GOPI, SELAMAT HARI LAHIR.
Gopi, saat 17 Januari, kau mula mengorak langkah ke arah kematangan dan kedewasaan. Dan kita tinggalkan hari-hari semalam yang berlalu. Kita buka jendela hidup baru, hari-hari baru yang masih kita tidak tahu hujungnya, yang kita tidak bisa terfikir pengakhirannya.
Selama 23 tahun detik yang kau tinggalkan di belakang, bisa mengajarmu erti kehidupan. Saat perkenalan kita ketika masing-masing berusia 16 tahun, ku kira kita terlalu mentah memahami apa erti kehidupan. Kita tidak pernah berfikir, hari-hari belakang yang kita tinggalkan sekarang itulah hari-hari yang telah kita lalui.
Takdir, percaturan hidup banyak mencorak persahatan kita. Betapa indahnya persahatan kita ditentukan olehNya. Kita bertemu, berkasih dan bersahabat atas kehendakNya. Takdir yang menulis, untuk kita bertemu di kisas, takdir juga merencanakan bahawa kita melupakan hasrat hati untuk berpindah ke sekolah lama dan untuk terus di kisas. Dan jika ketika itu kita menurut rasa hati, persahabatan kita tidak mungkin akan sejauh ini. Takdir juga menemukan kita kembali di UIA, meskipun ketika itu abahmu bertegas untuk kau menyambung pelajaranmu di Nilampuri. Bukankah itu semua kehendak dan percaturan Dia Yang Maha Esa? Atas nama takdir juga kau menderita sakit nan satu itu. Sungguh Allah itu Maha Berkuasa, perjalanan hidup kita yang ditentukannya punya hikmahnya yang tersendiri. Kerana sakit itu, kau mula mengerti dan menghargai erti kehidupan yang sebenar. Bahawa hidup ini tidak semua yang indah-indah, mulus dan molek-molek belaka. Hidup ini punya duri yang tajam dan bisa menyakitkan. Kerana itu kehidupan. Kerana sakit itu juga, kau mula menghargai pengorbanan kasih sayang yang tinggi oleh abah dan ibumu, dan kerana sakit yang satu itu juga, kau bertemu sinar di hujung tinta. Dan sakit itu, menguji sejauh mana keikhlasanku sebagai sahabatmu.
Kita mula menimbang-nimbang inilah erti persahabatan yang sebenar. Apakah persahabatan hanya di saat suka? Apakah persahabatan hanya di saat ketawa? Bahkan persahabatan yang sebenarnya adalah jauh lebih dalam dari itu. Persahabatan menuntut pengorbanan, keikhlasan, kejujuran dan kematangan. Maka, pasti kita dapat menilai perbezaan persahabatan saat kita masih hijau dan muda dan persahabatan saat kita dewasa dan matang kala ini.
Dua puluh tiga tahun, kita melalui dan menempuh kehidupan. Hidup yang bisa mengajar erti kematangan dan kedewasaan. Maka, dalam tempoh menyusuri jalan hidup ini, kita pernah melakukan kesilapan. Kesilapan yang kalau boleh ingin kita lupakan. Kesilapan yang tak ingin kita kenang dan ingati kembali. Kesilapan yang kita menyesal kerana kita melakukannya. Kesilapan yang kita akan berkata "bodohnya aku melakukan kesilapan itu". Namun bukankah kerana kesilapan itu, kita tahu erti sebuah kehidupan. Bahawa hidup itu jalannya tidak terus dan lancar. Hidup ini kadangkala jalannya berliku-liku, bengkak-bengkok dan berpusing-pusing.
Dan pastinya jalan hidup yang hadapan, lebih sukar dan menyulitkan. Pasti ada ujian-ujian yang menagih kesabaran dan kekuatan iman. Namun susur galur kehidupan kita ini di tanganNya, berdoalah agar kita dimudahkan, berdoalah agar di depan sana ada hamparan kehidupan yang nyaman, seperti hamparan sahara yang kering dan kontang yang akhirnya terdapat oasis yang menyenangkan.
Gopi, selamat hari lahir!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home