p/s- mak cik endok, baru siap penulisan perspektif
PERANAN WANITA DALAM GERAKAN ISLAM
Oleh: hudasoid
Sudah sampai masanya, wanita tidak lagi boleh dibiarkan di belakang. Sudah sampai masanya wanita perlu hadir dan tampil di hadapan, menjadi penolong, peringan beban yang tergalas di pundak kaum lelaki. Tugas wanita bukanlah hanya terbatas di hujung ceruk dapur, namun mampu menjadi pemimpin, kepada kelompok wanita itu sendiri.
Peranan wanita dalam gerakan Islam, tidak boleh kita nafikan. Histori sejarah sendiri sudah membuktikan, apabila Saidatina Aishah, memainkan peranan aktif sebagai perawi hadith yang menjadi rujukan para sahabat. Malah beliau juga terjun ke bidang politik, ketika terlibat dalam peperangan Jamal. Sejarah tidak terhenti di situ, bilamana, gerakan Islam lewat 1940-an menyaksikan peranan penting wanita dalam perkembangan dakwah Islamiyyah. Imam As-Syahid Hassan Al-Banna juga menubuhkan satu bahagian khas untuk wanita bagi berperanan menyebarkan idea Islam di kalangan mereka dan melahirkan wanita yang mampu menjadi sayap kiri perjuangan lelaki. Wanita pada zaman itu juga, banyak membantu isteri-isteri dan keluarga aktivis yang dipenjara malah ada yang memperjudikan diri, menentang kezaliman sehingga menderita dengan derita yang peri dahsyat, seperti serikandi ulung, Zainab Al-Ghazali.
Namun, selepas 60 tahun munculnya perkembangan gerakan Islam, kita masih menunggu seorang tokoh wanita yang mampu berdiri dan berdebat tentang falsafah Marxist, secular mahupun nasionalis. Kita juga menunggu tokoh wanita Islam yang hebat yang bisa melawan arus dunia yang mencabar, atau kita masih mencari-cari pengganti Zainab Al-Ghazali yang kedua, yang baru dijemput Ilahi.
Justeru, kita bertanya di manakah silapnya? Mengapakah tidak lahir dari kalangan wanita Muslim yang mampu menggoncangkan dunia? Wanita yang suaranya lantang kedengaran memperjuangkan keadilan dan melawan kebathilan.
Barangkali, sikap kita yang suka membiarkan semua urusan dibereskan oleh kaum lelaki hatta urusan kita sendiri yang berkaitan dengan wanita, sedikit sebanyak menjadi faktor pendorong fenomena ini berlaku. Malah dalam kebanyakkan majlis-majlis ilmu, ketika mana sesi soal jawab, wanita lebih gemar menulis soalan di dalam kertas, tanpa pergi ke depan untuk mengajukan soalan. Malah, senario ini sudah menjadi konvensi yang diterima pakai yang menyebabkan wanita makin kebelakang. Sedangkan adalah tidak salah malah tidak bertentangan dengan syarak, untuk wanita tampil mengemukan soalan dan memberi pandangan. Beberapa contoh perlu di kutip ketika di zaman nabi dan sahabat. Di zaman Umar contohnya, seorang wanita telah bangun dan membetulkan beliau semasa beliau memberi khutbah Jumaat. Di zaman nabi pula, wanita sendiri menanyakan hal yang berkaitan dengan mereka secara langsung kepada nabi, atau melantik seorang jurucakap wanita di kalangan mereka untuk mengajukan soalan. Seperti yang diriwayatkan dalam buku sunnah, seorang wanita berkata kepada nabi " wahai Rasul Allah, aku telah di utuskan oleh wanita yang lain untuk bertanyakan itu dan ini"
Selain itu sikap ekstrimis dan pandangan sempit sesetengah pihak bahawa tempat wanita bukan di luar rumah perlu ditangkis. Malah ada yang menggunakan surah Al-Ahzab: 32, (Dan tetaplah di rumah dan jangan menjadi bahan tarikan sepertimana di zaman jahiliyyah) sebagai autoriti bahawa peranan wanita hanya terhad di dalam rumah. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, menjawab soalan tersebut, menyatakan ayat Al-Quran itu hanyalah khusus ditujukan kepada isteri nabi yang mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding wanita lain dan bukan kepada semua wanita Islam secara amnya. Ini dikuatkan lagi dengan ayat Quran yang sebelumnya, Al-Ahzab:32, yang bermaksud "Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukan seperti wanita-wanita lain". Jika diteliti dengan terperinci, pendapat bahawa ayat ini ditujukan kepada semua wanita, kita dapat melihat ianya tidaklah bermaksud tetap di dalam rumah tanpa langsung membenarkan mereka keluar seperti mana, hukuman yang dikenakan terhadap wanita yang terlibat dalam perzinaan yang thabit kesalahan dengan syahadah empat orang saksi yang adil. (Al-Nisa : 15)
Selain itu, ayat Quran (..dan jangan menjadi bahan tarikan seperti mana di zaman jahiliyyah) menunjukkan adalah tidak salah untuk wanita keluar dari rumah jika mereka memakai pakaian yang menutup aurat yang menjaga kehormatan mereka. Yang menjadi salah, ialah apabila wanita keluar di jalanan dengan memakai pakaian yang melampaui batas yang menjadi bahan tarikan dan fitnah kepada kaum lelaki.
Justeru, biarkan wanita diberi peluang untuk tampil ke hadapan. Berikan mereka dengan hak yang sepatutnya selagi mana tidak bertentangan dengan Islam. Usah sekat kreativiti mereka, berikan mereka lubang untuk ekspresi idea dan pendapat. Malah, berikan mereka tempat dalam kehakiman selagi mana tidak menyentuh soal jenayah hudud dan qisas. Lantiklah wanita sebagai mufti yang menjadi tempat rujukan segala kemusykilan yang berkaitan dengan wanita. Biarkan mereka berperanan dalam gerakan islam, jika anda mahu melihat Zainab Al-Ghazali yang kedua, ketiga mahupun yang seterusnya.
2 Comments:
Keterlibatan wanita di dalam gerakkan Islam adalah amat dituntut.Kerana fungsi dan peranan gerakkan Islam pada hari ini amat signifikan.
Lantaran pelbagai peperangan yang melibatkan aliran dan ideologi pemikiran, menuntut golongan bijak pandai di universiti(wanita) untuk turun berganding bahu, menyekat pelbagai pahaman2 asing yang menyerap masuk di minda2 umat Islam.
Huda lepas ni kalo dijemput bg pgisian, boleh bagi tak, sy tgh tunggu green light je ni.......,cetuskan gelombang kesedaran.... Plzz Reply soon. dtg le berkunjung ke blog partner moots enti ni he he.
Menarik sekali. Saya harap artikel ini dipanjangkan. Saya temui beberapa klise lama, tapi saya maklum bahawa dalam menuntut 'tangan' wanita dalam gerakan Islam harus lepas dari sebarang eksploitasi--walau atas apa nama dan alasan sekalipun.
Pada pandangan saya, saya lihat, bukan ketidakpedulian, tetapi ketidakkuatan kaum jenis ini. Barangkali ada kesan "tulang rusuk" dan "dongeng apel Adam & Hawa" yang berasaskan Genesis, Perjanjian Lama (Israiliyat).
Untuk lepas, adalah tidak relevan menuntut penyertaan wanita dalam keadaan tidak membebaskan mereka.
Ada kekangan utama, selain psikologi, iaitu patriarcy. Maksudnya, kesan penjajahan laki-laki, tanpa sedar terhadap wanita. Padahal, taraf perempuan sebagai khalifah sama absahnya dengan tanggungjawab laki-laki. Memang, seperti yang disebutkan Sdr dalam artikel tersebut, banyak nama perempuan dikenal dalam dunia ilmu pengetahuan.
Tidak pelik bila ada seorang mufti dari kalangan wanita bernama Aisyah. Tetapi pelik bila ada imam Jumaat bernama Amina Wadud. Tetapi itu soal yang lain. Saya tidak berminat memanjangkan soal ini. Yang ingin saya katakan, dialog dalaman harus bermula dan pembebasan sentiasa bermula dengan kesedaran--yang tiada jalan lainnya melainkan ilmu pengetahuan.
Dalam konteks yang lain, bahasa memang memainkan peranan besar dalam politik. Ada politik bahasa. Ada yang disebut "politik salah faham". Kita lihat di Indonesia misalnya, kenapa ada perkataan ringkasan yang melampau dan meluas seperti Orba (Orde Baru), UUD (undang-undang dasar), tapol (tahanan politik) dan pelbagai lagi. Saya tidak akan memberi jawapan, tetapi sebuah lagi soalan cepu emas. Cuba perhatikan ayat ini:
Semalam saya bercakap dengan perempuan Cina.
Cuba fikirkan bagaimana patriarcy telah masuk dalam mulut dan pertuturan kita. (Kalau tak paham e-mel saya. Ayat saya memang berbelit-belit. Macam keling. Hehe. Assalamualaikum. Sekadar lalu-lalang kat sini.)
sasterarockenroll.blogspot.com
Post a Comment
<< Home