Monday, April 12, 2004

IRAQ IRAQ

Sekarang nih tumpuan saya lebih kepada isu pergolakan di iraq, turunkan disini beberapa keratan akhbar hari ini :

AS bom orang awam

BAGHDAD: Sebuah pertubuhan berita bebas, Independent Media Center (IMC), mendakwa askar Amerika Syarikat (AS) sengaja menembak orang awam di Fallujah menyebabkan lebih 700 orang terkorban setakat ini.

IMC yang mengumpulkan laporan daripada pekerja bantuan dan wartawan yang tidak bekerja dengan akhbar korporat, juga melaporkan, AS menggunakan jet pengebom B-52 untuk memusnahkan kediaman awam di Fallujah.

Memetik aktivis Occupation Watch, Paola Gaspiroli, yang melaporkan melalui telefon dari Fallujah petang Sabtu lalu, IMC mendakwa askar Amerika menembak ambulans yang membawa orang yang cedera ke hospital.

Dalam satu lagi laporan saksi, IMC memetik seorang pekerja bantuan berbangsa Palestin berkata: “Kami melihat dengan mata sendiri. Orang ramai diarah meninggalkan Fallujah dan beribu-ribu orang terperangkap di padang pasir. Konvoi manusia sepanjang 13 kilometer itu cuba pergi ke Baghdad.

“Askar Amerika menembak dan mengebom mereka. Mereka menembak orang awam. Kebanyakan pelarian itu adalah kanak-kanak, wanita dan orang tua.”

“Di Fallujah Amerika mengebom hospital. Mereka menggugurkan bom bergugus dan meriam katak.

“Mereka mengebom dari udara. Banyak mayat bergelimpangan di jalan raya. Mereka berkata ada gencatan senjata dan kemudian mula mengebom,” kata saksi yang dihubungi petang Sabtu lalu.

Pekerja bantuan yang dihubungi itu juga mendakwa memiliki banyak gambar pembunuhan penduduk Fallujah dan diberikan kepada stesen TV al-Jazeera dan al-Arabiya dengan harapan ia dapat dibawa keluar dari bandar itu.

Mereka juga meminta IMC memberitahu dunia luar bahawa askar AS membunuh orang awam di Fallujah.

Menurut laporan yang dikumpulkan IMC, askar AS tidak membenarkan orang lelaki meninggalkan bandar itu.

IMC cawangan United Kingdom juga melaporkan mereka menerima banyak laporan saksi dari Fallujah. Laporan itu sedang disahkan, kata IMC.

Laporan dari Baghdad berkata pelarian Fallujah sudah mulai tiba di Baghdad.

“Wanita dan kanak-kanak yang mata mereka berair, membawa bungkusan pakaian dan botol air minuman. Masjid mengumpulkan makanan dan pakaian untuk mereka.

“Sebuah tempat simpanan makanan di A'adhamiya dibedil kereta kebal AS. Makanan, ubat dan selimut berserak sekali. Sungguh pilu,” kata saksi itu dalam laporannya.

Dalam perkembangan lain, stesen televisyen satelit al-Jazeera melaporkan, lebih 700 terbunuh dan jumlah itu mungkin melebihi 1,000 orang kerana kebanyakan keluarga mengebumikan waris mereka tanpa melaporkan kematian berkenaan.

Laporan al-Jazeera ini turut disokong oleh laporan Agense France-Presse yang memetik kenyataan Pengarah Hospital Fallujah, Dr Rafa Hayad al-Issawi.

“Saya boleh katakan lebih 700 terbunuh tetapi jumlah itu mungkin tidak tepat kerana ramai keluarga mengebumikan mereka yang terbunuh,” kata Dr Rafa.

Dr Rafa menganggarkan lebih 1,200 orang cedera dalam pertempuran yang dianggap paling buruk di Iraq sejak tentera Amerika menawan negara itu bagi menggulingkan Saddam Hussein tahun lalu. – Agensi



Arab takut kritik kezaliman AS di Iraq

KAHERAH: Kerana takut kepada Amerika Syarikat (AS), pemimpin negara Arab terus memejamkan mata dan membisu walaupun lebih 600 orang awam dibunuh askar AS di Fallujah, di Iraq.

Kerajaan Arab dilaporkan keberatan hendak mengkritik tindakan ganas askar Amerika Syarikat di Iraq, lapor AFP.

Dalam satu kenyataan, Liga Arab hanya “mendesak Bangsa-bangsa Bersatu campur tangan dan menghentikan keadaan yang bertambah buruk di Iraq.”

Sambil menyifatkan keadaan sebagai genting, setiausaha agung pertubuhan Arab itu, Amr Musa berkta “orang Arab tidak harus berdiam diri dalam keadaan yang tidak boleh diterima seperti ini.”

Portal berita Islam, Islam Online, pula melaporkan satu-satunya perjuangan Arab yang berjaya ialah tidak bersuara menentang kezaliman. Golongan yang mendesak supaya keganasan dihentikan hanya menyebutnya secara umum dan tidak menyalahkan sebarang pihak.

Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk Abdulrahman al-Attiya minggu lalu meminta ‘semua pihak terbabit menghentikan tindakan ganas’ dan meminta rakyat Iraq ‘meletakkan kepentingan kebangsaan di atas segala-galanya.’

Libya yang mengisytiharkan Sabtu lalu sebagai hari perpaduan dengan mangsa pembunuhan Amerika di Iraq, tidak berani mengkritik operasi tentera AS.

Tidak sebuah pun negara Arab berani mengeluarkan kenyataan seperti Russia yang Jumaat lalu, mendesak tentera penjajah supaya jangan bertindak di luar batas dan menghentikan serangan.

Beberapa penganalisis berkata kerajaan Arab tidak berani bersuara kerana takut kepada Washington.

“Kerajaan Arab mahu hubungan baik dengan AS,” kata Mustafa Kamel al-Said, pensyarah fakulti ekonomi dan sains politik Universiti Kaherah kepada agensi berita AFP.

“Banyak kerajaan Arab bergantung kepada AS untuk bantuan kewangan, dan yang lain mahu hubungan buruk mereka dengan Washington bertambah baik,” katanya.

Anggota Pusat Kajian Strategik al-Ahram, Waheed Abdul Megid, tidak setuju bahawa negara Arab takut kepada Amerika Syarikat. Sebaliknya, beliau berkta banyak negara Arab berpendapat Iran menghasut Muqtadar al-Sadr supaya merampas beberapa kota di selatan Iraq daripada tentera Bulgaria, El Salvador, Sepanyol dan Ukraine.

Katanya golongan konservatif di Iraq mahu menarik askar AS di Iraq ke dalam pertempuran supaya Washington tidak menyerang Iran pada kemudian hari. – Agensi


Israel latih skuad bunuh pejuang Iraq

LONDON: Pasukan tentera khas Amerika Syarikat (AS) mendapat bantuan penasihat Israel untuk melatih mereka dalam operasi menentang pejuang di Iraq termasuk penggunaan skuad pembunuh untuk membunuh pemimpin kumpulan pejuang itu, kata perisik AS dan sumber tentera.

The Guardian melaporkan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF), menghantar pakar peperangan bandar ke Fort Bragg di Carolina Utara, pangkalan pasukan khas AS dan menurut dua sumber berkenaan, perunding ketenteraan Israel turut berada di Iraq.

Pasukan AS di kubu kuat Sunni di Iraq mula menggunakan taktik itu yang menyamai operasi Israel di wilayah Palestin dengan menutup semua pusat penentangan menggunakan wayar tajam dan merobohkan bangunan yang dijadikan tempat melancarkan serangan terhadap tentera AS.

Namun, perang sulit di Iraq menjadi semakin buruk dengan harapan untuk menekan pejuang diketuai golongan yang setia dengan Parti Baath menjelang pilihan raya presiden AS November ini.

Pasukan tentera khas AS sudah pun berada di Syria dalam usaha membunuh pejuang asing sebelum mereka sempat menyeberangi sempadan dan sekumpulan lagi yang ditugaskan memberi tumpuan untuk memastikan pemimpin pejuang bersikap lebih neutral juga ditubuhkan, menurut sumber yang biasa dengan operasi itu.

“Secara asasnya, ini ialah program pembunuhan dan itu konsep yang dipakai di sini. Ia adalah pasukan pemburu-pembunuh.

“Tindakan ini gila. Kini kita di sini dan sudah pun dibandingkan dengan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon di dunia Arab dan kita baru mengesahkannya dengan membawa masuk Israel dan menubuhkan pasukan pembunuh” kata bekas pegawai kanan perisikan AS yang turut menyuarakan kebimbangannya taktik baru dan kerjasama dengan Israel hanya akan menyemarakkan lagi ketegangan di Asia Barat.

Seorang sumber perisikan di Washington berkata, pasukan pembunuh itu dilatih oleh Israel di Fort Bragg.

“Sebahagian mereka turut ke Iraq, bukan untuk tujuan melatih sebaliknya memberikan penerangan,” katanya.

Lawatan pakar perunding Israel ke Iraq itu disahkan oleh seorang lagi sumber yang berhubung dengan pegawai AS di negara Teluk itu. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home