Thursday, December 25, 2003

CERITA 1

"Takperla kalau tak dapat balik, doa dari anak yang solehah insyaAllah akan dimakbulkan" sayu suara ayah kedengaran di corong telefon.

Diam.

Sedaya upaya saya menahan air mata itu dari tumpah. Namun saya gagal. Memanik jernih itu gugur jua, laju menuruni birat mata. Entahlah akhir-akhir ini murah benar harga air mata saya.Benar kata wae, sahabat sebilik saya di kisas dulu, yang saya kini sudah berubah. Saya bukan huda 3,4 tahun yang lalu. Huda yang keras hatinya, yang pejal egonya yang kuat semangatnya. Huda yang ada sekarang adalah huda yang lembut jiwanya, roboh egonya dan pudar azamnya.Ah, sedangkan masa jua berubah, pantai juga berubah inikan saya, seorang insan yang lemah. Kata wae, dia tidak senang dengan perubahan saya, dia inginkan huda yang dulu. Begitu juga saya, saya juga rindukan 'diri' saya yang dulu, yang begitu tabah dan cekal, yang tidak mudah mengalah dengan ujian, yang begitu payah menitiskan air mata. Namun, huda sekarang yang ada nyata sudah berubah!

Tinggalkan semua kisah saya yang dulu.

Entah apa sebabnya, hati saya diusik rindu. Rindu melihat seraut wajah ayah dan emak. Wajah yang menimbulkan ketenangan kala hati diasak penuh permasalahan. Saya ingin pulang! Namun assignment yang bertimbun menjadi penghalang. Malah kakak saya juga punya kerja yang perlu dilangsaikan. Saya tidak betah pulang ke rumah seorang diri, malah arif benar ayah pasti tidak akan membenarkan. Tengah malam Rabu, segera saya mencapai hanset, pantas tangan mendail nombor kakak. Segala apa yang terbuku saya luahkan padanya, mohon pengertian. Betapa hati saya begitu tidak tenang,berkecamuk dan gelisah, betapa saya rindukan wajah kedua orang tua saya. Lantas saya dan kakak berlinangan air mata di corong telefon. Akhirnya sepakat keputusan, pulang pagi khamis!

"Ayah tak dapat amik kat stesen, nanti balik naik bas"
Hati saya dijentik bimbang. Apa yang terjadi pada ayah? Tidak pernah ayah membenarkan kami pulang ke rumah menaiki bas sebelum ini. Tuhan, apa yang terjadi di rumah? Apakah berita yang tidak diri ini ketahui. Sekali lagi air mata tumpah di dalam bas, ketika perjalanan pulang ke rumah. Ah, huda yang murah air mata!

Sampai di stesen, saya dan kakak pusing-pusing mencari bas. Inilah padahnya tidak pernah berdikari atau tidak pernah dibenarkan berdikari. Malah rasanya saya lebih arif jalan-jalan di KL berbanding Penang. Namun akhirnya pukul 6.30 petang saya selamat sampai di rumah.

Tuhan, rupa-rupanya inilah jawapannya pada kerinduan saya. Inilah jawapan kenapa hati saya begitu celaru dan gelisah. Ayah baru keluar dari operation! Malah ketika ini tidak boleh memandu kereta. Tuhan, betapa terseksa jiwa ini melihat senyuman di bibir ayah. Betapa tersiat hati ini melihat susahnya ayah untuk berjalan dan bergerak. Segera saya palingkan pandangan, dan air mata saya tumpah buat kesekian kalinya. Ah, huda yang murah air matanya!

Saya menemani ayah ketika makan ubat dan roti. Saya pegang tangan ayah yang bengkak. Ingin saya urut, tapi ayah tidak membenarkan. Sakit, kata ayah. Saya terdiam. Kolam mata saya berkaca. Ah, sekali lagi huda yang murah air matanya!

Telah saya tanam jauh di lubuk nurani saya, yang hidup saya cuma ada ayah dan mak, keluarga, sahabat, dan juga study. Tidak mungkin ada ruang untuk yang lain. Akan saya kunci pintu hati ini rapat-rapat. Serapat-rapatnya!

-------------------------------

*Jurnal ini mungkin akan ditutup sementara waktu, maaf di atas segala kesulitan*




0 Comments:

Post a Comment

<< Home