Monday, March 22, 2004

1515- TARIKH PEMALSUAN SEJARAH

Saya menekuni novel 1515 karya Faisal Tehrani saat ripuh dan ribut pilihanraya. Meladeni malah bermesra dengan ceritera perjuangan melayu melaka sedikit menenangkan saya dalam tenggelam rencam politik negara. Saya tidak mahu mengulas banyak tentang keputusan pilihanraya ke 11 ini, kekalahan teruk yang dialami oleh komponen Barisan Alternatif selain DAP. Saya positif, mungkin ada hikmah yang Allah simpan di sebalik semuanya, meski pada mulanya payah benar saya meneutralkan rasa kecewa saya. Segala-galanya pasti telah tersurat malah tersirat! Anda boleh melayari website-website lain meneguk komentar jurnalis-jurnalis seperti pakdi, dan sebetulnya saya menunggu ulasan dari ustaz zaid. Saya pemerhati politik yang tidak pandai mengungkap kata melalui tulisan! Maaf.

Diri tertarik dengan barisan ayat tersusun akhir lewat karya 1515, "Kisah hamba ini ialah kisah kebenaran tak selalu dapat ditegakkan seperti yang diharapkan. Bahawa sehingga hari kiamat, saat ada keadilan, sudah tentu ada kezaliman. Dan kekejaman tidak akan dapat kita tewaskan seperti yang kita mau kerana ia sifat manusia meski bukanlah ia sesuatu yang manusiawi". Saya kira perasaan saya tika ini menerima keputusan pilihanraya mungkin dapat diterjemahkan melalui kata-kata tersebut. Benar, perjuangan tiada manisnya andai tidak ditujah oleh onak dan duri!

Meski saya tidak mahu mengulas lanjut tentang pilihanraya kali ini, namun seakan-akan jiwa saya meronta-ronta mahu menitipkan sedikit di sini. Ah, akal juga kadangkala dipandu oleh hati dan jiwa. Anda pernah dengar kalimah begini "andai tiba dipersimpangan keputusan, ikutlah kata hati":D.Maka ini saya lakukan, mengikut kata-kata hati saya.

Saya kira SPR kali ini adalah paling terburuk dalam sejarah. Sesuatu yang menjejas imej SPR yang ternyata sebelumnya sudah terjejas. Kadangkala publisiti yang melimpah malah melampau mengundang celaka! Lihat saja apa yang terjadi di Selangor, tika barisan beratur panjang, sistem komputer breakdown, malah nama tidak kelihatan di tempat mengundi. Hati tertanya, pilihanraya cuma 5 tahun sekali bukannya setahun sekali, mustahil masalah nama pengundi, komputer tidak dapat diatasi. Bekerja dalam masa 5 tahun untuk mengundi satu hari juga punya masalahkah? Paling memalukan dalam sejarah pilihanraya, tempat mengundi di N17, Sungai Lembing terpaksa ditangguhkan sehingga 28hb hanya gara-gara tersilap cetakan pada kertas mengundi. Calon yang bertanding Keadilan dan Barisan Nasional, tapi yang dicetak PAS dan BN. Kerja bodoh saya kira! TV3 yang sebelum nih melimpah ruah pujian kepada SPR, namun pada hari mengundi berpaling tadah. Terkejut juga bila tv3 menyiarkan rasa tidak puas hati pengundi-pengundi ekoran masalah yang berlaku. Tidak ditapiskah seperti yang selalunya berlaku di tv3?

"Saya sudah tidak percaya lagi pada SPR"-pengundi 1-

"Saya datang sini pukul 8.30 pagi sekarang sudah pukul 10.30. Bila check nama saya tidak ada, the best part is dia suruh saya check satu wilayah. Wilayah ni besar, takkan saya nak check satu-satu tempat. Semangat mengundi pun dah jadi zero. Baik saya balik rumah basuh kain"-pengundi 2-

"Bila jadi begini, BN pun tolak"-pengundi 3-

Paling mengecewakan ialah sikap orang melayu sendiri. Benar melayu mudah lupa. Kata Tun Nyemah Mulya dalam 1515 Melayu mudah lupa pada penindasan. Benar! Benar! Malah benar amat! Terengganu sudah berpindah milik, kejayaan solid Barisan Nasional di sana membuktikannya. Malah di kelantan mujur PAS masih menguasai Dewan Undangan Negeri meski sipi-sipi. Kata-kata angkuh saya kira dari seorang pengulas politik jemputan tv3 " BN sudah menang di kelantan, diharapkan selepas nih, PAS jangan menganggu orang yang menang buat kerja". Malah seorang ADUN Barisan Nasional ketika diminta komen tentang kemenangannya "Syabas kepada PAS kerana memberi peluang kepada Barisan Nasional kerana membuktikan amalan demokrasi masih terjalan di negara kita. Itukah yang dinamakan demokrasi, bilamana pemimpin cuma tahu angguk-angguk dalam masa yang sama rakyat ditindas? wah, demokrasi yang hebat!

Pernah terdengar begini, kadangkala orang yang membawa tuah juga akan dikhianati. Seperti nasib Nyemah Mulya, tika dikhianati oleh Sultan Ahmad dituduh mangatur gerakan merampas takhta sultan, bersekongkol dengan orang-orang asing yang dijadikan alat sebagai niat jahat dan Tun Nyemah ialah seorang ahli sihir yang mengamalkan ilmu hitam, meski sebenarnya Tun Nyemahlah yang berjuang bermati-matian mempertahankan Melaka. Atau pernahkah terdengar begini, pengkhianat bangsa diangkat menjadi orang mulia. Itu juga yang berlaku tikamana anak Ninna Chattu dilantik menjadi hakim mengenepikan hukum kanun Melaka yang berasaskan Syariat Islam pada pertama kalinya sementelah Ninna Chattu keling itu sebenarnya dalang yang membantu Portugis mahu menjatuhkan Melaka. Andai sejarah dulu pernah membuktikan tidak mustahil juga ia berulang di masa kini. Bukankah Malaysia kini juga begitu, orang yang banyak jasanya seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akhirnya dikhianati malah maruahnya dihina, dijatuhkan serendah-rendahnya. Namun melayu mudah lupa, lupa akan segala penganiayaan. Ah, Melayu! Atau mungkin seperti tuduhan yang dilemparkan kepada harun din, seperti juga nyemah Mulya, harun din dikatakan bomoh ayaq sejuk siam sedang beliau juga seorang tokoh agama.

Apa yang saya merepek pula kali ini, mengabungjalin antara 1515 dan pilihanraya kali ini. Saya kira cukuplah setakat ini. Perjuangan meski sulit perlu diteruskan. Meski calon-calon harapan dari pembangkang seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Hassan Ali, Nasharuddin, Mat Sabu, Hadi Awang, Taib Azamuddin, Dr Wan Azizah, Mahfudz Omar, kalah untuk pilihanraya kali ke 11.Ini tarbiyah untuk mengatur strategi yang lebih mapan!

-------------------

Saya mengambil keputusan untuk berhenti seketika menulis, tapi menekuni karya-karya sasterawan agung dan mapan serta memesrai novel-novel hebat. Saya kini cuba mencari kelemahan diri atau sebetulnya mencari kemajuan diri. Setahun setengah berkecimpung dalam bidang penulisan, saya kira belum mengecapi kemanisannya, lantaran saya penulis yang kehilangan bisa. Saya penulis yang tidak mampu mengembalikan kegemilangan karya Adik dan Palestin. Itu yang saya lakukan sekarang ini, mencari-cari punca kelemahan saya, cuba memperbaikinya, malah ingin membuktikan saya mampu mengembalikan zaman karya Adik dan Palestin atau lebih dari itu. Doakan, saya juga cuba kikis pegangan saya, menulis sekadar hobi menukarnya menulis satu perjuangan! Sekali bergelandangan di bidang ini, saya tidak mungkin akan tarik diri! ini janji saya pada diri!

"Cinta segalanya adalah tentang pilihan, cinta itu rasa suci dari langit, sama seperti pengorbanan. Pengorbanan adalah rasa luhur yang dicampak dari arasy Tuhan"-1515. Moga cinta saya setia tertumpah di medan penulisan!


0 Comments:

Post a Comment

<< Home