Monday, March 24, 2003

PENGUASA

Ha..ha..ha..! Bunuh saja kanak-kanak lelaki yang berani membaling batu ke arah
kita. Takut nanti mereka menjadi pemuda-pemuda Islam yang bakal mengangkat
senjata, berjuang menentangku. Perkosa dan bunuh saja gadis-gadis perawan di
tanah air itu. Takut nanti mereka melahirkan mujahidin Islam yang tidak gentar
dengan kekebalanku. Bakar dan tanam saja hidup-hidup imam-imam dan ulama’
mereka. Takut nanti makin banyak anak-anak bumi itu yang tersedar dari lamunan
mereka. Bunuh! Bunuh! Bunuh! Cabutkan semua sifat perikemanusiaan dari dadamu.
Seksa mereka tanpa belas ehsan kerana kita khuatir, suatu hari nanti mereka
bangkit berjuang menentang rejim ini. Bunuh! Bunuh! Bunuh! Biar darah merah
mereka menghilangkan dahagaku. Biar kepala mereka yang bercerai dari jasad
menjadi santapan menghilangkan laparku.

Jeneral! Kita ke bilik kebal sekarang! Aku mahu kau hamparkan peta dunia di
hadapanku. Aku ingin melihat jajahan-jajahanku. Luas sekali, bukan! Oh! Tapi
masih ada beberapa tanah air yang belum aku kuasai. Aku mahu kau lakukan apa
saja untuk mendapatkannya. Apa saja! Walaupun bumi terus disimbahi darah.
Walaupun langit dihujani bom dan peluru. Walaupun mereka terpaksa menjadi
pelarian di tanah air sendiri. Kau akur saja pada perintahku ini. Aku mahu kau
canangkan pada sekalian manusia, aku yang menguasai dunia ini.

Hitler! Bangunlah dari persemadianmu. Aku mahu kau saksikan keagunganku. Kalau
dulu kau berjaya menghapuskan syarat-syarat Persetiaan Versailles, tapi aku
lebih hebat. NATO, OIC, NAM dan entah apa-apa pertubuhan dunia lagi berada dalam
genggamanku. Malah PBB turut mengikut telunjukku. Kau berjaya menguasai
Czechoslovakia dan Poland tapi aku hampir menguasai dunia. Segala kekayaan dari
hasil bumi ini bakal menjadi milikku. Warga dunia hanya diam membisu.
Pemimpin-pemimpin mereka tiada yang berani bersuara lantang. Mereka seperti rusa
yang kecut perut melihat taring singaku. Mereka lari bersembunyi ketika
mendengar ngaumanku. Hitler! Simpan saja kata-kata sinismu itu. Aku tidak akan
jatuh dan kalah sepertimu. Aku hebat! Aku penguasa dunia ini! Kau harus kagum
padaku, Hitler. Seluruh blok Barat menyokongku. Mereka mahu aku benamkan
kekuasaan Islam agar ia terus luput dari kertas-kertas sejarah. Agar tiada lagi
yang merindui cerita-cerita sirah kehebatan Muhammad dan Kulafah Al-Rasyidin.
Biar luput sinar Islam yang gemilang di zaman pemerintahan Umaiyah, Abbasiyah
dan Uthmaniah.

Mengapa kau ketawa Hitler? Kunci saja mulutmu rapat-rapat. Kalau rahsia ini
terbongkar, kaulah yang akan kucari! Sebenarnya aku memang takut dan gentar
dengan umat Islam yang berjiwa perwira. Aku gentar dengan semangat jihad mereka.
Aku sangat takut andai suatu hari nanti akan lahir wira-wira Islam sehebat
Khalid Al-Walid, seberani Umar Al-Khatab, segagah Hamzah. Di wantu itu aku tahu
aku akan kalah kerana tiada peluru atau bom yang akan mematikan semangat mereka.
Mereka rela berkorban segala-galanya untuk mempertahankan kesucian Islam hatta
nyawa sekalipun. Inilah semangat yang tidak pernah bertapak di jiwa sanubari
tentera-tentera kita. Entahlah! Aku sendiri tidak mampu memikirkan bagaimana
seorang manusia sanggup menyerahkan kehidupan di dunia ini untuk mengecap
kehidupan indah yang belum pasti. Kata mereka, mereka mahu mati syahid kerana
mereka telah dijanjikan Firdausi. Kalam Allah dan Muhammad sesunguhnya penyuntik
semangat mujahidin Islam.

Mustafa Kamal Attartuk! Sejarah silam yang kau lakarkan di kertas-kertas sejarah
akan kuulangi. Takkan kau sudah lupa, Attartuk! Kaulah yang menghapuskan sistem
khilafah di Turki pada tahun 1924. Lantas pada tahun 1926 kau perkenalkan
undang-undang ciptaan kami. Undang-undang Barat. Tahukah kau, Yahudi bertepuk
tangan setelah kau menghapuskan Islam sebagai agama rasmi Turki pada tahun 1928.
Alangkah bodohnya kau Attartuk! Kau gantikan seruan azan ke dalam bahasa Turki.

Aku sudah lali dan mual dengan laungan hak asasi di serata dunia. Apalah sangat
kudrat mereka jika dibandingkan dengan kehebatanku. Mereka hanya mampu
berdemonstrasi di jalanan, membawa sepanduk-sepanduk mengecamku, mengutip
tandatangan atau paling tidak mengadakan konsert dan ceramah keamanan.
Ha…ha…ha…! Mampukah segala-gala yang mereka lakukan merosakkan rancangan yang
telah sekian lama aku atur? Hari ini aku masih mampu bersabar. Tapi jangan
sampai sekalian kamu memijak kepalaku. Kesabaranku ada batasnya. Tanah airmu
pula bakal jadi padang jarak padang tekukur. Lakukanlah sebanyak mana pun
demonstrasi, berundinglah para pemimpin seluruh dunia di meja-meja bulat,
serulah deklarasi keamanan. Aku tidak akan berdalih dari rancanganku menakluk
dunia!

Dulu di sini terlalu banyak yang masuk campur tentang hal kebebasan dan
keamanan. Pemimpin dulu terlalu berlembut. Aku tidak mahu jadi bodoh. Hanya
dengan tulisan sebuah buku seperti yang pernah ditulis oleh J.J Rousseau dalam
Social Contract mampu menggugat. Aku tidak akan lemah dengan alunan bait syair
yang dilagukan oleh Doktrin Ergels, Hegel dan Karl Marx. Aku juga sesekali tidak
akan merujuk kepada falsafah John Locke. Falsafah itu hanya menjerat diriku.
Idea Thomas Jefferson dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika hanya memakan
diri. “….kita menganggap hakikat ini adalah jelas terbukti, yakni semua manusia
dicipta sama saja. Mereka dianugerahkan oleh Penciptanya dengan hak-hak tertentu
yang tidak dapat dimansuhkan, antaranya ialah kehidupan, kebebasan, dan mencari
kebahagiaan.”

Tuan Syeikh! Kau sampai tepat pada waktunya. Aku memang sedang menunggu
kedatanganmu. Kau bawa maklumat yang aku inginkan? Bagus! Bagus! Jangan kau
risau kerana belot pada agama dan bangsamu. Fikirkan tentang habuan yang bakal
kau terima. Aku akan hadiahkan kau segala kemewahan dunia. Perempuan! Kau tidak
mahu perempuan? Jangan bimbang, Tuan Syeikh. Sudah ramai yang munafik sepertimu.
Aku mahu kau terus dipandang mulia di mata mereka. Jangan sampai mereka tahu
bahawa kau adalah gunting dalam lipatan. Alu-alukan kepada yang ingin masuk ke
dalam kumpulan ini. Kepada yang masih berpegang teguh pada Islam, mereka akan
menerima padahnya.

Oh! Rupa-rupanya inilah rahsia kekuatan beberapa negeri yang masih belum aku
takluki. Jeneral! Cabutkan ayat-ayat Al-Quran dari jiwa mereka. Leraikan hadis
Muhammad dari hati mereka. Lalaikan mereka dengan alunan-alunan melodi yang kita
mainkan. Kosongkan masjid-masjid mereka supaya mereka tidak lagi duduk dalam
halaqah mengikuti usrah dan mendengar tazkirah dan kuliah. Seronokkan anak-anak
muda mereka dengan pelbagai keseronokan dunia. Biar mereka lupa tentang peranan
dan tanggungjawab mereka. Biar mati roh jihad yang tertanam di nurani setiap
umat Islam. Serang mereka dari segenap sudut. Yakinkan mereka bahawa segala-gala
yang datang dari kita punya kebaikan. Islam hanya menyusahkan. Ini tidak boleh
buat. Itu tidak boleh buat. Biar mereka mula rasa ragu-ragu. Lantas di waktu
semuanya lalai dan lupa pada ajaran Islam, aku yakin aku akan menang sekali
lagi! Terima kasih Tuan Syeikh! Terima kasih. Jeneral! Tembak saja pengkhianat
agamanya ini. Ha…ha…ha…!

Mengapa umat Islam sanggup mengadaikan maruah agamanya? Aku sungguh hairan!
Jatuhnya Islam bukan kerana kekuatan musuh tetapi kerana kelemahan umat Islam
itu sendiri. Justeru memberi peluang kepada pihak musuh memperkotak-katikkan
mereka. Aku sendiri menang dengan cara itu. Kesatuan umat Islam yang longgar
memberi peluang kepadaku melaga-lagakan mereka. Lantas aku tiupkan badai,
memecah-belahkan perpaduan mereka. Umat Islam sukar mencapai kesepakatan dalam
banyak perkara. Wujudnya puak-puak dalam masyarakat Islam menyukarkan Islam
untuk kembali bertakhta di persada dunia. Walhal dalam Islam sentiasa
menganjurkan ummatnya bersatu-padu. Mungkin mereka sudah lupa bagaimana Muhammad
menyatupadukan Aus dan Khawarij membentuk kaum Ansar lantas salam ukhuwwah
mereka disambut Muhajirin. Akhirnya Muhammad berjaya mewujudkan sebuah negara
Islam yang gemilang di Madinah Al-Munawwarah. Oh ummat Islam! Kalau kalian
terus-terusan bersengketa, aku amat yakin aku mampu menjadi penguasa terulung.

Aku setuju sekali dengan pandangan beberapa tokoh akademik di sini bahawa
cabaran utamaku ialah Islam! Samuel P. Huntington ( The Clash of Civilization
1993 ) telah menjana satu prediksi tentang krisis pertembungan budaya peradaban
Kapitalis Barat-Islam. Daniel Pipes( The Middle East Quarterly ), Peter Rodman (
bekas staf Ronald Reagan ) dan Bernard Lewis (Princeton University ) yang
melabel Islam sebagai Komunis Baru mendapat tentangan pelbagai pihak. Namun
mereka adalah antara tokoh akademik yang aku sanjungi. Jerry Falwell lebih
berani. Dia pernah membuat kenyataan dalam CNN bahawa Nabi Muhammad adalah
seorang pengganas. Malah selain Falwell ramai lagi pelampau Kristian yang
memberi ulasan menghina Islam dan Muhammad antaranya Franklin Graham, pengacara
televisyen, Pat Robertson dan pemimpin kanan Konvensyen Baptist Selatan.
Kenyataan mereka ini membangkitkan amarah masyarakat Islam. Mereka memang
berani. Keberaniaan dan keangkuhan inilah yang aku ingin tanamkan di jiwa
rakyatku.

Ariel Sharon! Mengapa kau belum menguasai Al-Aqsa lagi? Telah banyak wang
kulaburkan untuk Zionis. Tentera-tenteraku turut kuhantar untuk membantumu.
Ulangi saja peristiwa pembunuhan 2000 rakyat Palestin di Lebonan pada tahun 1982
jika mereka terus berdegil. Usir saja mereka dari Quds seperti yang telah kau
lakukan ke atas 800 000 rakyat Palestin pada 1948 dulu. Kau takut pada pejuang
berani mati? Entah apa yang ada di fikiran mereka sehingga sanggup melakukan
perkara yang tak masuk di akal itu. Jihad? Syahid? Aku sendiri tidak mengerti.
Pejuang HAMAS masalahmu? Selesaikan segera Sharon! Jangan kau biarkan lahir
Sallahuddin Al-Ayubi kedua yang bakal membebaskan Palestin. Tanah Quds itu
adalah tanah isra’ yang disayangi ummat Islam. Sebelum Masjidil Haram, Masjidil
Aqsa merupakan kiblat kaum muslimin. Sharon! Aku mahu kau giatkan usahamu
menawan Palestin. Runtuhkan masjid yang menjadi tempat ibadat dan perkumpulan
muslimin. Aku bangga dengan askar-askar Yahudimu yang berani membunuh muslimin
yang sedang bersembahyang Subuh dalam Masjid Ibrahim. Perancangan yang cukup
teliti. Bagus Sharon! Bagus! Tutup mulut Yasser Arafat supaya dia tidak berani
lantang bersuara hingga membangkitkan api jihad dalam jiwa rakyat Palestin.
Lakukan Sharon! Aku mahu Palestin teru huru-hara!

Aduh! Kepalaku sakit benar. Aku ingin lelap sebentar. Sejak Tuan Syeikh
memberikan maklumat rahsia padaku tempoh hari, mimpi-mimpiku tiada yang enak.
Telah kukeluarkan arahan pada Jeneral supaya melaksanakan perang psikologi
sebagai langkah pertama. Kata Jeneral ia agak sukar dilaksanakan. Ah! Sepatutnya
aku ratah-ratah saja jasad manusia yang masih berpegang kuat pada agama Islam
itu. Seksa mereka di dalam bilik gelap agar serik untuk mereka bangkit melawan.
Bunuh saja semuanya agar dunia sunyi sepi dengan laungan jihad dan takbir.

Jantungku berdetap kencang. Darah di setiap kapilariku dirasakan mengalir laju.
Jeneral! Bagaimana ini boleh berlaku? Laman web Jawatankuasa Hal Ehwal Awam
Amerika-Israel ( AIPAC ) diserang hackers ? Laman web Tentera Pertahanan Israel
( IDF ) diserang dengan mail bombing. Aku mahu kau selesaikan Intifada Siber
ini. Aku tidak mahu kalah hatta dalam medan perang maya sekalipun. Bawa semua
pakar teknologi maklumat dan web master kepadaku. Hackers Islam ini perlu
dicari. Mereka telah membantutkan rancanganku. Jangan sampai ada maklumat sulit
yang berjaya diperoleh. Buruk padahnya!

Pejuang Islam bangkit kembali! Aku terduduk. Api dendam yang membara di lubuk
hatiku bagai disiram minyak oleh mujahidin Islam. Menyala-nyala dan marak
menjulang. World Trade Centre dirempuh empat pesawat komersial Amerika Syarikat.
WTC yang merupakan lambang kekuatan ekonomi musnah dan Pentagon yang merupakan
lambang kekuatan ketenteraan mengalami kerosakan yang teruk. “Kita diserang”, “
Kita tidak kebal “, We are under attack “ , “We are under siege.” Ah! Aku tidak
mahu mempercayai realiti yang berlaku. Pengganas itu perlu dicari. Osama bin
Laden dikehendaki hidup atau mati!

Jeneral! Kita tidak akan membiarkan seorang individu menggugat semua rancangan
menakluk dunia yang telah kita rancangkan. Reputasi kita kian terjejas di mata
warga dunia. Dia perlu membayar kembali harga maruah akibat tragedi rempuhan
itu. Negara yang melindunginya akan kita perangi. Kerahkan seluruh jentera
ketenteraan mencari pengganas ini. Gunakan USS Kitty Hawk, peluru berpandu atau
apa saja untuk mengesannya. Takkan kau tidak tahu, Jeneral? Osama bin Laden
berkomunikasi dengan orang-orang dan organisasinya, Al-Qaeda secara tetap dengan
telefon satelit menerusi Jihad Online. Aku tahu bahawa dia bukan saja pandai
merancang dengan teliti bahkan licik dalam bertindak. Kau sudah lupakah,
Jeneral? Osama bin Laden, jutawan Arab ini pernah dilatih oleh CIA semasa Perang
Soviet-Afghanistan antara tahun 1979 hingga 1989. Beliau juga turut memusuhi
Serbia di Yugoslavia. Peristiwa pengeboman kedutaan Amerika di Kenya dan
Tanzania pada Ogos 1998 yang mengorbankan 200 orang telah menyebabkan Presiden
Bill Clinton menganugerahi Osama “Musuh Awam Nombor Satu Amerika.”

Masih ingat pada bumi Afghanistan dan puak Taliban? Kerajaan boneka Rusia
dihalau keluar oleh mujahidin pada tahun 1992. Taliban wujud pada tahun 1994.
Aku memerangi dan memusnahkan puak Taliban di Afghanistan kerana mereka kuat
berpegang pada ajaran Islam. Aku khuatir semangat kental yang ada pada diri
mereka untuk mendaulatkan kalimah Allah akan menjalar ke seluruh pelusuk dunia.
Tahukan! Yang aku memang gentar pada ummat Islam yang taat pada ajaran Islam.
Aku amat takut pada mereka yang kuat berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah
sebagai dustur kehidupan. Aku pernah mendengar kata-kata Al-Ustaz Mududi.
Katanya “Kamu mempunyai semangat Islam iaitu cemburu kepada iman dan cintakan
kepada agama serta memberi nasihat yang benar kepada saudara seIslam. Antara
semangat Islam ini ialah berjihad di jalan Allah dengan maknanya yang khas iaitu
peperangan yang dilakukan oleh muslimin menentang musuh-musuh Islam bukan dengan
sebab yang lain melainkan mencari keredhaan Allah dan tidak mencari kepentingan
keduniaan.” Andai ada ummat Islam yang benar-benar yakin dengan Islam, sudah
pasti cita-citaku untuk menguasai dunia akan terjejas.

Iraq terlalu angkuh! Tidak sedarkah Saddam bahawa dia sedang berdepan dengan
seorang penguasa terulung dunia? Ha…ha…ha…! Memang Iraq tidak pernah mempunyai
sebarang senjata untuk digunakan bagi tujuan memusnahkan dunia. Aku hanya mahu
dunia berasa ragu-ragu dengan keikhlasan Saddam. Biar Majlis Keselamatan PBB
terus leka dengan usaha keamanan mereka. Iraq harus berhati-hati. Siap siaga
wahai Saddam dan seluruh rakyat Iraq! Walau seluruh dunia mengecam tindakanku
ini, aku tidak akan sekali-kali berganjak dari keputusanku untuk menyerang Iraq.
Dendam Perang Salib dan Perang Teluk masih terbuku. Aku akan berasa puas setelah
melihat darah rakyatmu tumpah membasahi bumi Iraq. Aku mahu kau tersungkur,
sujud di kakiku. Di waktu itu kau akan merayu-rayu padaku. Penguasa dunia ini
akan memaksamu menyerahkan seluruh kekayaan minyak di bumi Iraq padaku. Walau
kau patuh dan akur pada Resolusi 1441 dan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas
negaramu, namun Iraq pasti menjadi milikku. Sedarlah Saddam! Perang Teluk II
bakal tercetus!


Sang Penguasa ( The Prince)
Karya – Niccolo Machiavelli ( 1469 – 1527 )
Politik ialah tentang bagaimana mendapatkan kuasa dan mempertahankannya. Bagi
memperkukuhkan kekuasaan sesebuah negara, kekuatan tentera itu amat penting.
Setinggi manapun idealisme seseorang dan sebesar manapun karismanya, akan dengan
mudah ditewaskan sekiranya tidak mempunyai kekuatan senjata. Kemenangan dan
kekuatan sesuatu pihak itu ditentukan oleh tipu muslihat, kekerasan dan
kekejaman. Para pemimpin boleh melakukan apa saja untuk menguasai dunia. Prinsip
matlamat menghalalkan cara ini ialah prinsip realpolitik.
Walaupun sebahagian manusia itu baik, tetapi majoriti manusia itu adalah jahat.
Seorang pemimpin itu akan berdepan dengan majoriti masyarakat, maka ia juga
perlu mempelajari tindakan-tindakan jahat. Jika kuasanya boleh dikekalkan dengan
tipu muslihat, kekejaman , kekerasan dan pembunuhan maka kesemuanya perlu
dilakukan. Jika melakukan kebaikan, bermoral, beretika, warak dan
berperikemanusiaan juga boleh mengekal dan meluaskan kuasanya, maka hal itu juga
perlu dilakukan. Apakah hal itu dilakukan secara ikhlas atau tidak, ia tidak
menjadi pokok persoalan. Yang penting, tindakan-tindakan itu memastikan matlamat
menguasai dunia tercapai.
Seseorang pemimpin harus bukan sahaja garang seperti singa tetapi juga perlu
cekap menghidu perangkap seperti musang, kerana sang singa sukar melepaskan
dirinya apabila terperangkap. Namun begitu, garangnya sang singa itu amat
diperlukan bagi menghalau serigala yang digeruni pula oleh si musang.

Politik Machiavelli ? Ya! Aku pengamalnya. Aku mahu jadi penguasa sehebat
diktator-diktator dunia. Aku mahu jadi lebih hebat daripada Hitler (Jerman ),
Mussolini (Itali ), Francisco Franco ( Sepanyol ), Somoza (Nicaragua) Aku akan
pastikan dunia ini berjaya aku kuasai. Aku akan melakukan apa saja untuk
memenuhi keinginanku ini. Ya, apa saja! Aku sanggup menyeksa, berperang,
membiarkan manusia kebuluran hatta membunuh sekejam-kejamnya! Biar terlakar di
sejarah, aku penguasa teragung abad ini.



OSTEOSARCOMA


Sewaktu jarum halus itu mula menembusi urat hijau di pergelangan tanganmu,
matamu mula berkaca. Lantas setitis demi setitis air jernih tumpah jua ke
pipimu. Abah mengerti deritamu, sayang. Hati siapa yang tidak terhiris ketika
melihat berkali-kali jarum halus dicucuk dan ditarik keluar dari tubuhmu. Jiwa
bapa mana yang tidak tersiat dan terluka ketika melihat urat kakimu pula yang
menjadi mangsa jarum halus itu. Ada ketikanya kau terpaksa melalui saat
memilukan itu berkali-kali lantaran urat hijau di tanganmu tidak bisa menerima
sebarang ubat atau air untuk disalurkan melaluinya lagi.

Sungguh! Kau anak yang cekal dan tabah. Tidak pernah kau meraung, menjerit
mengaduh kesakitan. Paling tidak pun kau hanya merintih, meminta abah membacakan
doa lalu ditiupkan ke ubun-ubunmu. Lantas ketika itu, abah tidak mampu lagi
menahan air yang sarat di takungan mata. Tika itu, kau sapu pipi abah lalu kau
kukucup dan kupeluk perlahan.

Hampir setahun kita berulang-alik dari Perlis ke Kuala Lumpur untuk menjalani
rawatan kemoterapi. Wang ringgit, penat lelah, sudah tidak abah fikirkannya
lagi. Asalkan kau dapat mengembalikan senyumanmu yang telah hilang sekian lama
kepada abah, ibu dan adik-adikmu, itu sudah memadai. Sabarlah anakku! Redhalah
dengan kehendak takdir yang telah tersurat sejak azali. Sesungguhnya Allah
bersama-sama dengan orang-orang yang sabar. Entahlah Ibtisam, engkau lebih
mengerti. Lebih merasa segala kesakitan yang telah dan bakal kau lalui. Abah,
ibu dan adik-adikmu hanya mampu memberikan sokongan untuk kau terus tabah dan
kuat menghadapi ujian Allah ini.

“ Kau muntah lagi Ibtisam? Sabarlah anakku. Sabarlah ya. Sabarlah lagi,
sayang.” Ingin abah menterjemahkan kata hati ini ketika melihat kau menahan
kesakitan. Sakit perut, mual, loya, itu sudah bagai rutin ketika menjalani
kemoterapi. Suhu badanmu meninggi. Demammu tidak kebah-kebah. Tanganmu bengkak
dan berbintik merah. Kata doktor yang merawatmu, semuanya fenomena biasa ketika
pesakit menjalani rawatan kemoterapi. Fenomena biasa? Bagaimana boleh dikatakan
ia sesuatu yang biasa abah tidak tahu. Jahil sungguh abah.

Namun di saat dirimu reda dengan kesakitan yang kadang-kadang menyerang, kau
pasti melontarkan senyuman buat abah. Senyummu penawar hati, menghilangkan
segala kepenatan dan keresahan yang bersarang. Nur Ibtisam! Ilham abah untuk
menamakanmu dengan nama indah itu ketika di Mesir dulu, rasanya tidak salah. Kau
cahaya hati yang menyinari laman bahagia abah dan ibumu. Kau anak yang riang dan
ceria. Hidupmu sentiasa dipenuhi senyuman dan gelak tawa. Kehadiranmu
mengeratkan lagi tautan kasih abah dan ibumu.

Abah masih ingat ketika umurmu menjangkau 4 tahun, kau sudah pandai bergaya di
hadapan kamera. Dirimu anugerah Allah yang tidak terhingga buat abah. Kau
sungguh comel! Tapi hari ini, kenangan itu sudah kita tinggalkannya 16 tahun
lalu. Rambutmu yang hitam pekat, berombak-ombak ke paras bahu itu gugur helai
demi helai. Lantas saat kau menjalani kemoterapi tiada sehelai pun yang ingin
tumbuh lagi. Kenangan indah yang ditelan masa lantas diganti dengan pengalaman
baru yang cukup buat kita menghargai nikmat kesihatan dan kehidupan. Abah tidak
pernah menyalahkan takdir bahkan abah bersyukur atas ujian yang datang.
Mudah-mudahan kita tahu mensyukuri nikmat sihat yang pernah dipinjamkan-Nya
kepada kita sedetik waktu yang lalu. Kelmarin hanya tinggal kenangan, bersama
peristiwa semalam. Adakah hari ini yang ditempuh akan bersinar untuk hari esok?

Setelah tiga pusingan menjalani kemoterapi, berulang-alik 2 minggu sekali ke
hospital, jawapan terakhir buat osteosarcoma hanya pembedahan. Aduh! Mampukah
kau menahan kesakitan yang maha perit itu lagi anakku? Lututmu dan tulang peha
sepanjang 24 sentimeter perlu dikeluarkan segera. Jika tidak, barah itu akan
berakar mungkin ke tulang belakangmu atau terus ke paru-parumu. Oh !Abah tidak
sanggup melihat dirimu sengsara lagi. Kalau boleh abah menggantikan tempatmu
akan abah lakukan. Kau terlalu muda untuk menanggung semua ini. Masih banyak
yang harus kau pelajari dan lalui. Tapi apakan daya. Allah terlalu menyayangi
dirimu. Dia memilihmu menghadapi ujian-Nya. Moga dirimu tergolong di kalangan
kekasih-kekasih Allah di Jannatul Firdaus kelak.

Alhamdulillah. Kau memang anak yang tabah dan kuat. Abah sendiri mengkagumi
semangat kentalmu. Mujahadahmu melawan nafsu putus asa dan hasutan syaitan
supaya kau merintih kecewa menawan kalbu. Selesai pembedahan selama 8 jam itu,
kita masih berulang-alik ke hospital meneruskan kemoterapi. Di hospital,
sahabat-sahabatmu tidak putus-putus datang melawat dan memberikan kata-kata
perangsang buatmu. Di kala itu, barulah kedengaran tawa riang yang jarang
kedengaran ketika bersamamu. Sahabat-sahabatmu cukup pandai menawan hatimu,
mengukir senyum di bibirmu yang kering dan merekah, mencetus tawa yang
membahagiakan abah. Kau dan teman-temanmu bercerita pengalaman silam ketika di
sekolah dan kisah di universiti walau jarak waktu sesingkat 4 bulan kau jalani
kehidupanmu di kampus.

Nah! Selama kau terlantar, begitulah lama abah bercuti dari pekerjaan. Abah
sudah lupa pada dunia, kerana dunia dirasakan gelap dan sempit lantaran keuzuran
dan kedhoifanmu. Selain menjalani kemoterapi, kau juga menjalani fisioterapi.
Insya Allah. Dirimu pasti boleh melangkah semula anakku. Dari berkerusi roda,
kau gunakan dua tongkat lalu perlahan-lahan kau bina keyakinan melangkah dengan
satu tongkat di tangan. Abah gembira menyaksikan dirimu pertama kali mampu
berjalan setelah setahun terlantar di atas katil. Bagai jelas di ruang memori
sewaktu kecilmu kau memulakan langkah pertama, lantas jatuh lalu kau bangun
mencuba semula. Dan hari ini, ia bagaikan suatu kelahiran baru buat dirimu.
Sekali lagi kau bertatih, melangkah setapak demi setapak sambil tersenyum
keriangan. Abah sujud syukur sambil berkongsi saat-saat manis buat dirimu
setelah setahun hidupmu diselubungi awan mendung.

Sepertiga malam, abah terjaga. Bilikmu terang disuluhi cahaya lampu. Abah
menyelak daun pintu. Saat itu abah terlihat dirimu di hamparan sejadah.
Berteleku sambil menadah tanganmu memohon petunjuk dan hidayah Rabbi. Memanik
jernih mula membasahi pipi abah lantaran terdengar rintihanmu pada-Nya.

“ Ilahi…Tempat aku berlindung dan memohon pertolongan. Lukaku takkan sembuh
kecuali dengan kurnia dan kasih-Mu. Kesulitanku takkan terlerai kecuali dengan
Rahmat-Mu. Kedukaanku takkan reda kecuali dengan anugerah-Mu. Kerinduanku takkan
hilang kecuali bertemu dengan-Mu. Wahai akhir harapan para pengharap. Wahai
puncak pencarian para perindu. Sayangilah daku yang berlidah lemah, beramal
kurang. Lindungilah daku di bawah naungan-Mu yang teduh dengan ketenteraman yang
berpanjangan…Amin Ya Rabbal Alamin…”

Selalunya ketika sela waktu selama seminggu atau 2 minggu di rumah kau isikan
dengan mengarang atau membaca novel dan sajak. Kata ibumu, kau mewarisi bakat
yang ada pada abah. Entahlah! Tapi sememangnya tulisan-tulisanmu cukup meruntun
jiwa. Seringkali kau menulis tentang erti syukur, pengalaman hidupmu dan luahan
hatimu seringkali kau tumpahkan di hujung tinta. Saat-saat paling membahagiakan
tatkala nukilanmu berjaya menambat hati editor sebuah majalah. Lantas
tulisan-tulisanmu mula mengisi ruangan sajak dan cerpen beberapa majalah. Kau
semakin aktif menulis kerana katamu ia salah satu sumbangan kecilmu untuk Islam
dan masyarakat dan hanya itu yang mampu kau lakukan dengan kudratmu yang sekecil
cuma.

Allah itu Maha Adil. Dia Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Walaupun barah
dikatakan penyakit yang membunuh secara senyap, namun hari ini kau masih bersama
kami. Kesihatanmu mulai pulih. Kau kini mampu menguruskan diri sendiri. Lebih
menggembirakan abah dan ibumu, kau telah boleh berjalan sendirian. Kau
meyakinkan kami memberi izin padamu untuk ke perpustakaan mencari maklumat
untuk nukilan-nukilanmu. Abah terpaksa akur kerana adakalanya kau mula merajuk
jika abah keberatan mengizinkanmu ke sana seorang diri. Kerisauan dan rasa tidak
percaya dan yakin dengan kemampuan dirimu masih menjerat abah. Resah dan bimbang
melingkari sanubari saat mengenangkan kau berjalan seorang diri. Seringkali
terbayang sesuatu yang buruk akan berlaku padamu. Tapi sampai bila harus abah
rasakan begitu. Abah perlu meletakkan sepenuh kepercayaan pada dirimu. Ibtisam
telah kembali. Kau bakal menjejakkan kakimu semula ke taman ilmu dan budi.
Memetik dedaun ilmu berjalan menyusur denai kehidupan bersama teman-teman. Insya
Allah. Kau pasti berjaya anakku!

Ghafirah Idris
Beseri, Perlis






0 Comments:

Post a Comment

<< Home