Monday, May 10, 2004

MAK..KAU RATU DIHATIKU



Satu nama yang dirindu, satu nama yang dicinta, satu nama yang dikasih, satu nama...satu nama...satu nama yang berjasa.

Ibu, terima kasih,terima kasih buat segalanya.

********

Baru perasan hari isnin minggu depan final exam untuk probate II juga kertas bahasa melayu perundangan, doakan saya. Mungkin jurnal ini akan jarang diupdate seperti selalu. Ramai yang bertanya saya, apa yang saya belajar dalam Probate II, jawapan saya, probateII saya belajar islamic law of inheritance atau lebih mudah dikenali dengan fara'id

Cerpen dibawah mungkin sesuai sempena hari ibu, dah lama disiapkan semasa cuti sebelum ke sem3(sekarang sem3 dah nak abis heh), cuma perlu diedit untuk endingnya. Nantilah mungkin lepas exam nanti. Kata saya pada gopi, ini salah satu karya 'sampah' dari saya.

*********

I ( Prolog)

Oh, kepada siapa harus ku khabarkan kisah duka yang berjelira di tangkai jiwa. Kepada siapa harus aku mengadu episod sengsara yang terakam dalam memori epidermis atma? Kepada kaliankah? Mengertikah kalian akan sengsara yang terpasung dalam mandala kalbuku sebagai seorang wanita. Ya, wanita, atau lebih tepat sebagai seorang ibu! Kalian pernah menjadi ibu?

II

Ini kisah benar, cerita lara yang terukir, tercalar malah terlorek dalam kanvas hayatku. Ingin aku pampangkan pada kalian, terpulang pada pertimbangan kalian mahu mempercayainya atau tidak!

III

Tanggal 23 Julai 1994, aku dikhabarkan satu berita yang menjentik rasa gembiraku. Aku terkejut metah, namun syukur terlebih dahulu bertamu di aspal hati.
Aku bakal menjadi ibu! Ladangku subur menyemai benih zuriat suamiku, tanda tautan untaian kasih antara kami yang tidak pernah terlerai. Lalu kau mula, menghuni kantung rahimku buli-buli yang dipenuhi kapilari darah yang halus tersusun. Ketika gamet ovumku bersatu dengan gamet spermatozoa milik babamu, kromosom ini tergabung jalin lantas diimplantasikan di dinding tiubku yang sempit nan gelap. Itu kembara pertamamu wahai anakku, perjalanan panjang alam ruhmu dalam perkiraan masa 190 hari. Kandungan ini aku dan babamu tatang penuh sempurna, bagai minyak yang penuh. Dari setitis nutfah kau perlahan-lahan membentuk segumpal darah (‘alaqah) yang merah. Proses itu tidak terhenti bilamana dari segumpal darah kau beralih menjadi mudghah dan akhirnya membentuk tulang belulang yang dibungkus oleh daging yang lembut. Saat itu, anakku, kau bernafas seiring dengan nafasku. Jantung kecilmu berdenyut selari dengan denyutan jantungku sebagai ibumu. Aku dan babamu sering mengalunkan surah Yusuf, Luqman dan Maryam, agar kau dilahirkan seindah ceria wajah Nabi Allah Yusuf, agar dirimu mewarisi kebijaksanaan cendikiawan Luqman Al-Hakim serta hatimu kan dihiasi secangkir mewangi keimanan Maryam wanita suci. Kau bergerak-gerak, memberi respon dan tindak balas pada kalimah tayyibah yang aku lagukan. Oh, indahnya saat menjadi seorang ibu.

Genap 9 bulan 10 hari, dinding anteriorku bagaikan ditendang-tendang oleh kaki-kaki halusmu. Mungkin kau tidak sabar mahu menjengah buana nan indah. Perutku mula disapa rasa sakit yang berjeda. Darah sudah tidak terhitung mengalir, membasahi lencun bajuku. Air mentubanku pecah! Babamu paling rengsa gelisah. Kata nenekmu ini masanya, saatnya aku akan melahirkanmu. Mujur nenekmu bidan yang cekap dan akhirnya kepalamu perlahan-lahan mula keluar dari kepompong rahimku melalui lubang serviks yang sempit. Serasa derita melahirkanmu yang umpama ditetak seribu bilah pedang hilang tika aku menatap wajah beningmu. Kau milik iras babamu, matamu, hidungmu malah mulutmu menyalin penuh wajah tenang dirinya. Lantas babamu mengalunkan azan ditelingamu, diiringi ucap syukur yang tidak sudah-sudah terbit dari bibirnya. Kau cahaya mata kami, qurratul ain buat kami yang pertama. Tika itu gegendang telingamu mula bergetar wahai anakku, menangkap sayup-sayup kalimah azan di cuping telingamu. Hidungmu yang kecil mula berfungsi menghirup lembut pawana dingin yang berpuput, damai ke ronggamu. Kau lagukan tangisan merdu, menghempas tenang ladang hati aku dan babamu. Rengekmu begitu mendodoi perasaan, mendamaikan kandil jiwaku dan sukma hatiku.

Kau kami namakan Fatimah Az-Zahra, puteri bongsu kebanggaan Rasullullah. Itu nama yang aku dan babamu rangka-rangka ketika dikhabarkan akan kewujudanmu di kantung rahimku. Dia wanita idola aku dan babamu, malah modus operandi seluruh pelusuk manusia. Moga-moga kau anakku, bakal menjadi serikandi meladeni semangat jitu dan utuh milik diri itu, wanita yang terdidik dari madrasah suci Rasullullah

Kau menghilangkan dahaga dari sumurku. Dari kasih dan cintaku dan babamu, kau membesar. Kau menelentang sebelum kaki-kaki lembutmu mula merangkak. Maka seluruh pelusuk bahagia teratak kita kau jelajahi dengan kaki-kaki kecilmu. Kemudian kau cuba bertatih, menjatuhkan kakimu buat kali pertama menyentuh bumi. Masih aku ingat kau akan sentiasa bertatih mendapatkanku, dalam penuh selirat payah kau akan cuba berjalan ke arahku, meski kadangkala kau jatuh ke tanah berkali-kali. Hatiku disapa bimbang melihatkan tubuhmu rebah mencium tanah, saat itu anakku, ingin kau kudakap, namun babamu pantas menegah, kata babamu biar kau jadi anak yang terdidik dengan kesusahan, moga kau menjadi anak yang menyalin sifat syujaah pemuda Ali dan berani siaga Asma’ puteri Abu Bakar tika mana menghantar bekalan buat Rasullullah dan ayahandanya dalam ripuh dan ribut muslihat Quraisy nan kafir! Namun rasa resah yang mercup di aspal sukmaku hilang tika melihat senyum tawamu saat kau mendapatkanku. Kau kurangkul erat dalam pelukan, sebelum mulutmu yang munggil menghadiahi diriku ciuman, singgah di pipiku.

Saat yang paling terindah bila gigi susumu mula tumbuh menghiasi gusi mu nan merah jambu. Kau demam seharian! Dalam esak tangis yang merengek, kau seolah ingin memberitahuku derita yang kau alami. Bersabar wahai anakku, itu proses pertumbuhan normal dalam kehidupanmu sebagai seorang insan. Dan akhirnya tika dua puntung gigi kelihatan di celah bibir depanmu, kau sudah pandai menyebut kalimah yang begitu mengharukan hatiku sebagai ibu. “Ummi….ummi…”. Itu kalam pertama yang keluar dari bibirmu. Ya, kalimah pertama yang menggetarkan sukmaku, mengoyangkan tangkai hatiku.

Kau membesar dan membesar dalam penglihatanku sebagai ibumu. Sungguh begitu cepat masa berlalu hinggakan kau kini sudah menjangkau 7 tahun. Kau anak yang comel, dihiasi dengan lekuk lesung pipit yang dalam tika kau tersenyum. Kau mula melangkah ke alam baru, alam persekolahan. Telatahmu makin menghiburkan diriku dan babamu. Kau mula bercerita tentang teman-teman barumu, tentang guru-gurumu dan pelajaranmu. Malah tudung kecilmu tidak pernah lekang menutupi rambutmu meski kau belum mencapai usia akil baligh. Waktu itu kau sudah pandai menguruskan dirimu, malah kau tidak membenarkan diriku membantumu. Semuanya kau ingin lakukan sendiri, meski berkali-kali aku ingin menyempurnakan bagi pihak dirimu. Kau juga makin pandai bergaya di lensa kamera. Ketika babamu menekan picu kameranya kau mula beraksi, melakonkan pelbagai gaya. Sungguh aku dan babamu sering digeletek rasa ketawa melihatkan seribu satu gelagat dirimu.

Semuanya berjalan penuh sempurna dalam kehidupan kita. Hinggalah satu malam, kau berkelakuan aneh. Mulanya jiwaku manca rasa, berbaur rasa hati, bimbang dan gelisah mula bertamu dalam diri. Namun cepat-cepat prasangka itu kubunuh menggantikan dzan yang baik, sekurang-kurangnya akalku mentakwilkan tiada apa yang akan berlaku. Rengekmu malam itu lain benar. Kau membelai kakiku sebelum bibirmu singgah di situ. Malah kau meminta untuk tidur bersamaku dan babamu. Oh anakku, tika itu tidak kutahu perubahan sikapmu mengundang petanda buruk dalam kehidupan kita sekeluarga!

Seperti kebiasaan setiap petang sebelum-sebelumnya, surau di hujung desa tempat destinasimu mengaji mukaddam. Namun entah mengapa petang ini, kau berdegil malah bertegas tidak mahu ke sana. Puas ku pujuk dirimu, menggulakan wajahku. Buncah benar rasa hatiku saat itu. Akhirnya dalam kelat masam wajahmu, kau ikat erat tudung kecilmu menutupi rambut ikalmu separas bahu. Kau capai mukaddam sebelum kau masukkan dalam beg anyaman mengkuang hadiah pemberiaan nenekmu. Pautan tanganmu sewaktu bersalam denganku begitu erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Berkali-kali kau mengucupi tanganku, malah ciumanmu singgah lewat pipiku. Meski ketika itu aku dihambat risau yang menggunung, namun rasa itu cepat-cepat ku usir dari mandala sukmaku.

Sungguh anakku, tidak kusangka sikap degilmu kala itu alamat noktah bidayah kesuraman dalam kamar hidupku. Kira-kira setengah jam pemergiaanmu, aku diberitahu khabar berita yang menggoncangkan jantungku. Ku kira alam ini sudah gelap! Nafas terasa macet, kapilari darah yang berlegar-legar di lebuhraya aorta dan vena terasa begitu berasak-asak. Empangan air mataku pecah, turun menjujuh membasahi lekuk pipiku. Kenapa begitu malang nasibmu wahai anakku? Apa dosamu hingga dirimu diperlakukan sedemikian rupa? Oh, anakku dirogol dan dibunuh tanpa belas kasihan!

Aku pengsan tika melihat mayatmu anakku, dalam keadaan yang tidak ditutupi walau seurat benang sekalipun. Kau dijumpai tertiarap dengan leher dijerut tudungmu. Mujur masih ada babamu yang mampu menenangkan diriku. Meniup-niup semangat mercup ke pantai hatiku. Namun hati ibu mana yang tidak bergetar tika diberitahu anaknya dirogol berkali-kali malah diliwat. Kemaluanmu rosak dan berdarah teruk, manakala duburmu terkoyak, dikerumuni lalat dan semut. Semuanya angkara manusia yang bangsat berkiblatkan iblis dan syaitan, melampiaskan nafsu yang gasang ke atas tubuh kecilmu.

Lewat usai post mortem yang dijalankan ke atas dirimu, bukti menunjukkan kau diheret ke semak, sebelum dirimu menjadi mangsa rakusan berahi serakah nan gersang. Kau dipukul berkali-kali sehingga jelas lebam biru di tubuh badanmu. Tika kau meronta malah menjerit, mulutmu diikat dengan tudung kecilmu sebelum akhirnya tudung itu jua yang menjerut tengkukmu. Oh, seolah-olah aku terhukum dek selumbar yang bisa menusuk atmaku. Lantaran aku ibumu, wanita yang mengendong dirimu dalam kantung rahimku selama sembilan bulan. Oh, Tuhan, berat benar ujian yang kau timpakan ke atas diriku. Seakan-akan tidak berdaya aku menahannya, menanggungnya di pundak tubuhku!

Manusia yang meragut mawar mahkota sucimu kini dihadapkan ke muka pengadilan. Menunggu hari perbicaraan. Aku berharap dia dihukum seadilnya setimpal perbuatannya yang jijik dan meloyakan. Manakala, aku dan babamu, setiap hari menziarahi pusaramu anakku tanpa jemu. Tidak dapat ku tahan mutiara itu dari gugur tika mengingatimu. Rindu menerobos kamar hatiku, menggigit naluri ibuku, betapa aku rindu menatap wajah comel dirimu, rindu akan gelak tawamu malah rindu akan keletah nakalmu. Moga-moga anakku rohmu tenang bersemadi di sana. Tenang menghadapNya Yang Esa.

IV

Nah, kalian inilah ceritera kisah hidupku. Percayakah kalian?

Hudasoid
Uia gombak











0 Comments:

Post a Comment

<< Home