Wednesday, March 10, 2004

Cerpen terbaru saya. Mula membikinnya lewat pukul 3 petang tadi dan tamat pukul 9.30 malam. Alhamdullillah. Ramai yang bertanyakan cerpen terbaru dari saya, hampir setahun saya tidak berkarya, karya terakhir ma'as salamah andalusia. Moga cerpen ini mengubat rindu pembaca-pembaca yang ternantikan karya terbaru dari saya (adakah yang ternanti-nanti karya saya?). Maafkan saya, ini yang termampu disiapkan, meski saya kira cerpen ini sendiri tidak memuaskan hati saya. Berkali-kali saya mohon maaf. Saya sudah hilang bisa di hujung pena. Maafkan saya!

Saya telah mengubah ending cerpen ini atas nasihat saudara amiza (saya penulis yang sentiasa berlapang dada menerima kritikan pembaca :D) Harap ini lebih baik. Tentang pindahan tajuk, saya belum dapat fikirkan tajuk lain yang lebih sesuai, otak saya beku kala ini :)


NILAI SEHELAI HIJAB

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke dada” ( An-Nur : 31 )

‘They say, Oh poor girl you’re so beautiful you know, it’s a shame that you cover up your beauty, she just smile and graciously responds reassuringly, this beauty that I have is just one simple part of me, this body that I have, no stranger has the right to see, this long clothes, this shawl I wear ensure my modesty, faith is more essential than fashion, wouldn’t you agree? This hijab, this mark of piety, is an act of faith, a symbol, for all the world to see, a simple cloth to protect her dignity, so lift the veil from your heart, to see the heart of purity.
(Dawood Harnsby, The Veil)

Angin selbu berdesir, berlegar-legar mengepung sebatang tubuh. Menampar lembut abaya polos hitam pekat yang melekat pada jasad, menari-nari lesu mengikut rentak bayu yang bertiup. Kerudung hitam senada syarsyaf tekunan sutera dililit kemas. Terlalu kordial dengan kulitnya yang putih gebu. Mata jeli itu bersinar, menyapu bersih keindahan Taman Bastille kala petang sore itu. Sungai Seine kristal membiru tetap tenang menerima kapal-kapal persiar yang berlabuh di dadanya, membelah metropolitan Paris- tempat libur paling romantis.

“Kau tekad dengan keputusan itu?” Suara serak itu menyapa, berdesir ke corong telinga, menyentak lamunan panjang. Seraya wajah dipaling mengikat sinar cahaya suram jejaka di hadapannya.

Angguk perlahan.

“Betul-betul tekad?” Ada keluhan kedengaran.

“Ini kewajiban Ziyad, kau juga faham,” lunak suara itu bergetar.

“Tapi mengapa tika dan saat ripuh dan kalut begini. Kau juga mafhum rencana di Le Figaro malah seluruh pelusuk akhbar-akhbar yang lain, rang undang-undang Perancis di bawah arahan Perdana Menteri Jean-Pierre Raffarin, malah dipersetujui Presiden Jacques Chirac, mengharamkan pemakaian hijab di sekolah-sekolah dan universiti. Hijab itu simbol keagamaan Farha!” Suara itu keras membentak.

Perawan itu memetia senyuman. Tawar dan hambar. Ditarik nafas dalam-dalam, menghirup hububan pawana damai yang berpuput. Meski ada gejolak dahsyat di atmanya.

“Perintah Allah itu tidak boleh dilengah-lengahkan Ziyad. Waktu senang atau ripuh sebegini tiada bezanya. Sudah ku katakan tadi, hijab ini kewajipan bukan simbol agama, jurang yang berbeza dengan kipa (topi yahudi) dan salib pemeluk kristian. Ini substansi ajaran Islam Ziyad. Ku kira kau juga mengerti hakikat itu lantaran susur galur darah yang mengalir dalam tubuhmu tetap merah darah kelahiran Muslim Jordan, bukan Perancis.”

Ziyad membisu. Tunduk. Tidak berani dia mengikat pandangan pada mata jeli itu.

“ Rang undang-undang itu mencabar prinsip sekularisme Perancis, malah pengharaman hijab umpama ‘makanan’ munculnya ekstrimisme. Perlembagaan Perancis tidak pernah menghalang cara rakyatnya berdandan dan berpakaian. Malah Deklarasi Hak-hak Asasi 1948 juga memberi jaminan akan kebebasan yang satu ini.” Tegas, gadis itu cuba mempertahankan diksi-diksinya.

“Tapi Farha di tanah Bastille ini sulit untuk mendefinisikan denyut nadi seorang Islam. Tambahan, Islam dilabel agama keganasan sejak runtuhnya World Trade Centre tika 11 September dulu. Berpakaian sebegini Farha umpama mengumpan tujahan panahan ke atas dirimu,” Ziyad masih keras memacakkan protesnya.

“Ziyad itulah kesilapan yang mesti diperbetulkan. Aku ingin beritahu ke seluruh pelusuk dunia, biar bersimpongan di merata-rata, Islam agama keamanan. Aku seakan-akan terpanggil untuk membuktikannya Ziyad. Aku tidak rela, maruah Islam dicalar-calar sebegini, menitiskan darah merah, pekat yang pedih.” Farha melepas keluhan, melerai asakan yang berombak di dada.

Teruna itu bungkam. Pandangan matanya dilabuhkan. Menadah lazuardi benderang yang terbentang, sebelum tumpah ke Sungai Seine, kristal membiru.

“Aku lebih suka Farha Ameena yang dulu, yang cantik berambut perang” Ziyad meneutralkan senyuman, menggulakan wajahnya memujuk perawan di hadapannya.

Farha ketawa kecil, hatinya seolah digeletek mendengar ujaran Ziyad. Bibirnya dipekup, mata jelinya tertutup cantik.

“ Ziyad......ziyad. Kau kira wajah Perancis akan cantik tanpa Menara Eiffel bagai pohon krismas raksasa, tanpa Jardin Luxembourg, taman terbesar di Paris, tanpa Museum de Louvre tempat bersemadinya potret agung Monalisa, kau rasa Paris cantikkah tanpa unsur-unsur begitu?” Farha melontarkan persoalan.

Ziyad menggeleng. Masakan, Paris elegan dengan Eiffel yang gagah memandikan metropolitan dengan neon yang indah, menghidupkan nuansa yang romantis, Paris bagai syurga bagi pasangan kekasih!

“Begitu juga dengan wanita yang cantik Ziyad. Tiada ertinya kecantikkan jika wanita itu mendedahkan aurat, membiarkan rambutnya dijamah mata-mata liar ajnabi, membiarkan perhiasan rahsianya menjadi tontonan dan siulan. Unsur-unsur ini juga yang mencantikkan seorang wanita, sama seperti Eiffel, Jardin Luxembourg, Museum de Louvre mencantikkan Paris” Farha memutik senyuman, mata jelinya tertutup cantik.

“ Tapi Farha, Universiti Sorbonne juga mengharamkan pemakaian hijab malah jilbab. Kau ingin peristiwa siang tadi berulang kembali?” Pandangan Ziyad tajam menikam mata jeli dara di hadapannya.

Farha mengetap bibir. Hatinya dijentik sebu. Peristiwa siang tadi pantas menerpa lelayar pandangan. Ah, perjuangan pastinya ditujah duri-duri dan onak yang pasti melukakan.
Dirinya dipulaukan hanya kerana sehelai hijab yang menutupi rambut perang ikalnya paras bahu. Dia dipandang jijik hanya kerana jilbab labuh yang menutupi tubuhnya menggantikan jeans sendat dan skirt pendek. Malah, Marie dan Sarah, dua sahabat baiknya, sama berdansa di disco tengah Bandar Eiffel dulu, juga meninggalkan dirinya. Dia umpama makhluk asing di tengah kabut Universiti Sorbonne.

Bagaikan terngiang-ngiang, bergetar di corong telinganya tika dia dicemuh malah ditertawakan di khalayak umum. Kata Sarah dalam gelak tawa yang mengejek dia umpama khemah yang bergerak. Jumud, kolot, ortodoks, ketinggalan zaman!

“ Kain penutup kepala anda cuma ekspresi kultural Arab, tidak lebih dari itu,” Pensyarah Sosio Budaya, Dr. Susan Ciller memandang sinis, singgah ke mandala mata jelinya.

“Ini tuntutan agama saya,” Rona mukanya bertukar merah. Bagai menahan kemarahan yang menunu di hati.

Mencebik

“Agama yang menghalang kemajuan. Agama yang ketinggalan zaman. Anda kira dengan berpakaian sebegini anda boleh hidup dalam dunia Paris kota serba maju ini?”

“Merve Kavakci telah membuktikan, hijab bukan penghalang dirinya untuk berjaya. Malah meloloskan dirinya sebagai ahli Parlimen Turki.” Farha merenung geram ke arah jasad pensyarah tua yang lingkungan umur 50-an

“Kau tahu apa kesudahan Merve Kavakci? Di halau dari Parlimen Turki, terus merantau, mengemis simpati di negeri orang. Ha..ha..ha hanya kerana penutup yang sama di kepalamu,” Dr. Susan Ciller mengumbarkan sengihan ejek sambil membetulkan rambut kuningnya yang keperang-perangan.

“Itu kerana Parlimen Turki tidak pandai mendefinisi apa itu hak asasi. Terlalu bodoh mengukur kemunduran dengan sehelai kain penutup kepala. Atau sebetulnya takut dengan kain yang dipakai oleh saya dan Merve Kavakci.”

“Terpulang Farha Ameena, pilih antara dua, kain penutup kepalamu itu atau ijazah dari Universiti Sorbonne.”

Senyum jelek yang dibuat-buat pensyarah Sosio Budaya itu seakan-akan merobek-robek hatinya, mencalar-calar mandala atmanya, meski tidak menzahirkan darah yang pekat dan merah.

“ Saya belajar ilmu sejarah, sosio budaya di sini. Saya diajar lewat Revolusi Perancis, malah ucap Abraham Lincoln tentang kebebasan serta hak asasi. Namun sayang Universiti Sorbonne yang saya kira gedung ilmu juga tidak mampu menghormati atau mentafsirkan erti hak-hak asasi. Anda juga begitu Doktor.”

“Biadap! Kau tahu nilai kain penutup kepalamu itu dan agamamu lebih rendah dari tapak kasutku ini” Mata Pensyarah Susan Miller kemerah-merahan. Seraya pantas tangannya menarik hijab yang kemas di kepala perawan itu. Farha cuba menghalang, memegang utuh hijab di kepalanya. Namun tangan kuat Dr. Susan Miller lebih pantas merentap tudungnya.

“Ha…ha..ha, lihat apa yang mampu kau lakukan di kala ini, bukan…bukan apa yang mampu Tuhanmu lakukan kala ini tika aku menyelak tudung kepalamu yang lebih hina dari lumpur yang dipenuhi najis” Pensyarah tua itu seakan-akan dirasuk syaitan, menghempas kain hijab di lantai sebelum singgah kaki-kaki tuanya, memijak-mijak dengan sepenuh hati.

Memanik kristal jernih tumpah di pipi gebu perawan itu. Diskriminasi ini terlalu melampau. Apa kudratnya di kala itu, hanya mampu memandang dengan penuh rasa benci. Apa dayanya di saat itu!

“Ku kira kau takkan berubah dengan keputusanmu itu, betul?” Suara Ziyad mengheret dirinya ke alam realiti, lantas menoktahkan ingatannya pada peristiwa petang tadi. Segera dia tunduk menyapu mutiara yang bergentayangan di tubir mata.

“Kau sendiri sudah jelas Ziyad,” suara itu kendur kedengaran.

Huh, Farha Ameena yang degil, akui Ziyad dalam hati.

“Petang ini ada masirah solidaritas menentang rang undang-undang pengharaman hijab di dataran berdepan Menara Eiffel, kau pasti tidak akan menyertainya bukan, Farha?” Ziyad menyeloroti wajah putih bersih dara di hadapannya, mengharap jawapan Farha seperti yang dia inginkan- tidak menyertai lewat demonstrasi tersebut.

“Ziyad, hijab awil istisyhad” dia memutik senyuman lantas meninggalkan Ziyad yang membersut kewalahan.


“Apa yang boleh musuhku lakukan padaku
Syurgaku ialah taman di dalam hatiku
Ke mana sahaja aku pergi ia bersamaku
Tak berpisah daripadaku selamanya
Pemenjaraan bagiku ‘khulwah’
Pembunuhan bagiku syahadah
Pembuangan negeri bagiku perlancongan”
(Imam Ibnu Taimiyah)

from my chamber,
hudasoid
Uia Gombak

0 Comments:

Post a Comment

<< Home