Sunday, January 15, 2006

ARTIKEL 121(1A) ADALAH TIDAK PERLU DIPINDA

petikan dari Berita Minggu :

"Kerajaan memberi jaminan sebarang pindaan pada Perlembagaan Persekutuan termasuk perkara 121(1A) tidak akan menjejaskan kedudukan Islam yang terus ditadbir Mahkamah syariah........"

"Ia termasuk mengkaji samaada undang-undang sekarang tidak memberikan sebarang ruang kepada Mahkamah Sivil mendengar perkara membabitkan Islam atau ia berpunca daripada Mahkamah Sivil yang keberatan menggunakan kuasanya..."

"....Meminta kerajaan mempertimbangkan saranan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Mahkamah Sivil diberi hak mendengar kes berkaitan Islam yang membabitkan individu bukan Islam..."

Artikel 121(1A) menyebut, Mahkamah tinggi Malaya, dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Jelas bahawa, Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur apa-apa yang tertakluk dalam bidang kuasa mahkamah Syariah, juga tidak boleh review mana-mana keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Pindaan pertama yang dibuat pada artikel 121 dengan memasukkan (1A) pada tahun 1988 adalah bertujuan untuk menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, sekaligus memberi ruang kepada Mahkamah Syariah membuat keputusannya yang sendiri tanpa campur tangan Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil punya bidang kuasa yang tersendiri, begitu juga Mahkamah Syariah, dan keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh diubah oleh Mahkamah Sivil.

Namun dalam kes Moorthy@Mohammad, ramai NGO bukan Islam meminta kerajaan membuat pindaan kali kedua terhadap artikel 121(1A) supaya memberi ruang, Mahkamah Sivil untuk mendengar perkara yang membabitkan Islam yang membabitkan individu bukan Islam, dan memberi ruang pada Mahkamah Sivil untuk mengubah keputusan yang telah dibuat Mahkamah Syariah. Dengan kata lain, membenarkan Mahkamah Sivil untuk masuk campur dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sebenarnya pindaan kali kedua terhadap Artikel 121(1A) adalah tidak perlu. Jika kerajaan membenarkan tuntutan tersebut, seolah-olah kerajaan mahu kembali kepada posisi sebelum tahun 1988, posisi konflik bidang kuasa yang selama ini boleh dianggap telah selesai. Seolah-olah kerajaan cuba membuka satu simpulan tali yang telah lama terikat rapi dan membuka kepada kesan-kesan yang lebih buruk. Kita tidak mahu kes-kes seperti Shahamin Faizal Kung Abdullah, Ng Wan Chan berulang kembali, bila Mahkamah Sivil mempunyai kuasa mendengar kes-kes berkaitan hadhanah, murtad, sedangkan competency Hakim Sivil membicarakan kes tersebut dipertikaikan.

Tidak perlu pindaan kali kedua, kerana, sudah pasti Hakim Mahkamah Sivil tidak mempunyai pengetahuan mengenai Agama Islam jika mereka diberi ruang untuk bicara kes berkenaan Islam. Beri saja kes itu dibicarakan oleh hakim yang betul-betul berkebolehan dan berpengetahuan luas dalam ajaran Islam iaitu Hakim Mahkamah Syariah.
Sudahlah Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang terhad, hanya membicarakan kes-kes berkenaan nikah, cerai, hadhanah dan sebagainya, ditambah pula dengan pindaan kali kedua, kesannya ialah seperti mengambil balik kuasa terhad yang sedia ada oleh Mahkamah Syariah.

Tidak timbul dalam kes Moorty@Muhammad, artikel 121(1A) mengancam orang bukan Islam, kerana apa yang terjadi adalah beliau sendiri yang sukarela memeluk agama Islam dan bukan dipaksa. Dan bila dia telah memeluk agama Islam, dia tertakluk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, atas sebab itu jenazahnya perlu diuruskan mengikut cara Islam. Apa yang cuba dilakukan oleh Mahkamah Syariah hanyalah menjalankan tugas yang berada di bawah bidang kuasanya.

Bagaimana kerajaan boleh memberi jaminan pindaan kali kedua tidak menjejaskan kedudukan Islam sedangkan memang jelas pindaan tersebut akan menjejaskan kedudukan Islam dan Mahkamah Syariah. Maka, pindaan terhadap artikel 121(1A) adalah tidak perlu.Pada pendapat penulis,apa yang perlu ialah memberi ruang pada Mahkamah Syariah mendengar kes yang dibawa oleh bukan Islam jika kes itu membabitkan orang Islam dan bukan Islam seperti yang tertakluk dalam Seksyen 244 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan).

baca lanjut : http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Rencana/20060115145304/Article/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home