Saturday, October 30, 2004

Beri selatan Thai autonomi -- Dr. Mahathir cadang Thailand berunding dengan penduduk Islam
Oleh: AZIZ ISHAK dan MARHAINI KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan Thailand mengadakan rundingan dengan penduduk Islam termasuk menimbang kemungkinan memberi status autonomi kepada wilayah selatan negara itu.

Beliau melihat cadangan tersebut merupakan jalan penyelesaian paling munasabah bagi menamatkan pertikaian antara kedua-dua pihak.

Bekas Perdana Menteri itu sedar isu tersebut tidak mudah diselesaikan, tetapi yakin Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai orang yang boleh bertolak-ansur sedia menimbangkannya.

``Saya cuma cadang supaya diadakan rundingan dan segala rintihan diberi perhatian.

``Mereka (umat Islam di selatan Thai) tidak boleh mencapai kemerdekaan yang dimahukan. Jadi, yang paling boleh mereka harapkan ialah (pembentukan) wilayah autonomi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Status autonomi bermakna pemindahan kuasa dan fungsi daripada kerajaan Pusat kepada kerajaan wilayah (dalam kes ini wilayah selatan Thailand).

Dr. Mahathir diminta mengulas insiden berdarah di Tak Bai, Narathiwat kelmarin yang mengorbankan sekurang-kurangnya 84 orang penduduk Islam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang awam yang mengadakan tunjuk perasaan di balai polis.

Sebahagian besar penunjuk perasaan meninggal dunia selepas ditangkap oleh pihak keselamatan dan dimasukkan ke dalam trak dalam keadaan berhimpit-himpit.

Tragedi itu merupakan yang kedua seumpamanya di selatan Thai selepas insiden berdarah di Masjid Kerisek, Pattani yang menyaksikan 32 orang dibunuh oleh pihak berkuasa Thailand.

Sebelum ini, Thaksin bersetuju mengadakan pertemuan dengan pemimpin puak pemisah Islam di selatan Thai (Bersatu) dalam usaha menamatkan keganasan di wilayah itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand itu menetapkan syarat supaya tuntutan autonomi digugurkan sebelum rundingan dimulakan.

Ketika ditanya sejauhmana pembentukan wilayah autonomi Islam di selatan Thai boleh menjadi kenyataan, Dr. Mahathir mengakui ia sukar tetapi perlu diusahakan.

``Boleh tak boleh itu soal lainlah, tetapi kenalah (usahakan).

``Pasal beri kemerdekaan, saya ingat tak ada negara yang sanggup selain daripada Persekutuan Rusia yang telah berpecah,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, pergolakan di selatan Thai bermula selepas tuntutan penduduk Islam untuk mendapatkan kemerdekaan sendiri tidak dilayan dan ditangani lebih awal.

Beliau percaya ia tidak akan menimbulkan masalah seperti sekarang sekiranya kerajaan Thai tidak memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menanganinya.

``Ini sama macam isu Palestin. Kalau awal-awal lagi diselesaikan, tidak akan ada masalah. Tetapi kalau biarkan kepada komander (tentera) tempatan untuk ambil tindakan, susahlah,'' kata beliau.

Ditanya kemungkinan tindakan pasukan keselamatan itu mendapat restu daripada Thaksin sendiri berdasarkan insiden kematian lebih 2,000 orang sewaktu kerajaan beliau memerangi dadah, Dr. Mahathir menolak tanggapan tersebut.

Menyentuh usaha kerajaan Thailand untuk menggunakan pendekatan memenangi hati dan minda umat Islam negara itu sebagaimana yang diamalkan oleh Malaysia dalam menghadapi pengganas komunis, beliau masih sangsi akan impaknya selagi kuasa menangani penduduk Islam diserahkan kepada pasukan keselamatan.

``Tidak ada kerajaan yang akan arahkan pasukan tenteranya melemahkan orang ini (penunjuk perasaan) tetapi tengoklah cara dia, dia tendanglah. Itu bukan polisi kerajaan,'' katanya.

Ditanya sama ada dua insiden besar yang berlaku menampakkan bahawa kerajaan Thai tidak dapat mengawal keadaan di wilayah selatan negara itu, Dr. Mahathir menjawab:

``Kerajaan (Thai) kena bagi lebih banyak perhatian.''

Beliau menarik perhatian bahawa masalah masyarakat Islam di situ ialah kadar pengangguran yang terlalu tinggi dan pendapatan pula rendah.

Disebabkan itu, katanya, semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri antara program yang dijalankan ialah memberi peluang kepada mereka menjalani latihan dalam bidang-bidang tertentu di Malaysia bagi meningkatkan kebolehan.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud berkata, status autonomi merupakan jalan keluar yang paling praktikal.

``Perkara ini telah dilakukan oleh pemerintah-pemerintah Thailand dulu seperti pemerintahan Raja Rama III dan Raja Rama IV yang memberikan kuasa pemerintahan kepada penduduk Islam sekitar tahun 1800.

`Kita lihat tindakan Raja Rama III dan Raja Rama IV itu membolehkan keamanan dikecapi dan pembangunan berlaku dengan baik di wilayah selatan Thailand,'' katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, Hata Wahari.

Nik Anuar juga memberitahu, perkara ini juga telah disentuh oleh ulama terkenal Thailand, Sulung Abdul Kadir yang mahukan kuasa autonomi diberikan kepada wilayah selatan negara itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home