semakin lama, semakin ramai pelajarnya.”

“Peralatannya bagaimana ustaz?” Iqbal mengajukan soalan, menunjukkan minat.
“Soal peralatan jangan risau Bal. Derus anak tok penghulu dah berjanji hendak sedekahkan kita zink dan kayu. Atap pula kita boleh tempah dengan Mat Ayob dari kampung sebelah. Cumanya ustaz minta tolong Iqbal kumpulkan pelajar-pelajar kita yang lain. Petang ini insyaAllah, kalau tiada aral, boleh kita mulakan tugas membersihkan tanah tu,” terang Ustaz Amir panjang lebar.

“Insya Allah ustaz.”

________________________________________________________________________

Mentari memancar terik. Langit biru bertompok-tompok putih. Awan kumulus berarak ke sana sini, memayungi bumi. Sesekali Iqbal menyeka peluh jantan yang merenek di dahi, bersatu dan berjurai di pipinya. Dia memperkemaskan pegangan tangan di batang cangkul. Dihayunnya dan mata cangkul itu memongkah tanah. Ustaz Amir di hujung sana sibuk mencantas pohon-pohon deduri yang tumbuh, subur meliar. Kemudian pohon-pohon itu dilonggokkan di satu tempat. Kelihatan dua, tiga orang sahabat Iqbal yang lain ralit memangkas ranting pohon rambutan yang merendang. Semuanya tekun bekerja.

Iqbal duduk mencangkung, mengais pohon-pohon senduduk liar, peria katak, lalang, leletup dan kekacang. Kelihatan belalang kacuk riang berterbangan, bertenggek dari satu pohon ke pohon yang lain. Iqbal menyalakan api, longgokan pepohon renek dibakarnya, menggamit bau yang hangit.

Dari jauh, Ustazah Fatimah, isteri Ustaz Amir melambai ke arah mereka.
“Berhenti dulu semua, kita berehat!”

Wanita akhir 20-an itu berhati-hati menjinjit dulang yang sarat dengan makanan dan minuman. Iqbal akur. Dia memberhentikan kerjanya. Lambat-lambat dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Ustaz Amir. Kawan-kawannya yang lain turut mengikut jejaknya. Iqbal mencapai ubi rebus bersalut kirai kelapa, perlahan-lahan disuapkan ke mulutnya. Ubi yang gebu itu dikunyah-kunyahnya. Terasa begitu enak di kala waktu penat begini.

“Alhamdullillah, cerah dan lapang sikit tanah ini sekarang,” Ada nada riang dalam kalam Ustaz Amir.

Iqbal mengangguk, menebarkan pandangan, mengitari seluruh tanah lapang itu. Damai rasanya. Dia puas. Segala usahanya berbaloi.
“Esok, lori akan hantar zink dan kayu ke sini. Bolehlah kita mulakan kerja mendirikan pondok.”
“Eloklah tu ustaz, lagi awal lagi cepat kerja kita, ustaz,” kata-kata ustaz Amir disambut.
“Ustaz pun berharap begitu Bal. Eh…Iqbal, tahun ini tahun terakhir anta di sini?” ustaz muda itu melontarkan soalan.
“Insya Allah ustaz,” Iqbal memetia senyuman.
“Perancangan anta?”
“Kalau diizinkan Allah, ingin rasanya saya menjejakkan kaki di perlembahan Nil. Menimba ilmu sebanyak mungkin di sana. Cuba mengutip pengalaman di negeri orang, ustaz.”
Ustaz Amir menepuk-nepuk bahu Iqbal.
“Bagus tu Bal, ustaz sokong kalau anta nak melanjutkan pelajaran di sana. Empat tahun berada di sana, sudah cukup buat ustaz merindui tanah anbiyak itu. Mesir bagaikan tanah air kedua buat ustaz. Sementelahan negara kita sekarang ini Bal, memang memerlukan graduan seperti anta. Yang dapat membetulkan apa yang pincang dalam masyarakat. Yang dapat menampung kelompangan pembangunan rohani yang kini kian dilupakan.”
“InsyaAllah ustaz, itu yang saya harapkan. Kalau boleh biar pembangunan rohani dan pembangunan modenisasi berjalan seiring. Baru seimbang.”
Ustaz Amir mengangguk-angguk tanda setuju. As-syai yang panas dihirupnya. Aroma harum menerjah hidung.
“Ustaz, saya minta diri dulu, sekarang pun waktu hampir maghrib,” Kalam Iqbal mengakhiri bicara.

________________________________________________________________________

Iqbal sibuk menekuni kitab ‘Mudqal’ karangan Abdul Karim Zaidan. Malam itu nyata sepi dan sunyi. Cuma kedengaran bunyi cengkerik bersahut sendu sang pungguk, menghidupkan irama malam. Sesekali api pelitanya terliuk lentok mengikut alunan angin. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Iqbal mengepung nyalaan api merah kuning itu dengan tapak tangannya. Biar nyalaan itu sekata, menyimbah segenap ruang kecil pondoknya.

“Tok…tok..” pintu pondok Iqbal diketuk. Seraya dia bingkas bangun, membetulkan ikatan kain pelekat, menuju ke arah pintu. Selak kunci dibuka. Terpacul wajah Hassan, di muka pintu.

“Bal, kita ada masalah,” Ada nada cemas dalam suara itu.
Iqbal mengerutkan alis keningnya.
“Maksud kau?”
“Aku dalam perjalanan balik dari rumah Ustaz Amir……” Bicara Hassan terhenti. Dia tercunggap-cunggap menahan keletihan. Cepat-cepat dia menarik nafas, cuba mengatur kata.
“ Ada berita buruk, menurut Ustaz Amir tanah di hujung madrasah tu nak dimajukan oleh kerajaan.”
“Tanah waqaf?” Iqbal kehairan.
Hassan mengiakan kata sahabatnya itu.
“Tapi bukankah tanah itu sudah diwaqafkan untuk madrasah kita. Tanah itu milik arwah Ustaz Osman, datuk Ustaz Amir. Pelik, sebelum ini kita belum pernah lagi terdengar ura-ura kerajaan nak majukan tanah itu.” Kerut di dahi Iqbal menjadi seribu
“Itulah masalah kita sekarang ini, Bal. Sebelum ini tanah itu terbiar begitu saja. Jadi belukar. Tapi bila kita bersihkan dan dirikan pondok, macam-macam perkara terjadi,” Hassan menggeleng kepala, tanda tidak berpuas hati.
“Habis tu Bal, bagaimana perancangan kita untuk dirikan pondok-pondok itu? Tertangguh begitu saja?” Hassan meluahkan persoalan yang bersarang di benaknya
“Tidak Hassan! Kita teruskan juga perancangan kita. Tanah tu dah diwaqafkan untuk kita. Sepatutnya kerajaan tiada hak untuk campur tangan. Kita di pihak yang benar, Hassan.” Tegas sekali nada suara Iqbal. Dia nekad, pondok-pondok baru itu akan didirikan walau apa pun yang terjadi. Semangatnya bulat, keputusannya pejal, tidak mungkin akan berganjak.

________________________________________________________________________

Batang-batang papan dan zink dipunggah keluar dari lori. Kelihatan longgokan atap nipah tidak jauh dari situ. Iqbal mengukuhkan ikatan beg kain penuh paku di pinggang. Penukul dan gergaji dicapai berhati-hati. Iqbal memacakkan kayu sebagai tiang di tanah hingga ke cucur atap. Dia kemudiannya mencapai sebatang kayu dan diacu-acukan ke tiang yang dicacakkan tadi. Apabila cukup-cukup panjangnya, hujungnya dipaku perlahan-lahan.

“Iqbal tetap nak dirikan pondok ini?”

Dia menoleh ke arah Ustaz Amir yang cekap menggergaji kayu. Sesekali ustaz muda itu menyapu mata yang dimasuki habuk-habuk kayu.

“Ya ustaz, walau apapun terjadi, kita tetap akan dirikan pondok ini. Bukan untuk penempatan pelajar sahaja, namun kita boleh dirikan pondok-pondok ini sebagai kelas. Kelas-kelas yang ada sekarang terlalu penuh ustaz.” Sebatang paku dikepit di celah jari hantu. Iqbal pacakkannya di hujung kayu dan diketuknya berkali-kali.
“ Sama-sama kita berdoa Bal, semoga perancangan kita ini berjaya.” Iqbal dapat mengesan sebak di hujung bicara itu.
“Entahlah Bal, ustaz sering terfikir masa depan institusi pondok atau sekolah agama rakyat yang ada di negara kita sekarang. Mampukan bertahan untuk generasi-generasi depan? Sudahlah bantuan kewangan dicantas, tanah kita yang sekangkang kera ini pula hendak dirampasnya.” Keluhan berat dilepaskan.
“Allah Maha Perancang, ustaz. Pasti ada hikmahnya yang tak mungkin kita huraikan.” Seperti Ustaz Amir, Iqbal juga cuba memujuk hatinya yang bergejolak. Bara amarahnya cuba dipadamkan sebaik mungkin.

Menjelang senja, beberapa buah pondok berjaya didirikan. Kerja-kerja memasang atap akan disambung keesokkan harinya. Jauh di sudut hati Iqbal, dia berharap hari esok bakal membawa sinar harapan, bakal memberi keajaiban.

________________________________________________________________________

Angin petang bertiup galak, mengitari daun-daun pokok yang menghijaukan bumi lembapnya. Langit semakin terang. Cahaya mentari menyimbahi seluruh permukaan bumi. Kelas Ustaz Amir kian rancak. Setiap anak muridnya khusyuk mendengar butiran kalimahnya. Sesekali sesi pembelajaran itu diselangi dengan lontaran pendapat pelajar-pelajarnya. Hujah bertingkah, menghidupkan suasana ceria.

Tiba-tiba dari kejauhan sayup-sayup kedengaran bunyi jentolak merodok dan meratakan tanah. Ustaz Amir tersentak. Resah menjalar ke segenap kapilari darah. Darah dirasanya berasak-asak ke jantung. Lantas, pandangannya bersabung dengan pandangan Iqbal. Bunyi itu cuba diamati. Sah, ia datang dari tanah waqaf di hujung madrasah!

Tanpa membuang masa, Ustaz Amir dan Iqbal bergegas ke tanah lapang. Langkah dihayun selaju mungkin. Sesekali mereka berlari-lari anak. Dzan yang menghantui diri, dibuang jauh dari daerah hati. Selawat basah di bibir, meredakan hati yang risau dan gundah yang mengepung diri. Iqbal bungkam. Ustaz Amir memejamkan matanya berkali-kali. Seolah-olah tidak percaya. Benarkah apa yang dilihatnya.? Benarkah apa yang terjadi di hadapannya?

Iqbal terduduk. Bunyi jentolak makin kuat. Jentolak itu mengaum, merodak
pondok-pondok kayu tanpa belas kasihan. Ikatan antara papan terlerai, tiang-tiang penyokong tumbang, menghempap ke tanah. Satu persatu mencium bumi. Angkara siapakah ini? Iqbal meraup mukanya perlahan-lahan. Kelu lidahnya tidak mampu berkata-kata. Sungguh dia tidak menduga, begini akhirnya. Tanpa disedari air mata bergentayangan di tubir mata. Memanik jernih itu perlahan-lahan mengalir ke pipi. Benak hatinya diterjah persoalan. Inikah jawapan untuk masa depan pondoknya?

DI PONDOK ITU

Di pondok itu,
Masih terasa sejuk air di kali
Tika menyimbah tubuh
Dalam dingin semilir sang pagi

Di pondok itu
Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak
Terasa khusyuknya
Terasa nikmatnya
Dalam dakapan jemaah

Di pondok itu
Terngiang suara garau dan parau
Mualim mualimah
Tanpa jemu
Tanpa payah
Mencurahkan bejana ilmu di dada
Sambil tangan memegang rotan
Tegas membetulkan bacaan

Di pondok itu
Dia mengenal Al-Khaliq
Dia mengenal Nabiyallah
Dia menyelami iman
Menghirup taqwa

Di pondok itu
Dia mengutip dedaun kasih
Dalam sinar ukhuwah Rasullullah
Tumbuh membaja di hati
Subur sebati di jiwa

Di pondok itu
Berbumbungkan nipah
Berdindingkan kayu
Bertemankan pelita
Serba kekurangan
Kerapkali bumbung bocor
Air hujan sejuk menepias
Pernah juga dinding terkopak
Mengamit pawana menggigit tulang

Kini,
Nasib pondok itu tidak secerah dulu
Bagaikan lalang
Ditiup ke kanan akan ke kanan
Ditiup ke kiri akan ke kiri

Pondok itu
Akan dikosongkan
Akan dirobohkan
Akan dimusnahkan

Di pondok itu
Cukupkah sekadar dia mampu melihat
Membiarkan segala tohmahan
Pondok dituduh
Melahirkan pengganas
Pondok dikecam
Mengajar kesesatan

Benarkah?
Sedangkan dia tahu
Pondok mengeluarkan insan berilmu
Insan celik ilmu ukhrawi
Alim dan ulama’
Pemangkin dan pewaris kekasih Allah

Di pondok itu
Memanik jernih gugur
Menuruni birat mata
Mengimbau setiap bilah peristiwa hitam
Tanpa pembelaan
Tanpa bantuan

Di pondok itu
Dia mengharapkan
Tangan-tangan sasa
Tubuh- tubuh gagah
Yang bisa mendirikan
Yang bisa membangunkan
Kegemilangan podok itu kembali
Bukan untuk dia
Tetapi untuk agama
Untuk generasinya yang mendatang

Tinta dhaif
Huda soid
UIA Gombak