Monday, January 05, 2004

PENGALAMAN NGERI

Bas dari penang ke kl sampai tepat pukul 4.25 pagi. Saya dan kakak bercadang menaiki teksi ke uia, kebetulan ada 2 orang pelajar yang ingin menumpang kami. Untung, tidaklah perlu membayar tambang dengan harga yang mahal. Sampai di uia, kira-kira pukul 5 pagi, kakak ke Mahallah Nusaibah, manakala saya ke Mahallah Shafiyah. Kendong dan jinjing beg yang berat. Segera saya mengambil jalan pintas, melalui jalan berbumbung ke cafe. Sampai di cafe, saya tidak perasan kelibat sekumpulan anjing di padang yang berdepan dengan cafe. Alahai, saya terlupa memakai spek atau pun lens. Malah suasana yang gelap juga menyukarkan pandangan saya. Hampir dekat, baru saya terlihat, anjing-anjing tersebut memanggung kepala memandang saya. Ya Rob, apa yang patut saya lakukan! Anjing adalah binatang yang paling saya takuti!

Saya mencampak beg laptop dan pakaian, segera membuka langkah ingin lari. Anjing-anjing itu mengejar saya. Bayangkan saya dikejar lebih dari 10 ekor anjing! Malang nasib saya, saya terjatuh di tangga cafe. Anjing-anjing semakin menghampiri saya. Beberapa tapak saja dari kaki saya. Buntu. Terlupa segala doa yang pernah diajarkan mak dan fadh kepada saya, doa ketika berhadapan dengan anjing. Di kepala hanya terbayang kemungkinan saya akan digigit. Lantas saya menjerit "Allahu Akbar" tanpa henti. Itu saja ikhtiar yang terakhir. Anehnya anjing tersebut terus berhenti dan memandang saya. Tidak mendekati saya. Menggigit saya jauh sekali. Saya cuba bangun, sambil mulut menjerit kalimah keramat itu. Bangun saja, saya terus lari. Anjing-anjing itu apabila melihat saya lari terus mengejar saya. Saya lari keliling cafe. Allah, cafe terkunci, bagaimana saya ingin menyorokkan diri. Anjing masih mengejar saya, dan saya masih berlari. Segera turun tangga ke kiosk, lari kuat-kuat dan mengunci diri dalam tandas. Suara anjing menyalak kedengaran dari luar. Saya duduk diam-diam, nafas turun naik turun naik. Semput berlari dalam keadaan yang sebegitu. Tangan menggeletar. Nyata saya begitu takut.

Kira-kira pukul 6.15, beranikan diri keluar dari tandas, segera ke bilik kak ira, menggunakan jalan belakang. Alhamdullillah sampai di bilik kak ira dengan selamat. Pukul 8.00 pagi cari beg yang telah saya campak. Sesungguhnya itu pengalaman yang paling ngeri dalam hidup saya. Selalu juga mendengar cerita, kawan-kawan yang lain dikejar anjing. Tidak sangka 'cerita' yang sama menimpa saya. Universiti Islam Antarabangsa, universiti islam yang banyak anjing. Kesal dengan sistem di uia, rasanya masalah anjing timbul semenjak raya lagi. Malah ada pelajar yang digigit anjing di mahallah saya. ingin tunggu sesuatu yang buruk terjadi baru mengambil tindakankah?

Ekoran kejadian ini, mak menambah 2 lagi rules, tak boleh ambil bas malam ke kl, dan tidak dibenarkan ke uia, dengan teksi,fuhhh....berapa banyak rules dalam hidup saya.

--------------------
*pengalaman nih terjadi hari ahad minggu lepas, atas sebab yang tertentu, ari nih baru post :D*
*Saya ingin menutup jurnal ini sementara waktu, namun saya masih tidak mampu untuk melakukannya *

0 Comments:

Post a Comment

<< Home