Monday, July 21, 2003

RINDU MENGGAMIT KALBU

Entah kenapa hati disapa rindu pada abang yang jauh diperantauan. Rindu pada gurau tawanya, rindu ingin melihat gelak tawanya, rindu...terlalu rindu. Memang inilah hikmahnya abang dilempar jauh ke bumi kinanah meski bukan kerelaannya namun untuk memenuhi permintaan ayah, abang gagahkan jua. Hikmahnya, tautan hati antara kami begitu rapat, kejap dan jitu. Atas sebab itulah hati kerap dijentik pilu dan rindu bila terkenangkan dirinya, pantas menzahirkan manik2 jernih mengalir menelusuri lorong pipi.

Abang, biar apapun yang terjadi, biar dirimu disapa ujian yang besar, yang kadang-kadang dirimu tak pernah menduga namun yakinlah semuanya pasti ada hikmahnya. Pasti ada madu yang akan mencairkan pahit hempedu. Abang, sentiasalah berhusnuzan dengan Allah atas apa yang berlaku, sungguh Dia lebih mengetahui setiap sesuatu. Tidak perlu pertikaikan setiap yang menjadi qada' dan qadarnya.

Abang, biarpun di sisi insan lain, kau tidaklah begitu berharga, biarpun bagi mereka kau tidaklah sebaik mana, namun adikmu ini tidak pernah peduli bisikan-bisikan itu. Bagi diri ini kau tetap abang yang terbaik, kau tetap contoh dan teladan. Pedulikan kata-kata orang, biar! Mereka tidak pernah mengerti hati-hati kita, hanya pandai melemparkan kata, tetapi tidak pernah cuba mendasari apa yang tersirat di kandil jiwa. Namun begitu abang, setiap kata-kata mereka kita jadikan pengajaran, mungkin kadangkala kata-kata itu ada benarnya

Abang memang tak dinafikan hidup sebatang kara di perlembahan Nil tanpa keluarga di sisi cukup menyulitkan. Aku faham hakikat itu kerana aku juga tidak bisa berdiri di kaki sendiri tanpa mereka. Namun ingatlah abang, andai dirimu berdepan dengan apa jua kemelut kau masih ada diriku untuk mendengar setiap masalahmu, kau masih ada diriku untuk sentiasa menasihatimu. Percayalah aku tidak pernah jemu mendengar masalahmu, aku tidak pernah jemu melointarkan mutiara kalam nasihat buatmu. Malah aku tidak pernah jemu melayan setiap celotehmu.

Abang, perhubungan yang terpisah ini lantaran jarak dan benua usah kau jauhkan jurangnya. Rapatkanlah jurang itu. Hantarkan khabar beritamu lewat marsum dan email. Aku ingin mendengar pengalamanmu di sana, aku ingin mendengar cerita-ceritamu di sana. Mungkin kadangkala marsummu itu lewat aku balas, aku pohon ribuan kemaafan lantaran diri ini juga punya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Namun aku berjanji abang, akan aku balas jua setiap warkah mayamu, insyaAllah. Ini janjiku pada dirimu abang

Abang, aku merinduimu, adakah kau juga merindui daku?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home