Wednesday, August 20, 2003

+ Dalam kesibukan assignment yang bertimbun serta kerja-kerja jemaah, masih sempat lagi mencuri masa untuk berkarya. Hasilnya lahirlah cerpen terbaru dari saya, yang mengambil masa cuma 1 setengah hari

+ Mungkin tergesa-gesa menyiapkan menyebabkan plot-plot tidak bergerak flow

+ I tried to be more matured? itu yang dikomen oleh kawan saya bila membaca cerpen nih

+ Dulu janji tanak buat citer cintan, tapi last2 buat jugak lagi kehkehkeh

----------------------------

MA'AS SALAMAH YA ANDALUSIA....

“Ya Andalus, anti fil madhi laki zikra, ghabat ‘anki tilka zikra, wasil til ana zikran bila jadwa, saqati ya Andalus, ya laha min ma’asi.”

Jabal Gibraltar terkesima. Menerima ribuan tentera tidak diundang, berlabuh di gigi pantainya putih dan mulus. Kelemayar mentari bersinar garang, segarang singa-singa Allah yang diserapi semangat jihad fi sabilillah. Angin tenggara berpuput kencang, berlegar-legar di medan peperangan, menerbangkan debu-debu pepasir sahra’. Awan berarak mega, gerun menyaksikan pertembungan gemerincing pedang dua kuasa. Bertetak tanpa henti. Muslimin bertempur 25,000 saldadu Visigoth!

“ Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran. Ketahuilah bahawa di pulau ini kalian telah terlantar daripada anak yatim yang ada di lingkungan orang-orang hina. Musuh kalian telah menyambut dengan pasukan dan senjata mereka. Kekuatan mereka sangat besar, sementara kalian tanpa perlindungan selain pedang-pedang kalian, tanpa kekuatan selain dari barang-barang yang kalian rampas dari tangan musuh kalian. Seandainya pada hari-hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian akan hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh akan berganti menjadi berani kepada kalian. Oleh kerana itu, pertahankan jiwa kalian!”( Tariq bin Ziyad )

< Tariq > Aku akan ke Andalusia!
< Deena > Kenapa perlu Andalusia? ( ketawa )
< Tariq > Aku ingin mengutip kembali dedaun semangat Tariq bin Ziyad, mengisi kekosongan hati ini. Aku dambakan angin ketenangan, ah…setenang Sungai Guadalquivir di daerahmu. Kau juga tentunya mafhum, Tariq bin Ziyad ibarat modus terbaik buat diriku.
< Deena > Usah berselindung Tariq, katakan saja kau membawa diri, bermusafir di dada Cordova. ( ketawa )
< Tariq > Masakan ! Apa perlu aku melarikan diri?
< Deena > ( ketawa )
< Deena > Lupakan, yang pasti aku akan menanti kedatanganmu.
< Tariq > ( senyum )

________________________________________________________________________

Angkasa memutih bak kabus kapas yang tebal. Pesawat Boieng 767 Malaysian Airline bakal berlepas meninggalkan bangunan Kuala Lumpur International Airport yang tersergam megah.

“ Andalusia, dirimu bakal ku jejaki,”

Tariq memejamkan matanya, membayang-bayang Kota Cordova yang bakal dijelajahinya. Dirinya seolah-olah tidak sabar untuk bermesra dengan Sungai Guadalquivir yang sentiasa mengalir tenang sepanjang jalan Paseo de Cristobal Colon, atau masjid terkenal La Mezquita, istana lama Alhambra, El Tajo di La Mina yang terhampar 200 anak tangga malah tidak ketinggalan Kota Sevilla yang romantis.


“ Saya Deena, ahlan wasahlan ke Andalusia,”

Gadis di depannya tersenyum, menampakkan sebaris gigi putih yang tersusun cantik. Mata jelinya bersinar, terlalu kordial dengan kulitnya yang putih gebu. Kerudung kepala dililit kemas, malah berjubah labuh membalut seluruh tubuh.

Tariq masih disuntik kelu. Berhadapan dengan gadis yang ibarat bidadari dari kayangan.

“ Kau memandangku seolah-olah kau tidak pernah melihat perempuan,” Gadis itu pantas bersuara.

Tariq masih membisu. Mengikat pandangan matanya pada gadis itu.

“ Ummi dan abi menunggu di kereta. Ayuh, terus ke rumahku, atau kau punya perancangan sendiri?” Dia menyambung bicara setelah tiada reaksi.

Tariq menggeleng. Beg yang tergalas di bahu sesekali dibetulkan letak duduknya. Segera membimbit bagasinya, menuruti langkah gadis di hadapannya.

________________________________________________________________________

Roda mobil bergerak perlahan. Menyusuri lesu jalan Medina Sidonia yang mecat dengan kenderaan. Perjalanan dari Jerez ke Gibraltar memakan masa. Tariq tunduk lesu. Perjalanan panjang begitu memenatkan. Dipicit tubuhnya yang sedikit letai. Deena masih setia di hadapannya, khusyuk meladeni jalan yang bersimpang siur. Pantas Tariq mengitari pemandangan sekitar perjalanan yang subur dengan pohonan sherry. Alis kening dikerut, menjadi seribu.

“ Kau tak perlu hairan Tariq, Sepanyol memang terkenal dengan sherry atau wine merah,” Pantas perawan itu bersuara, seakan-akan memahami hatinya yang diendus persoalan.

“ Di sini? Berleluasa begini?”

Gadis itu sedikit ketawa menekup mulutnya, mata jelinya tertutup cantik.

“ Malah sherry merupakan sumber pendapatan utama Sepanyol. Terlalu banyak yang perlu kau pelajari Tariq. Ingat, Sepanyol bukan bumi Andalusia yang dulu, yang dibebaskan oleh modusmu lewat 711 hijrah,” Sesekali Deena memandang ke arah Tariq.
Tariq cuma mengeluh, Kecewa barangkali. Islam hanya tinggal sekadar monumen-monumen antik di sini. Berkubur tanpa nisan. Tanah ini menyaksikan Islam pernah bertapak megah di sini, dan tanah ini juga menyaksikan keruntuhan empayar Islam hari demi hari.

“Nah, kita sudah sampai di Gibraltar,” Suara lunak gadis itu berdesir, bergetar ke corong telinga, menyentak lamunan panjang. Segera Tariq mengheret kakinya, mendepani Tembok Tariq ibnu Ziyad, mencium angin selbu pantai Tenggara Cordova. Kakinya berakar, mencengkam perbukitan karang setinggi 425 meter itu.

“ Ah, segalanya hanya tinggal artifak sejarah, tidak lebih dari itu. Malah jika kau jelajahi seluruh pelusuk dada Cordova, di setiap lereng bukit, di perut lembah, malah tinggi di pergunungan, apa yang kau lihat cumalah saki baki Islam yang telah diperkosa, diragut kesuciaannya.” Sinar mata jeli perawan itu bertukar mendung, ada geletar pada hujung suara itu.

Tariq mengangguk perlahan.

“ Lapan ratus tahun roh Islami di sini, tika di puncak kegemilangan Khalifah Umaiyah, malah Muluk at-Tawaif, tapi apa yang kau lihat sekarang hanya puing-puingnya sahaja. Seolah-olah ada lingkaran api yang marak menjelir, menjilat seluruh kemegahan deenul Islami di sini,” Hati perawan itu dijentik sebu, ada gejolak dahsyat di atmanya.

“ Atas sebab itu aku ke sini, Deena. Cuba menjejaki langkah-langkah itu. Langkah Tariq bin Ziyad, langkah Muluk at-Tawaif. Ah, kau sudah lupa kata-kata Hassan Al-Basri, ‘Islam sudah tidur, musliminnya telah mati.’ Aku ingin buktikan pemuda sepertiku malah dara sepertimu masih bernyawa, malah berkobar-kobar obor jihad menjalar ke seluruh jiwa.”

Mencebik.

“ Jihad? Huh ! Pelancong sepertimu datang saban hari, silih berganti. Memetia setiap monumen sejarah di bumiku, sejarah tentang negara ini lumat dihafal malah diabadikan di lensa kamera, namun keadaan tetap sama. Kalian pulang bersama tangan kosong, tanpa pernah mengambil pengajaran helaian sirah bumiku dulu.”

Tariq mengangkat muka, merenung rona merah gadis di hadapannya. Pawana berdesir, mencuri-curi masuk, mengolak lembut jubah hitam miliknya, menari-nari lesu.

“ Aku cuba mengutip nilai-nilai sejarah. Sekaligus mencontohi sifat syuja’ah modusku. Tariq bin Ziyad, perajurit yang ku kira umpama kejora yang berkilau megah tatkala bintang bergemerlap indah di lelangit malam. Saldadu yang mampu membuatkan Tudmir, mayor Andalusia terkesima panjang.” Tariq menarik nafas, menghirup udara tenggara.
“ Aku tidak nafikan Deena, tiada lagi insan seberani Tariq bin Ziyad di pasca moden ini, tentera yang sanggup mendepani 25,000 askar Visigoth terkepung samudera lautan. Malahan bayang Salehuddin Al-Ayubi pembebas Palestin dalam Perang Hittin juga ku kira terlalu kabur. Benar, muslimin bebal dengan erti jihad. Namun itu yang sedang aku usahakan Deena, meniup-niup kalam jihad melalui pena ku. Kau juga maklum professionku, wartawan bebas. Aku umpama medium penyebar dakwah yang bergerak!”

Deena angguk. Pandangan matanya dilabuhkan. Menadah lazuardi angkasa yang terbentang, tumpah ke lautan kristal membiru.

“ Ya, aku pernah menekuni karya-karyamu lewat warkah maya yang kau titipkan. Aku mengkagumi semangatmu, cuma………” ujaran terhenti.

Tariq menyapu bersih wajah gadis di hadapan, menatap bening bebola jeli itu, menunggu jawapan.

“Cuma, aku tidak yakin dengan bayang-bayang kemenangan Islam di bumiku. Entahlah, selagi sentimen keagamaan tidak disuntik, umat muslimin kukira masih lena,hanyut dibuai fatamorgana dunia. Iman mereka lumat dikulum dakyah-dakyah seteru. Penulis-penulis qasidah persis Ibnu Arabi dan Ibnu Zamrah hanya boleh dibilang dengan jari.” Keluhan berat dilepaskan, melerai asakan yang berombak di dada.

“Ah, lupakan! Kedatanganmu menziarahi bumiku semestinya bukan untuk mendengar celotehku bukan? Ayuh, ku bawa kau menjelahi kota romantis Sevilla bertaraf Paris.” Perawan itu mengulum senyuman. Menyembunyikan mendung di raut wajahnya. Namun tetap tawar dan hambar.

_______________________________________________________________________

Angin Sevilla dihirup damai, merebut-rebut masuk ke sinus. Kota Provinsi Andalusia, stereotaip dengan ciri khas Sepanyol melekat ditatap sungguh-sungguh. Kota terkenal kubu matador, malah tarian flamenco yang mengasyikkan serta olive dan sherry menggamit jutaan pelancong asing berasak ke sini. Tambahan bandar pertembungan dua budaya Sepanyol dan Moor Afrika amat indah, persis syurgawi dunia. Monumen-monumen terpasak gagah bermula dengan Katedral Sivella, menjalar ke Realeas Alcarez, singgah di taman Parque Maria Luisa dan akhirnya terhenti di Plaza de Espana semuanya mengkagumkan.

Namun mata Tariq tetap terpampang pada Katedral Sivella, menyapu keseluruhan gereja ketiga terbesar di dunia. Kesal mengepung dada, gereja ini terbangun atas runtuhan masjid besar binaan Almohads akhir abad ke 12. Malah tempat mengambil wudhu’ juga masih kelihatan di sekitar gereja ini. Dibangun dengan gaya Gothic, dihiasi menara loceng La Giralda, yang dulunya minaret Patio de Los Naranjos, Tariq mencebik. Namun benarlah kalam Allah dalam Furqan yang agung:

‘Dan tidakkah mereka menggembara di atas bumi dan menyaksikan apa yang terjadi kepada kaum yang terdahulu. Tetapi perhentian di akhirat adalah yang lebih baik buat orang-orang yang membuat kebajikan. Tidakkah kau mengerti?’( Yusuf : 109)

Usai menatap Katedral Sivella, langkah dihayun lambat-lambat ke Reales Alcarez, yang terletak cuma di seberang Katedral Sivella. Hati tertegun seketika melihat keindahan dekorasi bangunan seramik azulejos beserta tampalan geometri. Istana Raja Mudejar, tinggalan bangsa Moor mercu tanda kemegahan Cordova. Masakan tidak, bangunan itu menelan kerahan tenaga seniman-seniman agung dari Granada dan Toledo.

Jaringan pandangan ditebarkan lagi. Mengitari taman Parque Maria Luisa yang nyata memikat. Tambahan taman itu mengepung Plaza de Espana yang didirikan bertujuan untuk pameran Ibero-Amerika tanggal 1929. Berbentuk teatrikal kipas, dilengkapi dengan terusan kecil dan gondola-gondala mini memutari bangunan. Subhanallah, Maha Suci Allah yang melemparkan kebijaksanaan ke dalam diri setiap manusia. Namun sayang manusia tidak cepat bersyukur!

Tanpa sedar kaki Tariq pantas menyusuri Sungai tenang Gualdalquivir di sepanjang jalan Paseo de Cristobal Colon. Petang sore itu nyata tidak dilepaskan peluang untuk beristirehat bagi setiap pelancong, membanjari dataran tebingnya. Malah beberapa pasangan asyik bercengkerama dalam nuansa yang romantis mencemari kesuciaan suasana yang damai. Arus Sungai Gualdalquivir tetap mengalir tenang biarpun menyaksikan bantat-bantat dosa manusia di dadanya.

Tariq kiam, menekuni Sungai Gualdalquivir di hadapannya. Membiarkan pawana berlegar-legar mengepung dirinya. Menampar lembut kemeja polos biru laut yang melekat pada jasadnya. Namun segalanya masih tidak mampu meredakan hati Tariq yang berambal gelisah. Malah tidak seteguh Menara Torre del Oro alias muzium maritim di tebing sungai itu. Sungai Gualdalquivir seolah-olah mengingatkan Tariq akan kenangan-kenangan lama yang mencengkam pilu. Lantas fikiran terbang melayang ke tanah air. Hati digigit rindu. Ah, apa khabar dirimu? Sungguh Tariq tidak mampu menipu hatinya, kembara jauh ini juga bernawaitu meleraikan kesedihan yang melingkar, selain menggali sirah tinggalan Andalusia.

“ Mengelamun jauh, merindui seseorang?” Deena muncul membawa ‘tapas’ pinchos atau snack tradisional Andalusia. Seraya tapas dihulur kepada Tariq.

Tariq memetia senyuman. Perawan di depannya bijak membaca hatinya.

“ Kau bermusafir jauh ke sini untuk melupakan dia?” Mata jeli itu tajam menikam bebola mata Tariq namun pantas melarikan ekor matanya bila pandangan mereka bertingkah.

Keluhan berat dilepaskan. Seolah-olah ada beban berat yang terpikul di pundak.

“ Aku tidak pernah mengandaikan begini akhirnya. Lima tahun tembok kasih itu terbina, namun runtuh juga dipukul ombak. Sungguh, aku sentiasa berharap melayari bahtera rumah tangga bersama dengannya namun, entahlah….mahabbah ini terlerai, terputus di pertengahan jalan. Kita hanya merancang Deena, namun Tuhan yang menentukan.” Sayu sekali suara itu.

Deena menguis-nguis dedaun kering dengan kakinya. Tapas disuap ke mulut, dikunyah perlahan-lahan.

“ Kau lelaki Tariq. Hanya perpisahan itu begitu menjentik kelakianmu? Deena ketawa kecil, bibirnya dipekup, mata jelinya tertutup cantik.

“ Kau mungkin tidak faham Deena. Balqis bagiku umpama mawar segar yang menggelopak indah. Kami bersama-sama, memadu ilmu tika di sekolah menengah malah dipertemukan lagi di bangku universiti. Mana bisa ku lupa cinta pertama yang menghuni hati ini. Dia yang mengajarku erti cinta tika aku bebal dengan perasaan itu. Ah…..lukanya meninggalkan parut yang dalam.” Tariq memejamkan matanya. Gadis ayu, berwajah redup, bertudung litup tergambar di lelayar pandangan. Balqis, bagaimana bisa dirimu ku lupakan!

“ Habis kenapa perlu diakhiri perpisahan?” Deena memancing soalan.

“ Balqis anak solehah. Dia tidak mampu menolak teruna pilihan ibu dan bapanya. Dia dinikahkan tanpa kerelaan hatinya. Jiwanya terlalu suci.” Tariq tunduk, menyapu mutiara yang bergentayangan di tubir mata. Emosinya dijentik, sentimennya bergoyang.

“ Ayuh Tariq, masakan kau bisa menitiskan air mata hanya kerana seorang perawan. Bukankah dirimu umpama modusmu, Tariq bin Ziyad. Usah katakan padaku yang kau kalah hanya dengan tuntutan halus yang bernama perasaan!” Deena bersuara, menaburkan provokasi.

Tariq tertawa kecil. Gadis ini selalu menghiburkan hatinya.

“ Apa sudah tidak mungkin lagikah gadis lain yang boleh menghuni hatimu, merawat lukamu?”

Tersentak. Seraya mengikat pandangannya pada mata jeli itu. Deena tunduk.

“ Mungkin ada. Cuma mungkin belum sampai masanya untukku memula bicara, menabur rasa.” Tariq memutik senyuman.

Khali. Deena masih tunduk. Kulit mukanya yang keputihan bertukar rona kemerahan. Malu merayap nyali, lantaran mengajukan soalan sedemikian rupa. Deena, dirimu cumalah seorang perawan!

“ Esok hari terakhirmu di sini? Dia bersuara. Memecah khali suasana.

“ Ya, kerja-kerja yang bertimbun pastinya menanti-nantiku di pejabat. Aku tidak bisa berlama-lamaan di sini. Aku juga punya kewajipan yang perlu dilangsaikan. Terima kasih padamu, juga merangkap tourist guide buat diriku. Kenangan di Andalusia akan aku abadikan di petak ingatanku. Tidak mungkin bisa aku lupakan. Aku akan menjejaki bumi ini lagi andai diizinkan Tuhan. Terima kasih sekali lagi atas persahabatan yang dihulurkan olehmu. Aku begitu menghargainya Deena.”

Deena hanya mengangguk. Jejaka berjanggut nipis, berkaca mata itu ditatapnya. Ah Tariq, kau lelaki yang lembab menilai hati perempuan.

________________________________________________________________

< Deena > Bagaimana kembaramu di bumiku? Berjayakah kau mengutip dedaun semangat Tariq bin Ziyad lantas disematkan di kandil jiwamu?
< Tariq > (senyum )
< Tariq > Alhamdullillah. Musafir panjang bisa membuatkan aku tersedar tentang tanggungjawabku sebagai pemangkin penerus dakwah Rasullullah. Terima kasih padamu, malah kau tourist guide yang paling cantik pernah ku temui
< Deena > ( ketawa )
< Deena > Aku punya dua berita gembira untuk dikongsi denganmu. Pertamanya penempatanku atas inisiatif aku dan walid berjaya menubuhkan pusat institusi pengajian Islam kecil-kecilan, untuk mendidik watanku di sana
< Tariq > Allahu Akbar! Alhamdullillah .
< Deena > Yang kedua………aku bakal bertunang dengan sepupuku minggu depan.

Diam.

Terkesima. Hatinya berombak kencang. Segera diraup wajahnya. Nafas terasa mecat. Kapilari darah berlari laju. Denyut jantungnya kencang. Ah, Deena kau juga mengikuti jejak Balqis tika namamu mula terpahat di hati ini. Aku kah yang terlambat atau pertunanganmu yang terlalu cepat. Peluh merenek, bersatu dan berjurai di pipi.

< Deena > Tariq ! Tariq ! kau masih di sana?

Tidak termampu lagi dia menatap lelayar komputer di hadapannya. Segera punat komputer dimatikan. Gejolak di jiwanya dirasakan terlalu mencucuk. Pedih ! Sakit! Nafas panjang ditarik kemudian dilepaskan perlahan. Ya Allah beratnya dugaan ini. Cinta keduanya menjejak nasib kemusnahan runtuhan kota Andalusia.

Ma’as salamah ya Andalusia!


Tinta dhaif,
Huda soid
UIA Gombak

0 Comments:

Post a Comment

<< Home