Friday, January 30, 2004



Kabinet setuju pinda Seksyen 376 Kanun Keseksaan: Perogol dihukum mati

PUTRAJAYA: Kabinet semalam bersetuju untuk meminda undang-undang supaya pesalah rogol yang menyebabkan kematian mangsa, dikenakan hukuman mati mandatori.

Berikutan itu, Pejabat Peguam Negara akan membuat cadangan pindaan ke atas Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang ketika ini memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan bagi kes-kes seumpama itu pula akan dilakukan mengikut satu peraturan undang-undang, bukannya didakwa secara berasingan iaitu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 302 atas kesalahan membunuh.

Selain itu, Kabinet juga mencadangkan supaya hukuman paling berat iaitu penjara seumur hidup serta sebatan dikenakan terhadap pesalah rogol yang tidak menyebabkan kematian mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim (gambar), berkata jemaah menteri semalam berpendapat bahawa tahap hukuman mestilah setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

“Apabila seorang kanak-kanak atau mangsa mati akibat serangan seksual khususnya rogol, hukumannya haruslah gantung kerana itulah (kematian mangsa) terasnya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, semalam.

Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Rais membentangkan kertas cadangan mengenai masalah semasa berkaitan kes berhubung kait dengan rogol dan peruntukan perundangan sedia ada berikutan beberapa kes rogol dan bunuh kanak-kanak baru-baru ini.

Pada 17 Januari lalu, Nurul Huda Gani, murid Tahun Empat Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku, Tanjung Kupang, Johor mati selepas dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelaki, termasuk seorang pengawal keselamatan di pondok kawalan janakuasa elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabtu lalu.

Pengawal keselamatan berusia 46 tahun itu, Mohd Abbas Danus Baksan yang mengaku salah atas kesalahan merogol Nurul Huda, dijatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan 24 kali sebatan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bharu, Isnin lalu. Dia akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas tuduhan membunuh Nurul Huda.

Awal bulan ini, di Kota Kinabalu, Hasirawati Saridi, 10, dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Rais berkata, selain hukuman paling berat iaitu penjara seumur hidup serta sebatan dikenakan terhadap pesalah rogol yang tidak menyebabkan kematian, mereka juga tertakluk kepada Akta Pendaftaran Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969.

Beliau berkata, keputusan jemaah menteri itu akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan meminda akta berkenaan sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Mengenai cadangan supaya hukuman sebat di khalayak ramai dikenakan terhadap pesalah rogol, Rais berkata ia perlu dikaji dan perhalusi sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kabinet telah mengarahkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga menjalankan kajian mengenai perkara itu, dengan dibantu oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Dalam Negeri selain badan-badan bukan kerajaan tertentu.

“Mesyuarat jemaah menteri minggu depan akan memperhalusi lagi tindakan-tindakan terhadap kes rogol ini,” katanya.

Rais juga memuji Jabatan Peguam Negara kerana pantas membawa kes rogol dan bunuh Nurul Huda ke muka pengadilan dalam tempoh yang singkat.

“Kita harus ucap tahniah kepada pihak berkuasa kerana mendengar kes Nurul Huda dalam tempoh paling cepat dalam sejarah pentadbiran kehakiman negara ini. Ia memberi gambaran yang baik. Namun, kita bersimpati dengan keluarga Nurul,” katanya.

Mengenai permohonan ibu seorang mangsa pembunuhan dan rogol supaya kes anaknya didengar semula setelah tertuduh dibebaskan, Rais menasihatkan wanita itu, Zuraida Abdullah, menulis kepada beliau atau kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Kita mahu melihat keadilan dilaksanakan,” katanya.

Kelmarin, Zuraida merayu agar kerajaan membuka semula kes anaknya, Farah Deeba Rustam, 17, setelah Mahkamah Tinggi Ipoh membebaskan tertuduh dalam kes itu tanpa memanggilnya membela diri dengan alasan pendakwaan gagal membuktikan kaitan tertuduh dengan pembunuhan itu.

Remaja lelaki itu dituduh merogol dan membunuh Farah Deeba dan mencampakkan mayatnya ke dalam longkang di Jalan Lama Bidor-Tapah pada 13 Februari 2001.

* nantilah komen ttg newpaper cutting nih, ngantuk bangat* (huda menguap)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home