Thursday, June 10, 2004

Ketua Pembangkang juga pertikaikan mengapa ketua kerajaan harus orang Islam -- Kit Siang persoal negara Islam

KUALA LUMPUR 9 Jun - Tindakan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mempersoalkan perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam menghangatkan persidangan Dewan Rakyat apabila berlaku pertikaman lidah antara beliau dengan beberapa penyokong kerajaan.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2004 pada peringkat jawatankuasa, Lim mempertikaikan perisytiharan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2001 bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Kit Siang berkata, berdasarkan perlembagaan dan kontrak sosial, Malaysia sebuah negara demokrasi sekular dengan agama rasminya adalah Islam dan oleh itu negara ini tidak boleh dianggap negara Islam atas apa jua ciri atau perisytiharan.

Kit Siang juga mempertikaikan mengapa ketua kerajaan harus terdiri daripada kalangan orang Islam sedangkan di negara lain yang mendukung demokrasi seperti India, Perdana Menterinya kini adalah daripada golongan kaum minoriti.

Tindakan Ketua Pembangkang itu menerima teguran daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Lim Si Cheng yang meminta Kit Siang membahaskan soal perbekalan tetapi tidak dihiraukannya.

Kit Siang berkali-kali menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh dianggap sebagai negara Islam berpandukan perlembagaan negara dan kontrak sosial dan sebarang perisytiharan atau hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam sebagai sesuatu yang menyalahi perlembagaan.

``Jika pemerintahan dan pertahanan negara dipegang oleh orang Islam, adakah orang bukan Islam di Malaysia bukan manusia?'' tanya beliau.

Pada peringkat ini berlaku pertikaman lidah dengan beberapa penyokong kerajaan seperti Datuk Amiruldin Badruddin (BN-Jerai), Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Zaid Ibrahim (BN-Kota Bharu) dan Idris Haron (BN-Tangga Batu).

Amiruldin dan Bung Mokhtar kemudian membangkitkan peraturan mesyuarat terhadap kata-kata yang dikeluarkan Kit Siang tetapi tidak dihiraukan oleh Ketua Pembangkang itu.

Kenyataan Kit Siang itu turut menarik minat Salehuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) yang menjelaskan bahawa Pas menyatakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam hanya setelah mendapat sokongan rakyat sedangkan UMNO telahpun mengisytiharkan negara ini sebagai negara Islam.

Kit Siang kemudian berkata, dari segi realiti rakyat Malaysia lebih takut dengan idea penubuhan kerajaan Islam Pas daripada perisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dibuat oleh kerajaan pimpinan UMNO. - Bernama



Tidak ada sebarang artikel di Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa ketua kerajaan harus di kalangan orang melayu yang beragama islam. Tapi ia diamalkan di Malaysia sejak merdeka lagi. Itu dinamakan convention, practise yang diguna pakai di Malaysia. Undang-undang perlembagaan terbahagi kepada dua, undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis. Biasanya undang-undang perlembagaan di Malaysia ialah undang-undang bertulis berbanding dengan UK yang kebanyakkan undang-undangnya tidak dibukukan dan berdasarkan convention. Juga convention adalah satu cabang undang-undang.Tapi sejauh manakah convention diterima pakai selagi tidak dikodifikasi dalam perlembagaan?

Saya kira tindakan Lim Kit Siang adalah sesuatu yang dianggap begitu berani. Atau adakah ini yang dikatakan revolusi orang cina di Malaysia? Menuntut hak yang sama dengan orang melayu hatta meminta Ketua Negara juga boleh dijawat oleh golongan yang bukan islam. Juga teringat pilihanraya pada tahun 1999(i'm not sure with the year), apabila orang cina meminta agar timbalan menteri besar pulau pinang terdiri dari orang cina namun ditolak setelah kejayaan cemerlang MCA dan MIC dalam pilihanraya tersebut. Atau masih ingatkah lagi kenyataan Tun Dato' Mahathir Mohammad beberapa tahun yang lepas bahawa Perdana Menteri Malaysia boleh terdiri dari orang cina atau india. Kenyataan yang nyata mengundang kontroversi.

Dan yang paling terbaru, isu 128 orang pelajar yang tidak mendapat jurusan perubatan yang kebanyakkannya terdiri dari pelajar cina, hinggakan perkara ini dibincang ke peringkat negara, dibentang di dalam kabinet. Sedangkan hakikat sebenarnya masih ramai lagi orang melayu yang tidak mendapat jurusan sains di ipt tempatan berbanding pelajar cina.

Atau isu matematik dan sains dalam bahasa inggeris namun dwibahasa bagi orang cina.

Juga isu meritokrasi menggantikan sistem kuota atau peratus pengambilan kaum cina di mrsm.

Revolusi kaum cinakah di malaysia?

Seharusnya kaum cina perlu ingat toleransi yang diberikan oleh nenek moyang kita, memberi kewarganegaraan kepada mereka sebagai tukaran keistimewaan bangsa melayu dan bumiputera. Atau toleransi itu sudah terlalu lama dan lapuk?

Untuk mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam adalah dengan membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bilamana artikel 3 Perlembagaan hanya menyebut Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan. Dan pindaan hanya boleh dibuat melalui majoriti 2/3 daripada parlimen yang mahukan Malaysia sebuah negara Islam. Bilamana pindaan itu dibuat dan Malaysia adalah negara Islam pastinya undang-undang adalah berteraskan Al-Quran dan Sunnah dan bukan lagi undang-undang Common Law dan equity yang kita tiru dan salin dari Barat. Dan semestinya dalam negara Islam ketua negaranya ialah seorang muslim yang beragama islam .

0 Comments:

Post a Comment

<< Home