Saturday, November 27, 2004

Kes penyingkiran pelajar berserban
Malaysia dikhuatiri tidak hormati kebebasan beragama.


Petikan dari Akhbar Harakah:

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan mengenepikan pengisytiharan Mahkamah Tinggi Seremban yang membatalkan keputusan guru besar Sekolah Kebangsaan Felda Serting, Negeri Sembilan, membuang 3 pelajar kerana memakai serban ke sekolah dibimbangi akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang tidak menghormati kebebasan beragama.

Menurut peguam yang mewakili 3 pelajar terbabit, Hanipa Maidin, kesan daripada keputusan tersebut sangat besar kerana akan menunjukkan mahkamah tidak mengiktiraf kebebasan beragama yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

"Saya rasa mahkamah telah tersilap dalam keputusan ini kerana membuat keputusan berdasarkan undang-undang disiplin sekolah.Hakikatnya negara kita mempunyai perlembagaan tertinggi yang membenarkan kebebasan mengamalkan agama terhadap semua rakyat di mana peruntukan dalam perlembagaan ini perlu dilindungi oleh mahkamah.

"Kalau hendak kata keputusan dibuat kerana tidak mahu mencampuri urusan sekolah bagaimana sekiranya selepas ini ada pengetua melarang wanita bertudung atau sebagainya, apakah kita tidak boleh juga membawa ke mahkamah? soal beliau.

Kata Hanipa, sekiranya merujuk kepada satu kes yang berlaku dalam negara ini kepada Joshua Jamaluddin satu masa dahulu, jelas kebebasan beragama lebih penting dari hal-hal yang lain.

"Joshua yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memurtadkan 6 orang melayu islam telah diputuskan tidak bersalah oleh mahkamah ketika itu dengan alasan kebebasan beragama.

"Sekiranya kerja memurtadkan orang dikira sebagai kebebasan beragama, kenapa memakai serban sebagai yang merupakan syiar Islam boleh dikenakan tindakan dan tidak pula dikira satu kebebasan beragama," tegas beliau.

Justeru kata Hanipa, pihaknya akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat ini kerana yakin keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat di Putrajaya 22 November lalu tidak mengiktiraf kebebasan beragama orang Islam

Akhbar melaporkan, 3 hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang iaitu, Dato' Gopal Sri Ram, Dato' Abdul Aziz Mohammad dan Dato' Wira Mohd Ghazali Mohd Yussoff, sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Negeri Sembilan pada 6 Ogos 1999 kerana pengisytiharan penyingkiran 3 bekas murid sekolah Kebangsaan Felda Serting oleh pengurusan sekolah kerana memakai serban ke sekolah pada 1997, tidak sah serta terbatal.

Sri Ram yang mempengerusikan sidang berkenaan berkata tidakan guru besar tersebut adalah betul kerana ia berkaitan dengan hal ehwal disiplin pelajar-pelajarnya dan adalah bidang kuasa seorang guru besar atau pengetua untuk menguruskan pentadbiran sekolah mengikut peraturan sedia ada.

Katanya, tindakan pihak sekolah membuang pelajarnya kerana memakai serban itu juga tidak berkaitan dengan undang-undang perlembagaan atau amalan agama.

KEs tersebut bermula apabila 3 pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Serting, Meor Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy, dan Syed Ahmad Syakur Dihya telah dibuang sekolah kerana tidak mengikut arahan supaya tidak memakai serban ke sekolah.

Sehubungan itu, ketiga-tiga pelajar tersebut melalui bapa mereka, Syed Ahmad Johari Syed Mohd, telah memohon pengisytiharan mahkamah untuk membatalkan perintah pembuangan sekolah tersebut. Berikutan itu pada 6 Ogos 1999, hakim Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan perintah pembuangan itu tidak sah dan terbatal, daris egi undang-undang dan bercanggah dengan perkara 5(1) dan 11(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, pensyarah dari Jabatan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari ketika mengulas kes tersebut berkata, hakim Mahkamah Rayuan telah menafsirkan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 11 adalah sempit dan mengahlang hak orang islam memakai serban.

Kata beliau, serban merupakan salah satu daripada pakaian yang menjadi syiar islam dan ia juga seperti amalan orang islam yang lain seumpama poligami dan azan. Malahan kata Abdul Aziz perkara itu juga sama dengan membenarkan orang Sikh memakai serban serta kara (sejenis gelang besi) yang tidak boleh dihalang kerana menjadi amalan mereka.

"Kalau tidak membenarkan orang Islam mengamalkan amalan-amalan mereka seperti itu bermakna kita telah mencabul hak kebebasan beragama yang diperuntukkan Perlembagaan. Lagipun berapa ramai sangat pelajar Islam memakai serban di sekolah dan tidak perlulah membuat peraturan sehingga mereka perlu diberhentikan.

"Lainlah kalau ia melibatkan perkara lain seperti ada bukti menunjukkan pelajar yang memakai serban boleh mendatangkan masalah di sekolah," kata beliau kepada Harakah.

Selain itu beliau juga mempersoalkan keputusan hakim tersebut dibuat berdasarkan peraturan sekolah (perintah awam) yang melarang pelajar memakai serban semata-mata.


*komen saya mengenai isu ini akan menyusul nanti*
*malam ini saya akan pulang ke uia, meneruskan pengajian di tahun 3 jurusan undang-undang, moga-moga kembara menuntut ilmu ini dimudahkan Allah, ameen*

0 Comments:

Post a Comment

<< Home