Assalamualaikum
Apa khabar dirimu sahabat? Doaku moga kau sentiasa dibungkus kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan. Bagaimana dengan bumi Malaysia, masihkah lagi gerimis membasahi pojokmu seperti yang kau khabarkan dalam warkah mayamu yang lepas. Aku di sini sahabat, alhamdullillah, sihat dan sentiasa gembira selalu.
Aku begitu senang dengan emel mu. Malah syabas atas kejayaan antalogi Salju Di Jabal Musa. Aku suka sekali membaca perjalanan sasteramu, nyata kau memang gadis yang diciptakan untuk dunia penulisan, sedangkan aku yang sebulan di sini, masih belum dikurniakan ilham untuk menulis.
Apa yang ingin aku khabarkan padamu sahabat, terlalu banyak sehingga aku tidak tahu mahu memulakan di mana. Bumi Jordan ini ternyata indah. Sungguh, andai diberi peluang, aku ingin menjejakkan kaki lagi di sini. Terlalu banyak bingkisan sejarah yang ingin aku teroka, pelajari dan ambil pengajaran di sini. Dua bulan rasanya terlalu singkat untuk aku mempelajari semuanya.
Oh ya, hari Jumaat lepas, kami (aku dan kawan-kawan di sini) ditemani dengan keluarga ammu sharaf melawat ke laut mati. Mungkin kau pernah membaca kisah tentang laut mati dalam kalamullah agung, surah al-Hijr merakam sirah akan laut yang satu ini. Laut ini bukti kekufuran kaum Luth yang dilaknat Allah. Laut mati terletak di mantiqah Gaur, kawasan tanah yang berwadi dan tanah rendah. Tidak seperti Abu Nseir, kawasan yang aku diami sekarang. Malah, sahabat, aku sempat mengambil sembahyang dengan air laut yang teramat masin ini kerana kau juga tahu air ini dikhabarkan mujarab merawati penyakit kulit. Tidak jauh dari laut ini ada mata air yang sangat jernih, menurut ammu sharaf mata air ini adalah mata air Nabi Musa. Pernahkah kau mendengar sirah, pabila Nabi Allah Musa mengetukkan tongkatnya pada satu batu, maka terpancutlah 12 mata air yang jernih, dan ini adalah salah satu darinya. Lebih kurang 10 minit perjalanan, terdapat kolam air panas yang juga jernih amat. Maha suci Allah, yang mulanya menjadikan air laut yang teramat masin, yang kemudiannya air mata air yangs ejuk lagi menyamankan dan akhirnya kolam air panas yang tidak putus-putus mengalir. Subhanallah. Sungguh sahabat, lagi jauh kau merantau, lagi melangit tinggi syukurmu.
Dalam perjalanan balik ke Masjid yang bersemadinya makam Abu Ubaidillah bin Jarah, aku sempat melihat dari jauh bumi Palestin yang suci. Malah ketika ammu Sharaf, menceritakan tentang tanah Quds ini, dia mengalirkan air matanya. Sungguh sahabat, kita acapkali melakarkan cerita tentang tanah itu, tapi ini adalah pertama kalinya aku melihatnya dengan mata aku sendiri. Tanah Quds yang kita rindui, tanah quds yang amat suci. Menurut ammu sharaf, 40 tahun yang dahulu, penduduk Amman Jordan pada hari Jumaat akan keluar pada paginya ke Palestin, solat Jumaat di Masjidil Aqsa dan pulang ke Jordan pada petangnya. Dalam perjalanan juga sempat aku meninjau tempat yang menjadi medan pertempuran antara tentera Jordan dan Israel, ketika mana Israel, cuba menawan sebahagian kawasan tinggi di bumi anbiyak ini.
Aku bersolat jumaat di masjid yang tersimpan di dalamnya maqam sahabat yang dijanjikan syurga. Malah sahabat nabi yang seorang ini pernah mengetuai tentera Islam dalam peperangan di Syam yang akhirnya dia gugur dan mati syahid di situ. Aku mohon sahabat, agar aku juga dikurniakan hati sekeras dan sekental Abu Ubaidillah, kalaupun tidak sepertinya, tapi tempias seperti imannya sudah cukup membuatku bersyukur. Masa yang tidak mengizinkan menyebabkan aku tidak sempat menziarahi makam Nabi Allah Syuaib. Kau tentu mengetahui kisah tentang 2 dara Nabi Syuaib yang dirakamkan kisah malu mereka ketika berjumpa dengan Nabi Musa di dalam Al-Quran. Moga-moga aku juga seperti 2 dara Nabi Allah Syuaib itu sahabat.
Hingga bertemu lagi dalam warkah yang seterusnya. Doakan aku agar dipermudahkan urusan dalam kembara menuntut ilmu di sini.
sahabatmu,
jordan
0 Comments:
Post a Comment
<< Home