Friday, February 14, 2003

NYAHKAN MEREKA!

Adalah sebuah sejarah panjang berderai
Penuh peristiwa kaya dengan sorak sorai
Lima puluh tujuh tahun yang berlalu
Tertubuhlah MEREKA yang konon hendak bela Melayu
Apakah saudara tahu?

Sememangnya aku tahu alahai saudara yang bijaksana
Khabarnya satu perjuangan bela bangsa, negara dan agama
Jeritan laungan tepukan gemuruh sepanjang zaamn berbahana
Bak guntur halilintar membelah angkasa

Ah! Bukan sekadar itu wahai saudara yang mulia
Seluruh bukit bukau gunung ganang rimba belantara terpegun terpesona
Tergamam dengan perjuangan MEREKA
MEREKA kononnya pembela bangsa, negara dan agama

Angin ribut taufan dan badai mengiringi MEREKA
Gelombang di lautan, mentari bulan dan
Bintang-bintang kagum dengan MEREKA
Konon MEREKAlah satu-satu tonggak Melayu

Saudara! Demikian rakaman sejarah MEREKA
Yang tercatat dan tersimpan di mana-mana
Siang berganti malam, hujan berganti kemarau
Pemimpin berganti pemimpin
Yang pergi, pergi yang datang, datang silih berganti
Yang wanita sudah bergelar mak bonda
Yang cewek dengan jolokan puterinya
Yang celupar berlagak bergelar pemuda
Yang tua bangka disanjung sebagai kuda tua

Benar apa bicara bijaksana itu
Masa berlalu, nafsu meluru, perjuangan kian keliru
Kepentingan bangsa teranjak menjadi kepentingan sendiri
Matlamat tiba-tiba menghalal semua cara
Melayu dipinggir, kroni diutama
Raja berkuda, anggota diberi takhta
Agama diolok-olok dimain penuh ketawa
Segalanya berada di pentas sandiwara

Wahai saudara yang mulia
Memang benar apa yang dikata
Demokrasi melonjak jadi kuku besi
Politik parti berpindah jadi politik wang
Rasuah, penyelewengan, kezaliman menjadi amalan seharian
Konspirasi demi konspirasi menggilai diri

Wahai seluruh rakyat negara yang tercinta
Fikirlah dan bertindaklah sedaya upaya
Kita bearda di ambang maut dan malapetaka
Punca MEREKA yang gila kuasa
Punca MEREKA yang gila harta
Jangan lagi sokong MEREKA
Nyahkan MEREKA

Semua lapisan menjadi mabuk kerana MEREKA
Harta tak semena-mena menjadi matlamat MEREKA
Projek mega-mega ada di mana
Pembangunan ekstravaganza tumbuh melata
Semua anak buah MEREKA menjadi kaya
Semua yang bangkang MEREKA dihina dicerca

Maka di tengah-tengah senario dan fenomena
Mewabak dsan membiak beraneka jenis budaya hedonisme
Bohjan bohsia tak habis-habis bercengkerama
Zina rogol macam bertih digoreng dalam belanga
Tak kira budak di bawah usia
Tak kira kaya miskin papa kedana
Tak kira tua keredut berlipat ganda
Rompak samun macam benda harian sahaja
Tercabut segala asasi manusia
Terhakis setiap inci fitrahnya
Budaya homo budaya lesbian apa nak dikata
Apakah saudara dan rakyat maklum semua?

Wahai saudara yang bijaksana
Seluruh rakyat samapi ke anak cucu sudah mengetahuinya
Kecil besar tua muda malu kerana MEREKA
Kekejaman, kezaliman, pembohongan dan
Penipuan berbiak masam virus malapetaka
Segala-galanya menjadi porak peranda
MEREKAlah yang puncanya

Wahai saudara yang mulia
Tindak tanduk MEREKA macam teman-teman di rimba
Keganasan dan kezaliman kian membara dalam dada MEREKA PPRT terus diputarbeliti
Tabung Haji habis dinodai
Royalti Petronas habis diihsani
Perwaja yang terang-terang merompak dilindungi
Habis para kroni, para nepotis dan suku sakat jadi kaya dalam sehari

Wahai saudaraku yang bijaksana
Itu eblum lagi masuk media massa
Surat khabar radio dan segala siarannya
Belum lagi masuk polis negara
Belum lagi masuk mahkamah raya
Semua lingkup habis diperkuda
Masjid, surau, balaisah habis terpenjara
Sekolah, universiti, tadika diborong jadi unta pak pacak MEREKA
Dan puncanya MEREKA yang gila kuasa gila harta

Waduh! Sakitnya hati kita semua
Kerana tercemar pancaroba dan malapetaka di seluruh negara
Media massa terhakis wibawanya
Hakin dan polis tak segan silu seia sekata
Kekebalan raja-raja tercabut akar umbinya
Kita semua menjadi bisu tak terkata
Segala undang-undang hanya ada pada kuda tua
Yang lain hanya angguk dan angguk macam pokka atas riba
Tak ubah seperti ternakan dalam kandang cuma
Semua mengikut buntut gembala tua
Yang kononnya nak cepat-cepat bersara

Alahai! Sakitnya juga hati anak buah kita
Asyik tonton pihak berkuasa bongkak sombong bermaharajalela
Berbuat sesuka bercakap sesedap rasa
Memang banyak kisahnya bersiri, berjela
Boleh sampai episod dua ribu tiga

Memang cerita gila MEREKA banyak berbingkai
Macam dongeng musang berjanggut lagaknya
Lebih panjang dari ANUGERAH atau SALINA
Lebih tebal dari RANJAU SEPANJANG JALAN
Atau SHIT KEDUA yang bakal tiba
Cerita MEREKA memang tak habis-habisnya
Macam tak pernah sedar MEREKA pun mati semua akhirnya

Oleh,
Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home