Monday, May 31, 2004

MARTABATKAN BAHASA

Lawatan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membincangkan isu dua hala antara Malaysia dan China, dilihat sebagai satu langkah menyambung kesinambungan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak ratusan tahun dahulu. Hubungan antara Malaysia-Cina telah terjalin erat sejak zaman pemerintahan Melayu Melaka, buktinya kunjungan hormat Laksamana Cheng Ho ke Melaka sebagai wakil utusan Maharaja China. Hubungan itu dieratkan lagi dengan ikatan perkahwinan, apabila Sultan Mansur Syah memperisterikan seorang puteri dari negara China iaitu Puteri Hang Li Po.

Mengimbas sejarah hubungan kedua-dua negara, Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak juga pernah berkunjung ke China bagi menandatangani pernyataan bersama untuk menjalin hubungan dengan negara tersebut yang diwakili oleh Perdana Menteri china, Chou En Lai.

Namun lawatan Perdana Menteri kali ini dilihat agak berlainan dari kunjungan-kunjungan yang terdahulu. Ini kerana kunjungan kali ini selain membincangkan kerjasama dan usahasama antara kedua-dua belah pihak, turut menyentuh isu Bahasa Melayu. Malaysia berhasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang aktif di China memandangkan penutur bahasa itu pada hieraki kedua selepas bahasa Mandarin dengan jumlah penuturnya 250 juta orang di Asia Tenggara. Justeru satu kursus pengajian Melayu akan diwujudkan di Universiti Pengajian Luar Beijing. Perkembangan sihat ini dilihat sebagai satu langkah bagi memartabatkan kembali Bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara.

Seharusnya negara wajar mencontohi negara-negara seperti Jepun dan Korea yang mengagungkan bahasa dan budaya mereka sendiri, malah bahasa nasional negara digunakan hampir dalam semua urusan kerajaan. Meski ketidak bergantungan kepada bahasa asing memperlihatkan Jepun dan Korea mampu bangun sebagai negara maju setanding dengan Amerika Syarikat.

Namun di Malaysia kecenderungan budaya menutur dalam bahasa asing dalam urusan-urusan kerajaan dan urusan-urusan rasmi mengakibatkan Bahasa Melayu dipinggirkan. Juga budaya pinjam terjemah bahasa asing ke dalam bahasa Melayu, sama ada pinjam secara terus atau terjemah secara transliterasi menjadikan sesuatu perkataan itu kelihatan agak janggal. Sebagai contoh terjemahan perkataan 'bequest' dalam Bahasa Inggeris kepada 'bekuis' dalam Bahasa Melayu. Kenapa tidak sahaja perkataan 'bequest' itu diterjemahkan sebagai 'wasiat' tanpa perlu meminjam bahasa asing dan mengubahkannya dari segi ejaan. Persoalannya adakah Bahasa Melayu kita sudah habis perbendaharaan katanya?

Monopoli Bahasa Inggeris dalam interaksi global dunia menyebabkan bahasa itu paling dititik beratkan di kebanyakkan negara. Mungkin atas alasan itu pembaharuan pembelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris mula dilaksanakan pada tahun lepas. Tetapi tahukah 'bahasa dunia' itu hampir 60% bahasanya diambil dari bahasa Perancis. Sebagai contoh perkataan 'destiny' diambil dari perkataan 'destin' dalam bahasa perancis, juga perkataan 'transport' dipinjam secara terus dari perkataan 'transport' dalam Bahasa Perancis. Malah hampir semua perkataan Inggeris yang akhirnya 'tion' adalah asalnya dari bahasa Perancis.

Justeru, saya kira Bahasa Inggeris bukan satu bahasa yang asli, yang akar umbinya berpaksi pada bahasa itu sendiri.



0 Comments:

Post a Comment

<< Home