Sunday, January 25, 2004



khas buat rafiq terakrab, ghafirah idris sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke 21

BINGKISAN BUAT SAHABAT

Sahabat mana bisa aku lupa tarikh keramat ini, tarikh pertama kau menjengah buana. Saat itu perlahan-lahan kelopak matamu kau buka, meskipun pada mulanya cahaya terang yang menyinari mata menyakitkanmu. Namun akhirnya kau terpegun, malah terpesona melihat indahnya alam ciptaan Tuhan. Lantas gegendang telingamu mula bergetar, menangkap sayup-sayup kalimah azan di cuping telingamu. Hidungmu mula berfungsi menghirup lembut pawana dingin yang berpuput, damai ke ronggamu. Syukur sahabat tika itu kau dilahirkan sihat, sempurna segala sifat.

Maka, kau lagukan tangisan merdu buat bonda dan ayahanda tercinta.Sungguh tangisan itu mendamaikan. Mendodoi perasaan, menghempas ketenangan di ladang hati bonda dan ayahanda. Dari sumur bonda kau menghilangkan dahaga. Dari kasih dan cinta mereka kau membesar. Kau merangkak, kemudian bertatih dan akhirnya mampu berlari girang. Tika itu sahabat, kau seorang kanak-kanak yang comel, bersama keletahmu yang menggembirakan.

Sahabat,kini kau melangkah megah ke bustan ilmu. Gudang itu kau jejaki bersama-sama sekalung cita-cita yang tersemat kukuh di kandil hatimu. Maka gudang itu jua menjadi saksi pertemuan antara kita.Kau dan aku. Kita bersama-sama bernaung di bawah satu bumbung ilmu. Tika itu sahabat, aku mengenali dirimu, menjadi sahabatmu, malah saudara seIslammu. Dalam diam aku mengkagumi sifat tanggungjawab yang ada pada dirimu. Aku mencontohi sifat tinggi setiakawanmu. Maka bahtera persahabatan ini kita layari bersama. Tika itu, kita pernah juga dilanda gelombang dan badai, menghempas dahsyat bahtera persahabatan. Namun sahabat, semuanya kita mampu hadapi bersama berbekalkan keimanan pada Yang Esa. Kita juga pernah ketawa, malah menangis dalam titian persahabatan ini. Maka ukhuwah ini berbunga, mewangi memutikkan buah kasih sayang, berakarkan kecintaan pada Ilahi.

Sahabat, andainya dirimu rebah, ingatlah kau masih ada diriku untuk sentiasa menyokongmu. Jangan berputus asa dalam mehnah duniawi. Lupakah kau sahabat hidup ini hanyalah imtihan, semestinya kita diuji untuk menguatkan keimanan. Sungguh sahabat, setiap ujian itu pasti ada hikmahnya. Pasti ada madu yang akhirnya mencairkan pahit hempedu. Sentiasa berhusnuzan dengan Allah wahai sahabat. Ingatkah lagi tika kali bertama kau berjalan di alam kanak-kanakmu, kau jatuh berkali-kali namun kau tidak pernah jemu untuk bangun semula meneruskan langkahmu, masih ingatkah lagi duhai sahabat?

Sahabat aku menyayangimu, kerana kita berkongsi aqidah yang sama. Aqidah mentauhidkan Allah yang Esa. Malah sahabat, Nabi pernah bersabda 'tidak sempurna iman seseorang itu, andai dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri". Berbanggalah wahai sahabat kerana kita dikurniakan dengan nikmat yang paling terbesar nikmat iman dan Islam yang tidak ada pada setiap manusia. Maka sahabat, jadilah mukminah yang solehah, yang sentiasa mentaati suruhanNya. Jadilah juga sahabat, pengikut setia kekasihNya Muhammad Rasullullah, yang sentiasa menjunjung lestari sunnahnya.

Sahabat, dibahumu terletak amanah. Amanah sebagai khalifah tika kau dilahirkan dan amanah sebagai anak kepada kedua-dua orang tuamu. Pikullah amanah itu sebaik-baiknya. Jangan kau terlalai walau sesaat dalam perjalanan menunaikan amanah ini. Peliharalah hubunganmu dengan Khaliq Maha Pencinta, sungguh padaNya sahaja tertumpah lubuk kecintaan. Peliharalah hubunganmu sesama makhluk, terutamanya hubunganmu bersama kedua ibu bapamu. Jangan kau tegar mengungkapkan kalimah 'ah' kepada mereka. Jadikanlah siri Alqamah sebagai teladan. Sungguh sahabat jadilah anak yang solehah.

Sahabat, hari ini hari kau mengulangi detik-detik kau dilahirkan. Namun tidak ada hadiah istimewa yang mampu kuberikan padamu. Hanyalah puspa doa kulayarkan padamu. Aku bermohon agar kau dipanjangkan umur bersama untaian rezeki yang sentiasa mencurah. Aku pintakan semoga ukhuwah persahabatan kita sentiasa segar dan mewangi. Aku rayukan semoga dikau mencapai setiap kecemerlangan dalam hidupmu. Sahabat, selamat ulang tahun ke 21.



Persahabatan ini seperti masih menghijau

dan ia mohon berkata

inilah saban hari

mesra yang telah lama dipeluk.

Tumbuh segar dan semerbak ia

dalam doa kukalung serak rahmat

pagi itu - kulihat wajahmu dalam warna pagi

yang tak pernah hilang rasa persahabatan

saban waktu tiada pula kejauhan ini

menghalang detik rasa

Mengingati dan menghargaimu, sahabat!


Kupagar, kudodoi dan bila di jarak kejauhan

Persahabatan ini tersaga

menjatuh degupku ingin melangkah

meratib segala sengsara lalu


Kadangkala di jarak perantaraan ini

saling kuutus saban hari

serasa wajah subuh, ada matamu

dan serasa ufuk akan terbit

adalah bayangmu

dan kini - entah berapa kali

telah kuhembuskan ke jauhari langit

"Tuhan – rahmatilah persahabatan kami"


Betapa sukar – sesukar dapat kurasa, kuteka dan kujawab

hari ini, betapa susahku berjalan, merangkak

di tengah kota dipeluk gusar

di tengah jalan dirasuk risau

dalam doa,

Moga dirimu senantiasa sejahtera

kugengam segala jari keazaman

tak pernah kulupa. Segala rintih budimu

mungkinkah dapat kau rasa…

Sahabatmu,
huda soid

0 Comments:

Post a Comment

<< Home