LAGI ISU HIJAB
Peraturan haram tudung diteruskan
PARIS: Perdana Menteri Perancis Jean-Pierre Raffarin semalam menyatakan keazaman kerajaannya meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan pemakaian tudung di sekolah awamnya biarpun kebimbangan mengenainya terus disuarakan sehingga kini.
“Undang-undang mengenainya akan tetap diadakan,” katanya dalam wawancara dengan akhbar Perancis Le Journal du Dimanche yang disiarkan semalam.
Menurutnya, biarpun Menteri Pendidikan Luc Ferry dipertanggungjawab menyediakan persiapannya, beliau sendiri sebagai perdana menteri akan membentangkan rang undang-undang berkenaan di Parlimen pada 3 Februari ini.
“Ini sebagai bukti kerajaan mempunyai satu suara dalam isu ini dan memastikan negara ini tidak akan dibiarkan hancur oleh mereka dari dalam Perancis sendiri,” katanya. – AFP
Deraf rang undang-undang itu yang mengharamkan ‘lambang atau pakaian yang memaparkan keagamaan pelajar’ dipersetujui Presiden Jacques Chirac bulan lalu atas alasan mengukuhkan pelaksanaan sekularisme yang ketat di dalam bilik darjah.
Namun, ia sebaliknya mencetuskan kemarahan ramai, terutama umat Islam Perancis dan luar negara yang menganggap mereka menjadi mangsa diskriminasi.
Raffarin sebaliknya menolak dakwaan itu dan berkata kerajaannya tidak berhasrat mengharamkan sebarang kegiatan keagamaan di dalam masyarakat ‘kecuali melindungi sistem pendidikan.’
“Tidak wujud sebarang matlamat lain. Republik ini terbuka dan bertolak ansur tetapi ia juga harus tegas bagi memastikan semua nilai-nilainya dihormati,” katanya.
Rang undang-undang itu yang turut mengharamkan lambang salib Kristian dan pemakaian topi oleh penganut Yahudi di sekolah, mendapat sokongan 70 peratus penduduk awam Perancis sebagaimana dibuktikan menerusi satu tinjauan pendapat terbaru.
Amaran kesukaran melaksanakan undang-undang itu pada awalnya disuarakan di luar Perancis tetapi ia turut diakui beberapa pemimpin politik Paris, dari parti pemerintah dan pembangkang.
Bekas perdana menteri Edouard Balladur yang juga anggota parti Gerakan Kesatuan Rakyat (UMP) pimpinan Chirac berkata, biarpun dia menentang pemakaian tudung di sekolah, undang-undang sekarang sememangnya sudah cukup untuk menangani masalah yang timbul.
“Saya tidak yakin yang undang-undang itu dapat mengatasi masalah yang ada,” katanya.
Antara persoalan lain adalah bagaimana rang undang-undang itu boleh dikuatkuasakan ke atas kira-kira 6,000 penganut Sikh yang mana turban mereka sememangnya lambang agama tetapi setakat ini tidak menjadi satu ancaman.
Selain itu pemakaian bandana atau kain lilit kepala, kata Ferry, mungkin turut diharamkan berikutan pelaksanaan undang-undang itu. – AFP
-----------------------
Guru rentap tudung pelajar Islam
PETERBOROUGH: Seorang guru di Ontario, Kanada semalam didakwa kerana menyelak tudung pelajar Islam dan mengeluarkan kenyataan kasutnya lebih bernilai daripada Allah.
Dalam kes pertama dalam sejarah negara itu, Hazel Dick, 43, dibicarakan atas tuduhan melakukan serangan meskipun pendakwa menerima kenyataan bahawa wanita itu tidak membantah pelajar 15 tahun itu memakai tudung, tetapi bertindak disebabkan tudung tidak termasuk dalam pakaian seragam sekolah.
Pendakwa, Stuart Alford memberitahu Mahkamah Crown Peterborough, Dick yang menafikan tuduhan itu, menyingkap tudung pelajar itu menyebabkan muka remaja perempuan itu luka dalam kejadian pada Mac lalu di Sekolah Bretton Woods, Peterborough.
Alford turut mendakwa Dick mencerca remaja itu dengan berkata:
"Adakah agama kamu mengajar bersopan santun dan menghormati. Sanggup kamu memandang bapa kamu dengan pandangan begitu. Tahap kamu menghormati Allah adalah sama seperti saya menghormati kasut saya.
“Islam hanya satu gurauan,” kata guru itu.
Kejadian berlaku apabila pelajar perempuan itu ke sekolah memakai tudung hitam dan bukannya tudung kelabu seperti yang disyaratkan. Dick meminta pelajar itu menukar tudung di bilik lain.
Ketika pelajar itu sedang menanggalkan pin pada tudungnya, guru terbabit merasa tersinggung akibat ditenung tajam remaja itu, menyebabkan beliau merentap tudungnya, kata Alford.
“Muka remaja itu terkena jarum yang disemat pada tudungnya akibat direntap guru itu. Kecederaannya amat kecil tetapi tindakannya itu dikategorikan sebagai menyerang.
“Ia juga disertai dengan kata-kata yang menghina agama,” kata pendakwa itu.
Dick menafikan tuduhan itu dengan menyatakan dia sekadar membantu remaja itu menanggalkan tudungnya serta tidak menyebut perkataan Allah atau menghina Islam. – Agensi
0 Comments:
Post a Comment
<< Home