Thursday, November 27, 2003

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

cerita I

"Raya ialah hari yang paling memenatkan" definisi raya yang diberikan oleh adik saya yang bongsu. Saya cuma tersenyum, dalam hati mengiakan kalimah itu. Apa tidaknya dari hari raya pertama hingga hari raya ke empat rumah tak putus-putus dikunjungi tetamu. Bermula dari adik beradik, sahabat handai dan akhirnya anak-anak murid ayah. Malah saya sudah berapa kali merungut pada mak dan ayah akan kepenatan melayan tetamu dan persiapan menghidang juadah. Hari raya bagi saya terperuk di dapur, membasuh pinggan, menyiapkan kuih dan membancuh air. Tanpa ada peluang untuk keluar beraya bersama sahabat handai (atau paling tepat adakah ayah akan mengizinkan saya pergi beraya bersama rakan? atau ayah akan menghantar dan mengambil ke mana saya ingin pergi). Saya anak yang nakal, kerapkali menarik muka kepenatan di depan ayah, dan kemudian akan dipujuk oleh ayah. Kata ayah "ramai tetamu membawa berkat".Saya sedar hakikat itu. Namun entah mengapa sukar benar saya mengikhlaskan hati, lantaran kepenatan yang membungkus diri.

Sepatutnya saya sudah lali dengan suasana sebegitu, malah arif benar itu akan terjadi acapkali tiba raya. Rumah akan diserbu tetamu! Tapi tiap kali raya, saya akan merungut, mungkin ujian bagi diri saya, mengikhlaskan hati.

Saat ini saya sedang mencuri tulang, menghadap laptop, tika rumah sedang dipenuhi dengan anak-anak murid ayah =)

Setiap malam saya tidur dalam kepenatan!

cerita II

Malam hari raya kedua, berkesempatan melawat kaum keluarga sebelah ayah di Nyiur Sebatang. Kampung sebelah ayah dan mak tidak berapa jauh dari rumah saya. Dalam perjalanan ke kampung ayah akan melalui kampung mak saya di Lubuk Meriam (selalu mengusik mak, bertanyakan bagaimana mak dan ayah bertemu jodoh hehehe). Itupun saya dan keluarga membuat trick, usai solat maghrib terus menutup lampu( untuk menandakan rumah tiada orang) dan segera ke kereta memecut ke kampung ayah. Kalau tidak, pasti malam itu tak berkesempatan beraya bersama adik beradik sebelah ayah. Sesampainya di rumah pak chaq

"aik, huda makin tembam sekarang" saya cuma tersenyum, mak disebelah juga tersenyum. Apalagi kakak dan adik-adik saya terus mengusik saya, "huda memang tembam pak chaq, banyak makan dan tido" (huh, depa nih memang tak boleh diberi peluang,ada saja idea untuk mengenakan orang)

Malah soalan itu rasanya soalan yang paling femes ditujukan pada saya sepanjang raya. Lali dibuatnya, jawapan saya cuma tersenyum. Cuma soalan dari pak ndak nyata berbeza dari yang lain,

"huda kat mana sekarang nih?"

"uia pak ndak"

"buat apa"

"laws" senyum

"Laws? tak berani la nak cakap dengan budak law" seloroh pak ndak

senyuman saya makin meleret.

"Baguslah, keluarga kita pun takdak lawyer lagi. huda la ni tahun brapa?"

"tahun 2, lagi 3 tahun lagi nak abis"

Terkejut "awat lama sangat?"

"Saya buat double degree pak ndak, civil dan syariah, sebab tuhla, tua la saya kat uia"

"Ooo, boleh ikut jejak ayah la ni" lagi meleret senyuman saya hingga ke telinga =)

Kira-kira pukul 12 malam, kami sekeluarga meminta izin untuk pulang, setelah perut penuh diisi dengan nasi arab dan kuih muih. Ketika saya sedang bersalam-salaman, pak chaq malah pak ngah dan pak lang nasir memandang muka saya dalam-dalam.

"Pak chaq kalau rindu dekat arwah tok hang, pak chaq tengok muka hang " sambil tangan pak chaq mengusap kepala saya. Malah itu ayat yang sama diungkapkan oleh pak ngah dan pak lang nasir. Mak kata saya banyak menyalin muka arwah tok, saya pun kurang pasti.

"Arwah tok, mungkin ini hikmahnya saya menyalin muka tok, agar dapat menghilang rindu anak-anak tok pada tok," kata saya dalam hati. Moga roh tok sentiasa dicucuri rahmat dan digolongkan di kalangan orang yang beriman. ameen

cerita III

Semalam rumah saya dikunjungi oleh Mak Teh Fauziah dan anak-anaknya. Tidak lama selepas itu, abang hamidi (anak angkat ayah) dan keluarga mengunjungi pula rumah saya. Lama tak berjumpa dengan kak ton (isteri abang hamidi), waahhh sekarang dah bertambah sorang ahli baru dalam keluarga mereka menggenapkan 4 orang semuanya. Namun masyaAllah anak abang hamidi ternyata nakal-nakal, terutama yang sulung, Nabila.

Saat melihat mereka bermain-main dengan kacang, menjadikan ia sebagai guli, melempar-lempar ke seluruh rumah, saya memandang tajam. Itu belum lagi menumpahkan air di carpet, atau membaling-baling penutup balang kuih, meluahkan kuih yang sudah lumat di dalam mulut ke lantai, semuanya menagih kesabaran dari saya. Ketika kak ton melarang, Nabila dengan pantas menarik-narik tudung ibunya. Fuhhh, begitu susahkah menjaga anak kecil? Saya memang tiada experience menjaga kanak-kanak lantaran saya dan adik beradik membesar bersama-sama. Amar yang kecil menabur-nabur ceraian kuih di lantai, Zaki bermain-main kacang yang dianggap guli, kemudian meletakkan balik ke dalam balang, malah diselang seli dengan suara tangisan semuanya memeningkan kepala. Sudahlah saya kepenatan, ditambah pula dengan gelagat mereka yang nakal.

Bertanya pada mak, adakah kami sewaktu kecil nakal sebegitu

Mak senyum, "berani hangpa nakai, mak cubit nanti " rasanya itu ayat mak sewaktu kecil. Agaknya mungkin sebab mak dan ayah garang, menyebabkan kami ketika kecil tidak banyak kerenah kalau bertandang di rumah orang.

cerita IV

Saya kerapkali bersin kerana resdung. Ayah ternyata bimbang, hinggakan berdiri di sebelah saya ketika makan ubat. waaa....tak boleh nak escape makan ubat jawabnya.

Tika takbir raya, hati dijentik rindu pada abang jauh di perantauan. Bagaimana sambutan raya di Kaherah? Meriahkah raya di sana? Semuanya persoalan bermain-main di benak fikiran saya. Masuk tahun ini, sudah 2 kali berhari raya tanpanya. Rasa tidak lengkap, rasa tak sempurna.Namun rindu terubat tika mendengar suaranya di corong telefon di malam raya. Malah kami sekeluarga sempat berchatting dengannya, view webcam wajahnya. Waaahhh, makin berjerawat. Mak begitu demand, mula-mula suruh dia tanggalkan snow cap nak tengok rambut, lepas tuh suruh tanggalkan spek mata, mesti mak begitu rindu pada abang, malah lebih rindu jikalau berbanding dengan saya.

Lupa pula nak memberitahu, keluarga hajah Aminah (tok saya sebelah mak) akan membuat rumah terbuka keluarga, pada malam ini. Jadi semua dijemput hadir. Rumah terbuka ini adalah gabungan semua adik beradik mak, mak long, mak lang , mak dan pak cik. Diadakan di rumah mak lang saya di lubuk meriam. Makanan ternyata sedap !

0 Comments:

Post a Comment

<< Home