Monday, October 11, 2004

BITTAUFIQ WANNAJAH



(ustaz wanzu, pinjam lukisan)

Saya sekarang sedang sibuk dengan musim peperiksaan. Kiri-kanan buku yang perlu dibaca. Doakan saya, moga saya dapat menjawab exam dengan tenang dan beroleh kejayaan. Moga kejayaan juga pada semua sahabat-sahabat yang berjuang bersama-sama saya di medan peperiksaan. Inilah kali pertama menyambut besday dalam kalut dan ripuh peperiksaan hehe. Sms dari gopi:

"Aku mahu jadi orang pertama, mengutus ingatan padamu sahabat. SELAMAT HARI LAHIR yang ke21. Moga menjadi serikandi Islam sejati. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang sering memahami dan bisa berkongsi kelaring suka dan duka. Moga hidupmu secerah cahaya suria di pagi hari lahirmu. Huda berlari dan berlarilah terus. Moga menjadi bintang nan gemilang. Kudoakan kebahagiaanmu di dunia dan akhirat"

huda : terima kasih sahabat, ya aku mahu berlari, terus berlari tanpa menoleh ke belakang, namun aku mahu berlari bersamamu, mengecap segala impian. Moga ikatan ukhuwah ini kan bersinar hatta penyambung zuriat kita nanti.

Baru baca entry dari blog gopi, ermmm...tak tahu nak cakap apa, speechless, cuma satu kata yang bisa menghuraikan perasaan saya tika ini, TERIMA KASIH buat segalanya sahabat.

HUDA : SELAMAT HARI LAHIR!

Saya mengenali gadis ini seawal usia 16 tahun- Sama-sama memasuki alam remaja- Tingkatan 4 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) pada tahun 1999 dan menempuh SKK (Sijil Khas Kolej) dan SPM pada tahun 2000. Tahun pertama, kami masih belum terlalu akrab. Sekadar bertukar khabar dan sapa. Mungkin kerana di awal tahun berjauhan dengan keluarga, saya lebih gemar merapati sahabat-sahabat senegeri (Perlis) dan Huda pula agak akrab dengan Fizah- sahabat seIrsyadnya.

Setahun kemudian, ketika di Tingkatan 5, bersahabatan kami mula akrab. Bahkan terlalu! Sekitar period ini, kami menjadi terlalu nakal di kelas. Lucunya, Huda adalah Penolong Ketua Tingkatan ketika itu. Huda antara pelajar yang sering hadir agak lewat ke kelas. Dia akan datang menggigit roti sambil menjinjing termos berisi kopi atau teh (kerana tidak sempat bersarapan) Sering, kami pulang awal ke asrama andai cikgu lewat; makan, bersembang dan tidur dalam kelas; tidur ketika Prep, sembunyi dalam loker kerana tidak mahu turun Prep, mencipta Trio Utarian di kelas dan entah apa-apa lagi kenakalan yang andai dikenang bisa mencetus tawa antara kami. Sering, kami menjadi sasaran Rahmah, Ketua Pengawas kelas kami, kelas 5/12 yang kami anggap cukup berdedikasi waktu itu. Cumanya satu perkara molek yang masih saya ingat ialah kami adalah AJK Kebersihan Asrama yang saban pagi akan mengutip kain-kain yang jatuh dari ampaian, membersihkan sampah yang bersepah di dalam bilik air dan tandas dan macam-macam lagi yang adakalanya kami sungutkan jua. Ha..ha..ha..! Juga, di sebalik kenakalan ini, kami antara AJK Badar KISAS. Mengingati ini, saya dan Huda tak sudah-sudah mengeleng kepala kehairanan.

Setelah tamat SPM, Huda agak nekad dengan keputusannya untuk ke UIA tetapi saya pula diminta oleh abah untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pendidikan Islam di Akademi Islam, UM. Ketika period ini, Huda antara faktor kuat saya untuk cuba memujuk abah menukar keputusan. Akhirnya abah bersetuju saya mengisi borang UPU dengan Ilmu Wahyu, UIA sebagai pilihan pertama.

Ketika di Matrikulasi UIA, hidup saya mula bergolak. Saya hanya sempat menghabiskan satu semester di Tahun Pertama kemudian terpaksa melalui rawatan kemoterapi selama setahun di Hospital Universiti Malaya. Sekitar waktu menduga ini, Huda antara sahabat saya yang paling memahami dan paling banyak berkorban. Sering, dia melawat saya di hospital jua di rumah, pemberi kata-kata semangat dan pencetus tawa di kala kesunyian.

Huda yang saya kenal adalah gadis kental yang petah dan berani bersuara. Di sini, saya dan dia punya perbezaan ketara. Dia gadis berani. Berani bersuara di kertas jua di pentas. Sedang saya cuma memilih untuk bersuara (kadang-kadang agak lantang) hanya di lembaran cerpen-cerpen. Huda, kadang-kadang bisa jadi terlalu tegar dan adakala bisa jadi terlalu lemah. Seringkali jadi gadis bersemangat keras, sukar tersenyum dan sinis kritikan, tetapi adakala jadi gadis air mata. Cumanya dia mudah benar buat saya tersenyum dan ketawa. Kerap buat saya berfikir dan menimbang-nimbang bicara dan tindakannya yang adakalanya bagai terlalu berani dan sinis.

Dia gadis yang gemar mencuba. Daripada melukis, menulis, hinggalah kepada segala macam program komputer yang saya sendiri terlalu naif. Ternyata cubaan-cubaannya ini semakin hari semakin menampakkan kematangan bilamana cerpen pertamanya berjaya tersiar di Dewan Agama dan Falsafah edisi September baru-baru ini dan weblognya mula mendapat perhatian ramai.

Huda dan saya, kami berkongsi kelaring luka masing-masing. Saya akan terhiris andai dia datang mengadu tentang lukanya. Saya akan pedih andai dia datang bercerita tentang bisik-bisik orang tentangnya. Kerana itu, saya lebih memilih untuk berdiam di weblog ketika mana baru-baru ini weblognya agak panas dengan isu pilihan raya kampus dan berbagai-bagai cemuhan tidak berasas terhadapnya. Saya lebih memilih untuk berbicara secara berhadapan dengannya, berkongsi dan memberi pendapat tentang apa sahaja yang ingin diluah dan dikongsinya.

Huda dan saya, antara kami berkongsi segala-galanya. Kami bisa berkongsi bicara tentang apa sahaja, daripada sekecil-kecil tuntutan naluri hinggalah kesebesar-besar perkara dan isu. Mungkin kerana kami sefikrah dan latar belakang keluarga juga agak sama. Dia sering petah menungkas bicara dan hujah saya. Lalu saya akan tunduk terdiam. Tapi adakalanya saya akan tersenyum (sekurang-kurangnya dalam hati) andai dia menggangguk-anggukkan kepalanya menyetujui pendapat saya. Sungguh! Meski akrab, adakala, dalam beberapa perkara, agak sukar menemukan titik temu antara kami.

Ketidak sempurnaan diri akan mudah membuatkan manusia memerhati. Begitu juga kelebihan dan kurnia Tuhan. Manusia saya kira punya kedua-duanya. Cumanya sejauh mana kita menilai dan menggunakan kelebihan dan kekurangan diri untuk saling lengkap melengkapi antara satu sama lain- kekurangan jangan digunakan untuk merasa rendah diri sedang kelebihan jangan digunakan untuk menyombong dan meninggi diri. Sebaliknya, gunakan kedua-duanya untuk hikmah bersama.

Begitu yang saya lihat pada persahabatan yang terjalin ini. Mungkin dengan wujudnya kekurangan dan kelebihan dalam diri masing-masing membuatkan kami semakin hari semakin memahami dan belajar mengerti antara satu sama lain.

Segala kenakalan, penat jerih belajar serta pengalaman pahit manis zaman persekolahan seakan meninggalkan suatu kenangan yang cukup indah. Serasa masa berlari pantas dan semakin hari segala kenakalan itu semakin sirna dalam kematangan menghadapi usia yang kian merangkak dewasa.

Semakin hari semakin matang usia persahabatan kami begitu jua dengan usia umur yang semakin hari semakin bertambah. Hari ini, 12 Oktober- Huda genap 21 tahun.

Huda, untukmu, Selamat Hari Lahir dan terima kasih atas segala-galanya. Tiada apa yang bisa kuhulurkan, sekadar bicara ini dan kalungan doa yang ingin kuhadiahkan untukmu. Moga dirimu bakal bergelar srikandi Muslimah sejati, yang taat kepada Allah, Rasul-Nya dan kewajipan agama, taat kepada kedua ibu bapamu, guru-guru jua bisa menjadi sahabat yang baik dan memahami. Semoga terus menjadi bintang nan gemilang dalam pelajaran dan penulisan jua berbahagia di Dunia dan Akhirat. Berlari dan berlarilah terus. Aku akan sentiasa berada di sisimu, berkongsi semuanya. Huda, Selamat Hari Lahir!

Di sini saya turunkan jadual peperiksaan saya:

11/10- English for Academic Purpose
17/10- Quranic Ayat&Hadith on Law IV (Arabic)
21/10- Constitutional Law II
22/10- Islamic Criminal Law II (Arabic)
22/10- Family Law II
23/10- Evidence & Procedure of Syariah Court I

Doakan saya berjaya ya!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home