TREM MELBOURNE v BAS JORDAN
Setiap kali saya menaiki trem, sama ada ke Flinders St, mahupun ke Melbourne Central, ingatan saya pasti terlekat pada kenangan menaiki bas di jordan ke jami'ah zarqa' Al-ahliah.
Saya masih teringat, saat kami berkumpul setiap pukul 10 di depan syuqah Jawad, dengan angin pagi yang sejuk, menggigit tulang dan tubuh. Juga saiq (pemandu) bas jamiah yang baik hati dan menghadiahkan saya kaset ceramah arab, yang bertajuk 'alam' (penyakit). Atau kenangan hari terakhir di jamiah zarqa', ketika hari haflah takhrijiah, saat kami memberikan ole-ole cenderamata kepada saiq, memberi sandwich telur bersama roti pita, yang pertama kali saiq merasanya, dan berlatih berlakon-semuanya dalam bas semasa perjalanan ke jamiah Zarqa. Dan semuanya masih kemas dalam ingatan saya.
Perjalanan dari Abu Nseir ke Zarqa' mengambil masa 45 minit. Saya banyak tidur sepanjang perjalanan kerna mabuk jalan. Kadang-kadang bunyi hon menyebabkan saya terjaga. Juga kadangkala saya menghabiskan masa sepanjang 45 minit, melihat luar tingkap pemandangan bumi Jordan. Bermula dengan kawasan tinggi Abu Nseir melalui kawasan berbandar amman, menyusuri kawasan padang pasir (sahra') sebelum sampai ke Zarqa'.
Saya masih juga teringat, saat saya berkenalan dengan dengan Zahra', gadis syria, pemilik mata jeli yang cantik dan berniqab ketika dia mengambil tempat duduk sebelah saya. Dia menceritakan saya tentang hidupnya yang susah di Syria, yang memaksa dia dan abangnya ke Jordan, membina hidup dan keluarga di sini.
Juga kenangan di atas bas, bila saya curi-curi dengar perbualan seorang lelaki palestin dengan sahabatnya, lelaki tempatan jordan. Saya yang berpura-pura tidur, sebenarnya dapat mendengar butir perbualan mereka, kerna kedudukan mereka hanya di depan kerusi saya. Lelaki Palestin yang berkumis nipis, berkulit putih kemerah-merahan, berkacamata, berwajah bersih dan jernih, saya kira (jika tidak silap pendengaran saya) menceritakan kepada sahabatnya tentang peri deritanya keadaan penduduk Palestin. Sahabat jordannya yang sedikit gempal, kadangkala menggeleng-geleng kepala tika mendengar cerita tersebut. Perbualan mereka dalam bahasa arab dan cepat, menyebabkan saya tidak memahami keseluruhan isi perbualan mereka. Perbualan mereka terhenti ketika bas berhenti di Jamiah urdun dan mereka berdua turun.
Secara jujurnya, saya agak teruja jika berjumpa dengan orang palestin juga mempunyai keinginan untuk bersahabat dengan orang palestin.
Kenangan yang paling manis juga, dalam bas menemukan kami (pelajar-pelajar uia) dengan maryam, sofwan dan zaidi, pelajar kuim yang juga ke jordan untuk belajar bahasa arab.
Sungguh semuanya masih kemas dalam ingatan saya!
Justeru saat saya memanjat trem di sini, saya pasti teringat bas di Jordan.
Jordan memberikan saya memori-memori indah, namun bumi Melbourne menemukan saya dengan ISLAM.
1 Comments:
ISLAM boleh ditemui di mana-mana. yang penting kita bersedia. buka hati.
trem di melbourne terlalu banyak. banyak jenis. 10 tahun dahulu kak nisah kata hanya ada dua jenis. sekarang banyak jenis.
Post a Comment
<< Home