JAWI lwn Jeslina: Bolehkah Kabinet campurtangan?
Oleh MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN
Isu serbuan dan penangkapan beberapa orang Islam termasuk artis wanita Jeslina Hashim di sebuah pub di Ampang telah menjadi perhatian ramai. Insiden ini mencetuskan perbahasan yang hangat. Seperti biasa dua kumpulan berpecah. Satu menyokong JAWI. Satu lagi menghentam JAWI.
Menilai isu ini daripada aspek perundangan mungkin boleh membantu kita membuat penghakiman sama ada apa yang dilakukan oleh JAWi boleh dijustifikasikan.
Tidak langsung dipertikaikan di dada akhbar bahawa pegawai penguatkuasa Jawi berhak di sisi undang-undang untuk menguatkusakan apa yang diperuntukkan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559). Akta tersebut telah diluluskan di Parlimen yang bermajoritikan dua pertiga ahli Parlimen daripada parti pemerintah dan kemudiannya diwartakan sebagai undang-undang. Akta tersebut antara lain memuatkan peruntukkan yang berkaitan kesalahan-kesalahan . Antara kesalahannya adalah berkelakukan tidak senonoh di khalayak ramai (lihat seksyen 23 Akta tersebut).
Terdapat juga peruntukkan mengenai minum arak, berzina dan menggalakkan maksiat. Kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tersebut dikatakan wujud semasa JAWI membuat serbuan. Akta tersebut juga terpakai kepada umat Islam yang melakukan kesalahan di Wilayah Perskutuan. Pub terletak di Ampang, Wilayah Persekutuan. Orang bukan Islam dikecualikan.
Selain Akta tersebut terdapat juga Kanun Prosedur Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan yang memberi kuasa kepada pegawai penguatkuasa untuk melakukan serbuan dan penangkapan ke atas umat Islan yang dilihat melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta tersebut. Pegawai penguatkuasa JAWI yang melakukan tangkapan dan serbuan dilindungi undang-undang selagi mana ianya dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Tindakan JAWI sah
Jika dilihat kepada fakta kes adalah jelas apa yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa JAWI adalah sah di sisi undang-undang. Ia adalah sesuatu yang legal. Segala “legal ingredients” wujud semasa serbuan dan penangkapan di buat. JAWI tangkap orang Islam. Orang Islam yang ditangkap sedang melakukan kesalahan. Kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan. Yang menangkap adalah pegawai penguatkusa JAWI . Pegawai JAWI diberikuasa oleh undang-undang yang diluluskan di dalam Parlimen. Dua pertiga ahli Parlimen yang meluluskan Akta tersebut adalah dari partai Barisan Nasional yang terdiri dari Bumiputra dan bukan Bumiputra.
Tapi mereka yang ditangkap tidak dibenarkan membuang air kecil? Itulah rungutan utama mereka yang menghentam JAWI. Jika pun rungutan itu ada kebenarannya, yang mana tidak dapat dipastikan lagi, meskipun dikesali, tidak menjadikan tangkapan tersebut tidak sah. Jika dibandingkan apa yang dilakukan oleh pihak Polis ketika melakukan tangkapan ke atas pejuang reformasi (Khususnya apa yang berlaku pada Anwar), mangsa ISA dan para pendokong BA yang mengikuti ceramah yang diganggu oleh pihak Polis apa yang dituduh dilakukan oleh JAWI adalah ibarat kuman di tengah samudera yang luas. Namun jika ianya betul-bertul berlaku seperti yang didakwa JAWI berhak ditegur. Namun teguran tersebut tidak seharusnya menutup atau melencongkan isu asal yang lebih besar.
orang Islam tidak lagi malu melakukan gejala yang tidak senonoh di dalam sebuah negara yang mempromosi Islam Hadhari dan terdapat campur tangan dari pihak tertentu yang cuba menghalang peranan dan tugas yang dimainkan oleh JAWI Jika JAWI sebagai pihak yang paling wajar di sisi undang-undang tidak bertindak membanteras maksiat yang hina dan jijik tersebut pihak mana lagi yang layak.
Siapakah lagi yang boleh diharapkan menguatkuasakan Aklta tersebut jika bukan JAWI. Jawi patut dipuji kerana menguatkuasakan undang-undang. Ia layak dikeji jika tidak menguatkuasakan undang-undang.
Mereka yang ditangkap dan ditahan sebagaimana amalan biasa perundangan akan didakwa bagi dibuktikan kesalahan mereka. Undang-undang membenarkan Ketua Pendakwa Syarie untuk mendakwa atau tidak mendakwa mereka yang ditahan di Mahkamah Syariah.
Siapa berhak campurtangan
Berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara iaitu sebagai Pendakwa Raya di negara ini tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan pendakwaan di Mahkamah Syariah. Kabinet jauh sekali. Hatta Perdana Menteri mahupun Yang Dipertuan Agung juga tidak berhak campurtangan dalam urusan pendakwaan tersebut. Kuasa adalah ditangan Ketua Pendakwa Syarie.
Jika benar ada laporan yang mengatakan bahawa Kabinet telah mengarahkan supaya pendakwaan tidak dilakukan ianya adalah salah di sisi undang-undang. Ianya adalah satu penyalahgunaan kuasa. Ia adalah satu amalan rasuah (lihat kes Anwar). Ianya satu perbuatan jenayah kerana mengganggu penguatkuasan dan pentadbiran undang-undang. Siasatan perlu dilakukan ke atas setiap ahli kebinet. Jika siasatan membenarkan apa yang dilaporkan setiap ahli kabinet wajar dibicarakan kerana melanggar undang-undang.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home