Thursday, September 22, 2005

Image hosted by Photobucket.com

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Lebih 100 mahasiswa dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Lembah Klang mengadakan piket aman di hadapan bangunan Parlimen pagi tadi bagi membantah campur tangan politik dalam pilihan raya kampus.Piket yang dianjur Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu bermula sejak jam 10.30 pagi lagi dengan beberapa pemimpin kumpulan tersebut memberi uacapan mengecam tindakan Umno yang didakwa campur tangan dalam pilihan raya kampus. Menurut seorang jurucakap mahasiswa, Shamsul Hisham mereka berkumpul bagi menyatakan bantahan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr Shafie Salleh. Malangnya, Dr Shafie dilaporkan tidak di parlimen dan mahasiswa hanya dibenarkan bertemu dengan Setiausaha Parlimen KPT, Dato' Dr Adham Baba di dalam parlimen.

Antara intipati tuntutan mahasiswa yang terkandung dalam memorandum itu ialah, mahasiswa mahu pilihan raya kampus berjalan secara bebas. Selain itu mereka menuntut KPT mengambil tindakan ke atas pegawai HEP yang bertindak kasar ke atas mahasiswa termasuk dalam isu mahasiswa menerima ugutan dan bilik digeledah masuk.

Terdahulu ketika mahasiswa berbincang berhubung bilangan wakil yang akan masuk, pegawai Khas Kepada Menteri KPT, Irmohizam Ibrahim hanya membenarkan dua wakil untuk bertemu Adham.

Timbul kekecohan apabila pihak mahasiswa berang dengan sikap pegawai terbabit yang enggan membenarkan lebih dari dua wakil mahasiswa untuk bertemu Adham. Bagaimanapun setelah Salahuddin Ayob (PAS-Kubang Kerian) yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS, campur tangan dalam perbincangan itu, Irmohizam membenarkan lima wakil mahasiswa untuk bertemu.

Seketika selepas itu kekecohan berlaku lagi apabila tiga orang pengawal keselamatan Universiti Malaya (UM) yang datang dengan berbaju biasa telah mengambil nombor plat motor mahasiswa yang diletakkan di bahu jalan berhampiran pondok pengawal Parlimen. Beberapa mahasiswa meluru kepada pengawal keselamatan itu dan cuba meminta penjelasan mengapa nombor plat mereka diambil. Beberapa minit setelah berbincang akhirnya tiga pengawal terbabit meninggalkan kawasan tersebut.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Adham wakil mahasiswa, Ginnie Lim, berkata, Adham tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap memorandum tersebut. Malah Adham pula menyifatkan bahawa aduan mengenai seorang mahasiswa tahun satu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dipukul pegawai Hal Ehwal pelajar (HEP) hanya kes terpencil, katanya.

"Adham tidak mahu kes itu diperbesar-besarkan," kata Ginnie yang ditemui selepas pertemuan dengan Adham.

Selepas pertemuan itu, lima wakil mahasiswa kemudiannya bertemu dengan wakil pembangkang iaitu, Whip PAS, Dato'Kamaruddin Jaffar dan Salahuddin di Lobi Parlimen.
Wakil mahasiswa telah menyampaikan memorandum yang sama kepada Kamaruddin dan Salahuddin untuk diedar kepada ahli Parlimen.

Kamaruddin yang mengulas isu itu berkata, PAS kecewa dengan pengendalian IPTA dan campur tangan Umno dalam pilihan raya kampus. Malah katanya, tindakan itu akan terus memburukkan lagi demokrasi kampus serta memusnahkan impian melahirkan pemimpin berkaliber pada masa akan datang.

"Universiti adalah gelanggang untuk melahirkan pemimpin akan datang.Bebaskan mahasiswa dari belenggu dan cengkaman Umno supaya demokrasi dapat disuburkan," katanya.

Mahasiswa akhirnya bersurai kira-kira jam 1.00 petang setelah lima wakil yang bertemu dengan Adham turun semula ke tempat perhimpunan.- mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home