Monday, February 03, 2003

JAHILIYAH V ZAMAN KEMODENAN

Eropah mengalami beberapa fasa dalam tamadun kemanusiaannya. Bermula dari Zaman Kegelapan Eropah melalui Zaman pertengahan, Renaissance dan akhirnya Reformation. Zaman Kegelapan Eropah yang menyaksikan penduduk-penduduknya yang mementingkan aspek rohani dan kehidupan selepas mati sehingga melupakan kehidupan realiti di alam nyata. Walhal gereja yang kononnya tempat penghapusan dosa menyaksikan penyelewengan besar di kalangan paderi-paderinya. Masyarakat feudal yang nyata menindas dan tidak adil menjadi struktur hierarki sosial ketika itu. Zaman Pertengahan juga tidak mampu membawa perubahan besar. Namun Renaissance dikatakan zaman kegemilangan Eropah.. Renaissance yang wujud akibat pertentangan tamadun barat dan islam nyata membawa impak yang besar kepada sejarah tamadun Eropah. Institusi keilmuan mula tumbuh bagaikan cendawan, Jerman menyaksikan penciptaan mesin cetak yang pertama sebagai wadah penyebaran ilmu. Maka lahirlah Da vinci dengan karya Mona Lisa yang mengkagumkan serta Machievalli dengan teori Utopianya. Maka bermula pada titik tolak ini jugalah Eropah mula melakar satu kejayaan demi kejayaan di layar antarabangsa.

Namun kita tinggalkan sementara sejarah ketamadunan Eropah. Cuba kita soroti sejarah ketamadunan Islam. Bermula dari Zaman Jahiliyah (the period of ignorant) dan diakhiri dengan kejatuhan Empayar Uthmaniyyah. Dinamakan jahiliyah kerana mereka hidup tanpa agama, tanpa kitab dan tanpa Rasul sebagai pembimbing. Namun masih ada yang berpegang erat pada agama-agama samawi yang dulu walaupun bilangannya tidaklah terlalu ramai. Jazirah Semenanjung Arab menyaksikan perubahan tika bintang-bintang bergermalapan di saat kelahiran insan yang mulia, Muhammad. Api majusi yang selama ini menyala tiba-tiba terpadam. Kelahiran insan ini membawa umat manusia dari kegelapan ke arah cahaya. Wahyu dari Ilahi menyusun cara hidup kepada cara hidup yang paling sempurna. Muhajirin dan Ansar disatukan atas satu ikatan yang suci, ikatan ketauhidan kepada Allah yang Esa. Lantas Madinah menjadi daulah islamiyah yang pertama. Benarlah syariah islamiyah itu adalah jalan yang TERbaik dalam kehidupan.

Dalam alaf21 ketika ini, kedua-dua tamadun itu telah kita tinggalkan. Kita menyusuri satu zaman moden dan sophisticated. Bangunan-bangunan tinggi tumbuh berceracak. Kita meraih satu demi satu kejayaan-kejayaan teknologi yang kadangkala menjangkau akal dan fikiran. Kita megah dan mendabik dada, kononnya inilah zaman yang terbaik. Namun sedarikah kita sebenarnya alaf 21 ketika ini sebenarnya tidak ubah seperti zaman jahiliyah, zaman yang penuh dengan kebodohan dan kegelapan?

Ketika di zaman Jahiliyah arak bagaikan satu kemestian dan keperluan. Namun itu jugalah yang berlaku ketika hari ini. Ketika kejayaan Formula One atau Grand Prize minuman apakah yang ditaburkan, jika bukan arak. Malah kalau dulu mungkin tidak wujud kilang-kilang arak yang ada seperti hari ini, kilang-kilang Calsberg, Tiger yang besar dan megah. Zina juga berleluasa di zaman Jahiliyah tetapi juga berleluasa di zaman moden hari ini. Malah senario haruan makan anak seolah-olah menjadi biasa. Ayah yang diharapkan sebagai ketua keluarga sanggup mencabul maruah anak sendiri. Diri seakan-akan dirasuk nafsu dan syaitan.

Kita mengutuk zaman jahiliyah yang dianggap zalim bila anak perempuan dibunuh hidup-hidup, wanita sebagai barang dagangan. Tetapi hari ini, gejala buang anak bukankah jua refleksi kepada pembunuhan anak perempuan ketika di zaman jahiliyah. Pelacuran juga bukankah refleksi kepada wanita sebagai barang dagangan. Namun mungkin kita lebih teruk, kalau di zaman jahiliyah anak perempuan sahaja yang dibunuh, tidak seperti kita yang membuang anak tanpa mengira jantina. Anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa dek dosa yang terpalit pada ibu bapa mereka. Bukankah mereka juga punyai hak untuk hidup di muka bumi ini, menghirup udara damai ciptaan Ilahi?

Kehidupan jahiliyah yang berpuak-puak dan berkabilah mencipta senario asabiyah. Asabiyah yang akhirnya menatijahkan peperangan dan kemusnahan. Dan itu jugalah yang berlaku pada hari ini. Bukankah dunia sekarang ini menyaksikan peperangan yang semakin menjadi-jadi, Amerika –Iraq, Amerika- Afghanistan dan sebagainya. Malah jika dulu, peperangan cuma menggunakan kuda, unta, parang dan pedang. Namun hari ini, kemusnahan lebih dizahirkan dengan kereta kebal, nuclear yang canggih serta M16 yang meragut nyawa tidak sampai seminit. Asabiyah juga memungkinkan kebanggaan pada masyarakat sendiri. Begitu jualah masyarakat hari ini. Bukankah Amerika juga menganggap diri mereka yang terbaik dari bangsa-bangsa lain. Merasa diri begitu berkuasa dan mampu melakukan apa sahaja. Maka tanasur fil haq dan bathil juga terjadi. Betapa kita melihat Amerika begitu melindungi sekutu-sekutunya Israel yang nyata-nyata mencetus kezaliman di Palestin. Bukankah itu bukti yang kita juga sebenarnya meniti zaman jahiliyah?

Benar, zaman jahiliyah ialah zaman yang bodoh. Namun bukankah masyarakat hari ini juga bodoh. Kita pandai mencipta senjata tetapi bodoh menggunakannya. Kita gunakan untuk membunuh sesama saudara sendiri. Kita pandai mencipta kelainan dan kemajuan. Kita bodoh dan lupa kelainan itu membawa mudarat pada diri sendiri. Kita pandai melaung-laungkan hak- hak asasi, tetapi kita bodoh dengan mencabul hak asasi orang lain. Kita pandai mencipta media massa tetapi kita bodoh bila menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri, menggunakannya untuk menjatuhkan satu sama lain. Kita pandai memikir dan memerah otak memikirkan undang-undang untuk mengawal tingkah laku manusia, namun kita bodoh bila mengenepikan syariah Islamiyah yang merupakan undang-undang yang terbaik. Kita pandai mencipta bangunan yang tinggi, tapi kita bodoh bila bangunan itu runtuh lantaran kita mengabaikan sistem ekologi alam.

Nah, bukankah kita pandai dalam bodoh? Jadi masihkah lagi kita berbangga dengan zaman kita hari ini?



0 Comments:

Post a Comment

<< Home