Sunday, October 12, 2003

KEMATIAN DAN KEHIDUPAN

Hari ini ada sebuah kehidupan yang terpancar
Hari ini jua ada sebuah kehidupan yang telah sirna
Jejak insan di peta riwayat kehidupan
Merangkak, melangkah lantas kadang-kadang berlari
Hingga tersadung di akar musibah
Mencium lantai bumi yang penuh onak
Terluka dan terguris epidermis sejarah
Cuba lari dari sunnatullah yang hakiki
Apakah mampu?

Hari ini ada sebuah kehidupan yangterpancar
Hari ini jua ada sebuah kehidupan yang telah sirna
Hari ini ada ucap tahniah di penghujung senyum bicara
Hari ini jua ada ucap takziah di geletar sendu air mata
Hari ini ada iringan doa selamat di suatu kelahiran
Hari ini jua ada iringan tahlil bersama gugurnya kemboja di dua nisan
Hari ini ada birai mata yang baru menyaksikan alam
Hari ini jua ada kelopak mata yang terkatup selamanya
Berdepan dengan suatu kepastian yang dijanjikan nan lama dulu

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati
Cuma apa yang berbeza ialah bentuk kematian itu
Ada kematian dalam bentuk yang mengerikan
Ada kematian dalam bentuk yang mulia
Ada kematian dalam bentuk tabii
Ada kematian dalam bentuk yang tidak diketahui jejak dan pusaranya
Tapi yang pasti kematian itu menjadikan manusia terbungkam dan terkunci mulutnya” { Nahmar Jamil }

Walau berlari atau sembunyi
Hakikat kematian pasti menjengah
Izrail mencengkam, syahadah dilepaskan
Menyeret pasti amalan baikmu, sedekah jariah dan doa anak soleh
Ah! Sekujur tubuh itu sudah bersatu dan menghuni tanah itu semula!

Hatta kau raja yang agung
Hatta kau pemimpin yang disanjung
Mahupun abid yang saban waktu beruzlah
Atau si kaya yang mampu membeli segala kemewahan dunia
Atau Firaun yang angkuh mengaku tuhan
Mahupun Qarun yang terpana dek emas permata
Hatta Muhammad Al-Amin, kekasih Allah
Pun tak bisa lari dari pedang maut yang mencantas kehidupan
Kematian….kematian….kematian….
Mampukah aku berdepan dengan hakikat nan satu ini ?
Rabbi…temukan aku dengan husnul khatimah…



Nukilan :
Ghafirah bt. Idris
UIA, Pj

-------------

Hari ini saya mengulangi detik-detik 20 tahun saya dilahirkan. Kala pertama saya menjengah buana, saat pertama saya membuka lembayung mata, tika pertama saya menghirup udara, ah…segala-galanya kali pertama dalam hidup saya. Lantas saya lagukan tangisan merdu, menghempas pantai hati ayahanda dan bonda, ah..segala-galanya indah….amat indah! Syukur saya dilahirkan sihat, sempurna segala sifat.

Mengimbas saat-saat saya diciptakan, tika saya mula membentuk mudghah, lalu diimplantasikan di dinding rahim bonda. Peralihan demi peralihan yang menjadi fitrah setiap kehidupan saya mula bertukar menjadi janin. Tika ruh ditiup, tika saya memilih untuk memegang amanah sebagai khalifah, tika saya berjanji akan mengEsakan Yang Maha Kuasa, maka saya dilahirkan, keluar dari kepompong gelap yang membelenggu. Cahaya terang mula menyilau mata, begitu menyakitkan namun saya pantas terpesona malah terpegun melihat alam ciptaan Rabbul Izzati. Lantas gegendang telinga saya mula bergetar menangkap sayup-sayup kalimah azan di cuping telinga. Hidung saya mula berfungsi, menghirup lembut pawana yang berpuput, damai ke rongga. Subhanallah !

Tanpa sedar, saya mula membesar dari bayi merah yang merenggek, dari anak kecil yang berlari riang saya kini bertukar menjadi dewasa malah remaja. Saat-saat 20 tahun telah lama saya tinggalkan. Saya masih berdiri, bersama amanah yang terpikul di pundak, bersama beban yang tergalas di bahu. Perjalanan hidup ini perlu saya tempuh berbekalkan iman serta ilmu di dada. Masa depan yang tidak pasti perlu saya gapai, moga-moga pengakhiran saya juga nanti setenang saya dilahirkan. Moga nihayah hidup saya dalam dakapan husnul khatimah

* Menyambut hari saya dilahirkan seorang diri di UIA, lantaran tidak dapat pulang ke rumah amat menyedihkan :(

----------------------------------

Matahari garang memancar sinar di kepala, seakan-akan sejengkal. Peluh merenek, bersatu dan berjurai di pipi. Segera membetulkan pegangan tangan pada bagasi dan beg sandang di bahu. Saya akan ke Bangi, ke rumah Anisah sebelum bertolak ke kursus di kajang. Dari UIA menaiki cab ke Terminal Putra dan kemudian terus ke KL Central, mengambil komuter ke Bangi. Kali pertama keluar sejauh itu seorang diri, jangan beritahu pada ayah saya hakikat ini. Kalau ayah tahu rasanya dia akan ke sini, menghantar saya ke kajang dan pulang semula ke Penang. Saya arif benar dengan ayah. Berulang-alik dari Penang dan Kuala Lumpur seakan-akan sudah biasa. Banyak sekali peristiwa seumpama ini terjadi. Cuma kali ini tidak mahu menganggu ayah, menerusi telefon dari emak, ayah amat sibuk akhir-akhir ini. Biarlah saya cuba berdikari, biarpun rasa takut mengepung dada. Namun alhamdullillah saya selamat sampai dan tiada apa-apa aral dalam perjalanan. Alhamdullillah. Esok saya ke kursus. Arghhhh, bosannya!

Saya,
Huda soid


0 Comments:

Post a Comment

<< Home