Wednesday, December 11, 2002

SENARIO SYAWAL

Tirai Ramadhan berlabuh sudah, tersingkap pula Syawal yang mulia. Bulan Syawal merupakan bulan kemenangan ummat Islam setelah hampir sebulan bermujahadah, melawan hawa nafsu yang mergejolak hanya semata-mata untuk melaksanakan perintah Allah dan mendambakan mardhatillah Yang Agung. Sungguh Syawal seolah-olah hadiah daripada Allah untuk seluruh ummat Islam, hadiah yang membawa berkat,rahmat dan barakah. Namun rasanya ramai yang tidak tahu maksud sebenar Syawal. Syawal bermaksud ‘naik’. Ini kerana di bulan Syawal, apabila orang Arab menaiki unta lalu dipukulnya belakang unta dan membuatkan ekor unta itu menegak sedangkan dalam bulan lain tidaklah berlaku sedemikian. Atas sebab inilah maka bulan itu dinamakan bulan Syawal :D

Jom kita flashback jap sirah nabawiyah. Sahabat-sahabat Rasullullah, bercucuran air mata tatkala ingin berpisah dengan Ramadhan namun tetap mengalu-alukan Syawal dengan hati yang terbuka. Persoalannya, adakah realiti sekarang, ummat Islam juga begitu? Tika 10 malam terakhir Ramadhan, umat Islam sibuk merebut dan menggapai LailatulQadar, namun ada juga insan-insan yang sibuk, malah lebih sibuk, sibuk di dapur membuat kuih raya yang beraneka jenis.

Percayakah kalau aku katakan Syawal ialah bulan ‘medan pertempuran’. Sebagai contoh, tika Syawal menjelang, suri-suri rumah tangga sibuk ‘bertempur’ menukar perabot rumah. Alasannya hanyalah kerana tidak mahu kalah dengan jiran sebelah. Kalau boleh, biarlah rumah mereka yang paling cantik, yang paling berseri. Mereka rela wang ringgit tergadai, asalkan ego dipertahankan. Bukankah itu membazir namanya. Membazirkan sahabat syaitan.

Bulan Syawal juga merupakan bulan yang sesuai untuk stesen TV bertempur. Maka ‘berperanglah’ TV1,TV2,TV3 dan NTV7. Berbagai rancangan disajikan dari pagi hinggalah ke malam. Rasionalnya, hanyalah untuk menarik perhatian penonton. Natijahnya anak-anak muda lebih suka duduk 24 jam menghadap TV daripada menziarahi sanak saudara. Paling melucukan filem Hindustan merupakan filem yang paling banyak ditayangkan. Raya deepavali atau Hari Raya Puasa?

Pawagam-pawagam seluruh tanah air juga tidak mahu ketinggalan. Maka berlambaklah filem di pasaran. Mami Jarum, Cinta 200 Ela dan lain-lain lagi antara filem-filem yang menggegarkan pagi Syawal. Duit raya yang diterima dilaburkan di pawagam-pawagam. Bukankah lebih elok kalau menabung.

Syawal juga menyaksikan pertempuran nafsu makan. Laksa, Mee, Bihun sup, kuih raya disuap penuh ke dalam perut. Seolah-olah ingin membalas dendam sebulan berpuasa, sebulan yang menahan selera makan. Kesian perut, baru nak rest sebulan di bulan puasa, kena pula bekerja keras di bulan Syawal.

Itulah senario Syawal zaman sekarang……’bertempur’ dengan musuh halimunan.

------------------------------

Selamat Hari Raya Aidilfitri ku ucapkan pada semua, maaf zahir dan batin. Pada kawan2 esp Fadh, Gopi, Oby thanx 4 the cards, msg and even pic msg..hehehe

0 Comments:

Post a Comment

<< Home