Tuesday, March 04, 2003

MUHARRAM INI….


Muharram ini….
Cinta dan rinduku musafir ke daerah perjuangan
Kerana hari ini aku terhidu hanyir kehancuran insan
Mahmudah tertiarap , rencam akhlak
Mazmumah menjerat , nafsu mengikat
Bicara parah menutur nista
Nur iman sirna dalam silau kemelut duniawi

Muharram ini….
Air mataku menjadi danau rindu
Yang basah menitis di potret hijrahmu
Wahai kekasih Allah!
Dalam pelukan semilir dingin
Kau mengajar kami kalimah pengorbanan
Demimu Ya Nabiyallah!
Tiada geletar pada bicara Ali
Tiada rabit pada iman Abu Bakar
Gua Thur menjadi saksi hijrah agungmu dan ashabiah
Di ribaan Quraisy , bertaburan debu kehinaan

Muharram ini….
Mataku sayup memandang masjidmu di bumi Quba’
Bayu berdesir membisikkan kalam khutbahmu ke telingaku
Ya Khairul Bariyyah!
Sahifah hatiku berparut sendu
Masjid kini sepi khali
Alunan azan tenggelam dalam gelombang kelalaian
Tatkala kantuk sejenak mengaburi birai mata hati
Hanya nafsu dan syaitan menjadi kiblat dan kiai

Muharram ini….
Cahaya rabitah hati Ansar dan Muhajirin menyuluhi denai ukhuwwah
Taburkan bakti biar barakah
Tautkan kasih sesama insan
Sesungguhnya setiap mukmin itu adalah bersaudara
Cantaskan ranting sengketa dari pohon kehidupan
Moga merimbun dedaun perpaduan
Muharram ini….
Langit Madinah Al-Munawwarah cerah dan indah
Dalam rintik embun restu
Mereka tenang di bawah naungan panji Islam
“Lahirlah kebenaran dalam pengertian dan kata-kata
Betapa mulia Nabi terhias budi pekerti
Diliputi kebaikan dan senyuman
Bak bunga di tempat yang menyegarkan
Purnama dalam keagungan
Samudera dalam kemuliaan
Masa dalam keazaman.”
( Qasidah Burdah - Imam Ahmad Al-Bushiri )

Muharram ini….
Usah diingkari wahyu yang meriba di jiwa
Hijrah Rasulullah marhalah pembinaan negara Islam yang beraqidah
Marhalah perjuangan dan kesabaran yang jitu
Marhalah pembukaan dan penyebaran dakwah
Marhalah ketamadunan insan berperibadi kamil
Marhalah pengorbanan tenaga , jiwa dan harta
Marhalah persaudaraan dan ukhuwwah Islamiah

Muharram ini….
Hijrah nan agung
Adalah sebenar-benar pertolongan Allah
Buat mukmin menuju falah….

Ghafirah Idris
Berseri, Perlis

0 Comments:

Post a Comment

<< Home