Monday, January 19, 2004

SALAH SIAPA?



KUALA LUMPUR: Pembunuhan kejam Nurul Huda Abdul Ghani, 10, (gambar) selepas dirogol dan diliwat oleh tiga lelaki di Johor, kelmarin, mengejutkan banyak pihak yang menyifatkan ia sebagai kejadian kejam.

Sambil menganggapnya perbuatan yang lebih hina daripada haiwan, mereka berpendapat sesuatu perlu dilakukan segera bagi melindungi kanak-kanak yang sering menjadi mangsa perlakuan seks dan jenayah oleh golongan tidak berperikemanusiaan.

Kejadian itu yang kedua membabitkan murid sekolah rendah dalam tempoh 10 hari, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Pada 8 Januari lalu, Harirawati Saridi juga 10 tahun, ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Sehubungan itu, mereka mendesak komitmen semua pihak, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu menangani gejala jenayah terhadap kanak-kanak seperti rogol dan bunuh yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Mereka turut mendesak dipertingkatkan pembanterasan jenayah itu serta melindungi kanak-kanak daripada penganiayaan dan menyedarkan masyarakat supaya bersikap lebih penyayang.

Pengerusi Perkhidmatan Hotline MCA, Tai Sim Yew yang menyifatkan perbuatan terhadap murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tiram Duku, Tanjung Kupang itu lebih hina daripada haiwan, berkata sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang yang membolehkan pesalah kes rogol dikenakan hukuman sebatan mandatori di depan khalayak ramai.

“Selain disebat di khalayak ramai, pesalah kes rogol dikasi sama ada melalui pembedahan atau menggunakan kimia.

“Kerajaan perlu bertindak tegas bagi menggambarkan betapa seriusnya kita menangani jenayah kejam seperti yang menimpa Nurul Huda,” katanya.

Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Tan Yee Kew, berkata peningkatan kes rogol kanak-kanak menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat negara ini.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah penyelesaian mutlak terhadap masalah yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mungkin kerajaan boleh mencari jalan untuk mengawasi pergerakan mereka yang mempunyai rekod jenayah atau yang disyaki boleh mengancam keselamatan,” katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman Said pula berkata, pihak berkuasa bukan saja perlu mencari punca masalah ini, malah mengenal pasti mengapa ia berlaku.

“Pihak berkuasa mesti meneliti akar umbi masalah ini dan menyelesaikannya di peringkat itu,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ng Yen Yen berkata adalah menjadi tanggungjawab orang dewasa untuk melindungi kanak-kanak dan memastikan negara sentiasa aman daripada jenayah terhadap kanak-kanak.

“Kanak-kanak memerlukan perlindungan dan kita sebagai orang dewasa seharusnya memastikan tanggungjawab itu ditunaikan, bukan menganiaya mereka dengan merogol dan bunuh.

“Saya sebagai wanita dan ibu, saya amat sedih dengan kejadian ini dan berharap polis mengambil tindakan segera,” katanya.

Dalam kejadian itu Nurul Huda, mati dicekik selepas dipercayai dirogol dan diliwat tiga lelaki, termasuk seorang pengawal keselamatan yang mempunyai lapan rekod jenayah seperti samun dan curi, di sebuah pondok keselamatan Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Bhd (TNB), di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye meminta kerajaan menganjurkan forum khas mengenai jenayah dan keganasan bagi mencari punca dan penyelesaian menanganinya.

Katanya, forum boleh dijadikan medan membincangkan pelbagai isu berkaitan jenayah dan keganasan, termasuk kesannya kepada masyarakat.

Beliau berkata, melalui forum itu, pembabitan tokoh akademik, polis, agensi kerajaan, ahli psikologi, kaunselor, wakil ibu bapa dan masyarakat setempat perlu diberi penekanan supaya dapat menyumbangkan idea bernas menangani masalah berkenaan.

“Forum ini lebih kurang sama dengan forum keselamatan jalan raya yang diadakan baru-baru ini. Hasil perbincangan boleh dijadikan cadangan kepada kerajaan sebelum disusuli tindakan sewajarnya,” katanya.

Lee juga mencadangkan ahli akademik dan polis mengkaji budaya ganas di kalangan masyarakat, terutama kesan pengaruh media menerusi penayangan filem dan drama berunsur keganasan.

Mengulas kejadian terbaru itu, beliau berkata, kecenderungan penjenayah melakukan pembunuhan kejam serta ganas sejak akhir-akhir sudah menjadi budaya yang membimbangkan.

Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata kajian terperinci mengenai faktor yang mendorong sesetengah lelaki bertindak ganas terhadap kanak-kanak mesti dilakukan.

“Adakah kerana tekanan rakan, pendidikan ketika membesar atau pengaruh bahan pornografi. Tidak guna kita menggubal pelbagai undang-undang jika punca sebenar di sebalik perlakuan ganas itu tidak diketahui,” katanya.

Presiden Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), Dr Mary Suma Cardosa, berkata pihaknya sudah lama melobi supaya pindaan dilakukan terhadap undang-undang berkaitan jenayah rogol.

“Namun, sehingga sekarang tiada cadangan kami yang diterima. NGO wanita sudah lama mengulangi mesej yang sama supaya pemikiran lelaki diubah dan wanita harus dihormati dan bukan digunakan sesuka hati,” katanya.

Berita Harian, Isnin 19/01/2004

--------------------------

Tirai 2004 dibuka dengan kes rogol seorang budak berusia 10 tahun. Kes kes rogol makin berleluasa sekarang ini. Rasa belum kebah lagi dengan kes Norita kita dijamu pula dengan kes rogol seorang budak berumur 10 tahun Nurul Huda Abd Ghani.(Meski kes Norita mangsa bukannya dirogol tetapi mati ketika melakukan seks bersama beberapa lelaki. Ada hikmah kematiannya, reveal perbuatan hinanya sebelum ini. Or should i say prostitute?)

Salah siapa, kes rogol berleluasa. Akbar harian hari ini lagi budak dirogol, mangsa yang berumur 8tahun dirogol ketika dalam perjalanan ke kedai. Berkesempatan mendengar radio pagi tadi sebelum ke kelas probate. Malah isu ini juga yang dibincangkan ketika Malaysia Hari ini. Daripada panggilan telefon dari pemanggil, ramai yang mencadangkan hukuman rogol diketatkan hatta membawa kepada rejam.

"kita rejam orang yang rogol tuh kat dataran merdeka, satu malaysia rejuam ramai-ramai"

Meski nampak seperti dalam nada lawak tapi kesimpulannya tetap satu, rogol hukuman REJAM!

Begitulah manusia bila tidak dapat jalan penyelesaian pasti akan kembali kepada hukum Allah, kembali pada fitrah. Bukankah islam itu agama fitrah, masdar dari Allah dan semestinya Allah lebih mengetahui tiap-tiap sesuatu dan hikmah satu hukuman. Subhanallah, manusia takkan mampu lari dari fitrah! Benar?

Ramai yang terkeliru, mungkin akan kedengaran suara sumbang sebegini "Kalau tak boleh produce 4 saksi macam mana? Perogol tuh terlepas la..."

Itu suara-suara orang yang tidak mahu mendalami hukum islam, yang bercakap tak menggunakan otak, atau bercakap buat-buat pandai tentang hukum islam. Rogol tak termasuk bawah hudud, namun takzir, terserah kepada pemerintah untuk memilih hukuman dari hukuman-hukuman berdasarkan kepada maslahah 'am. Hatta hukuman tersebut boleh membawa kepada mati.

Andai tidak mahu menggubal undang-undang, masih angkuh dengan undang-undang yang ada, bersedialah untuk mendengar kes dan berita yang sama pada masa akan datang. Hanya kerana tidak mahu mengakui kebenaran islam, meski hati mengiakan, kita sanggup tutup mata, pekakkan telinga?


Timbang-timbangkan

p/s : lepas peristiwa rogol nurul huda ini, mak dan ayah sibuk telefon saya, mereka turut terasa, mungkin kerana nama kami serupa

Tak bawak penal code, tak dapat identify kes rape jatuh kat bawah section mana hehe :D

0 Comments:

Post a Comment

<< Home